Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum mandi wajib dengan tidak membuka kanta lekap?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Kanta Lekap

Menurut Dr. Aida Zairani Binti Mohd Zahidin (Pakar Oftalmologi dan Pakar Perunding Kornea), Kanta lekap (contact lens) merupakan salah satu alat yang digunakan bagi menambah baik tahap penglihatan seseorang individu dalam membantu mereka untuk menjalankan tugas-tugas dalam kehidupan harian, serta bersukan. Ia salah satu alternatif selain memakai cermin mata.

Terdapat pelbagai jenis kanta lekap seperti  Kanta lekap lembut (Soft Contact Lens), Kanta separa keras atau RGP (Rigid Gas Permeable), Kanta lekap hybrid, Kanta lekap multifocal, Kanta lekap berwarna dan Kanta prostetik (Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia).

Secara umumnya, mandi wajib ialah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).

Seterusnya, para ulama telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  • Niat
  • Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  • Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 21).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak menjadi masalah untuk mandi wajib tanpa membuka kanta lekap dan mandinya dikira sah. Namun, sekiranya tanpa membuka kanta lekap ia boleh membawa kepada kemudaratan dari segi perubatan, maka sebaiknya anda membukanya kerana kanta lekap juga mempunyai cara penjagaannya bagi mengelakkan kuman.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)