Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sah jika mengambil wuduk dengan pakaian yang bernajis mutawassitah atau mughallazah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”
(Surah al-Ma’idah: 6)
Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61).
Nas ayat di atas (iaitu ayat 6 daripada Surah al-Ma’idah) menunjukkan bahawa apabila seseorang itu hendak bersolat, maka berwuduklah dengan membasuh anggota-anggota wuduk seperti muka, kedua belah tangan kamu meliputi siku dan kedua belah kaki kamu meliputi buku lali, serta menyapu sebahagian daripada kepala.
Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua rukun yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82).
Seterusnya, kami nyatakan terlebih dahulu beberapa syarat sah wuduk. Di antaranya ialah menggunakan air yang suci lagi menyucikan — iaitu air mutlak — kerana hadas tidak akan terangkat melainkan dengan hanya air mutlak. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 96 dan 57). Dalam bahasa mudahnya, air mutlak ialah air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31).
Selain itu di antaranya juga adalah mengalirkan air pada anggota wuduk yang dibasuh dan tidak cukup dengan hanya sekadar menyapu air pada anggota tersebut tanpa mengalirkannya kerana ia tidak dinamakan sebagai basuhan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/70; Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri ‘ala Fath al-Qarib al-Mujib, 1/95).
Begitu juga di antara syarat sah wuduk adalah tidak terdapat perkara yang menghalang air daripada terkena pada anggota wuduk dan mengalirkan air pada anggota yang dibasuh. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i,1/70). Begitu juga dinukilkan di dalam al-Fiqh al-Manhaji bahawa wajib meratakan basuhan kesemua bulu dan kulit. Sekiranya terdapat kotoran di bawah kuku atau memakai cincin yang menghalang air sampai ke kulit maka wuduknya tidak sah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/55).
Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:
رَجَعْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِمَاءٍ بِالطَّرِيقِ تَعَجَّلَ قَوْمٌ عِنْدَ الْعَصْرِ فَتَوَضَّئُوا وَهُمْ عِجَالٌ فَانْتَهَيْنَا إِلَيْهِمْ وَأَعْقَابُهُمْ تَلُوحُ لَمْ يَمَسَّهَا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ
Maksudnya: “Kami pulang bersama-sama Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Apabila kami sampai ke kawasan air di pertengahan jalan, sekumpulan orang bergegas untuk mendirikan solat Asar. Lalu mereka berwuduk dengan tergesa-gesa. Kami pun menghampiri mereka dan dapati buku lali mereka tidak dibasahi air. Lantas Rasulullah SAW bersabda: ‘Celakalah bagi tumit-tumit (yang tidak tersentuh air wuduk) kerana termasuk (yang dibakar) dalam api neraka. Oleh itu, berwuduklah kamu dengan sempurna.’”
Riwayat Muslim (241)
Oleh itu, jelaslah bahawa wuduk seseorang itu dikira tidak sah sekiranya terdapat bahagian anggota yang wajib dibasuh tetapi tidak berbasuh kerana adanya halangan atau sebagainya, sekalipun sedikit.
Kesimpulannya
Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa wuduk seseorang tetap dianggap sah apabila ia memenuhi rukun dan syarat-syarat sah wuduk, meskipun pada pakaiannya masih terdapat najis, tidak kira najis mutawassitah ataupun mughallazah.
Ini kerana membersihkan diri mahupun suci dari najis pada badan (selain anggota wuduk) mahupun pakaian bukanlah syarat sah wuduk. Dalam erti kata lain, wuduknya tetap sah kerana najis yang terdapat pada pakaiannya itu tidak menghalang kesahan wuduknya, tetapi ia menghalang kesahan solat. Justeru, jika dia ingin mendirikan solat, maka dia hendaklah menukar pakaiannya yang bernajis itu terlebih dahulu ataupun membersihkannya supaya solat yang didirikan itu dikira sah dan bukannya untuk kesahan wuduk.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”