Soalan:
Assalamualaikum wbt Dato’ Seri. Apakah hukumnya jika suami ingin mengulangi persetubuhan? Adakah perlu berwudhu’ dulu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ
Maksudnya: “Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu.”
(Surah al-Baqarah: 187)
Imam al-Baghawi berkata: Firman Allah SWT: “فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ” – “Bersetubuhlah dengan mereka” yang dimaksudkan di sini adalah berhubungan secara sah, yang disebut dengan “berhubungan” kerana bertemunya kulit masing-masing. “وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَكُمْ” – Maksudnya, carilah apa yang telah ditentukan oleh Allah untuk kamu. Ada yang berpendapat bahawa apa yang telah ditulis oleh Allah untuk kamu dalam Lauh al-Mahfuzh adalah mengenai anak. Pendapat ini disebut oleh kebanyakan mufassir. Mujahid berkata: “Carilah anak, jika isteri ini tidak mengandung, carilah yang lain.” Manakala Qatadah berkata: “Dan carilah kemudahan yang telah ditulis oleh Allah untuk kamu, berupa kebenaran makan, minum, dan bersetubuh yang tercatat dalam Lauh al-Mahfuz.” (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/207)
Dalam menjawab persoalan di atas, sekiranya suami mampu mengulangi persetubuhan dengan cepat, ini boleh dianggap sebagai nikmat Allah, selagi mana komunikasi antara suami isteri itu berjalan dengan baik. Bahkan, antara kenikmatan syurga ialah kekuatan untuk berjima’ digandakan sehingga 100 kali ganda sebagaimana yang diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam, katanya: Rasulullah SAW bersabda kepada aku:
إِنَّ الرَّجُلَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ يُعْطَى قُوَّةَ مِائَةِ رَجُلٍ فِي الْأَكْلِ وَالشُّرْبِ وَالشَّهْوَةِ وَالْجِمَاعِ “. فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْيَهُودِ: فَإِنَّ الَّذِي يَأْكُلُ وَيَشْرَبُ تَكُونُ لَهُ الْحَاجَةُ قَالَ: فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” حَاجَةُ أَحَدِهِمْ عَرَقٌ يَفِيضُ مِنْ جِلْدِهِ، فَإِذَا بَطْنُهُ قَدْ ضَمُرَ “
Maksudnya: “Sesungguhnya seorang lelaki dari kalangan ahli syurga akan diberi kekuatan seratus orang lelaki dalam makan, minum, syahwat, dan jima’.” Lalu seorang lelaki dari kaum Yahudi bertanya: “Orang yang makan dan minum pasti akan memiliki keperluan untuk membuangnya, bukan?” Maka Rasulullah SAW menjawab: “Keperluan mereka (di syurga) hanyalah berupa peluh yang mengalir dari kulit mereka, yang mana selepas itu perut mereka menjadi kempis.”
Riwayat Ahmad (19314) dan al-Nasaie dalam al-Sunan al-Kubra (19314). Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij al-Musnad menyatakan bahawa hadith ini sahih
Al-San’ani berkata: “Sesungguhnya seorang lelaki daripada ahli syurga diberikan kekuatan seratus lelaki daripada ahli dunia dalam makan dan minum.” Dia makan seperti makan seratus orang dan minum seperti minum mereka. “Dan keinginan,” yakni untuk setiap perkara yang diingini. “Dan jima’,” iaitu kekuatan seratus lelaki dalam hal tersebut. “Keperluan mereka,” kiasan bagi sesuatu yang keluar melalui dua saluran. “Peluh yang keluar dari kulit mereka, maka perutnya pun menjadi kempis.” Allah memelihara syurga daripada segala kekotoran dunia dan memelihara para penghuni syurga daripada perkara tersebut agar nikmat mereka sempurna dan mereka bebas daripada sebarang gangguan. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 3/458)
Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadith yang sahih daripada Nabi SAW bahawa disunatkan berwudhuk bagi seseorang yang ingin mengulangi persetubuhan dengan isterinya:
Daripada Abu Said al-Khudri R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ أَهْلَهُ، ثُمَّ أَرَادَ أَنْ يَعُودَ، فَلْيَتَوَضَّأْ
Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu telah mendatangi isterinya, kemudian dia ingin mengulanginya (bersetubuh) maka hendaklah dia berwudhuk.”
Riwayat Muslim (308)
Dalam riwayat yang lain terdapat lafaz tambahan:
فَإِنَّهُ أَنشطُ للعَوْدِ
Maksudnya: “Hal ini kerana wuduk itu dapat menambah semangat (memberinya lebih banyak tenaga) untuk mengulanginya (jima‘).”
Riwayat al-Hakim (1/254); Ibn Hibban (1211) dan al-Baihaqi (14468). Hadith ini dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘(263); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai sahih dalam Takhrij Sahih Ibn Hibban (1211); Begitu juga al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (7/192) menilai sanadnya sebagai sahih.
Imam al-Nawawi berkata ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan: bahawa seseorang yang dalam keadaan junub dibenarkan untuk tidur, makan, minum, dan bersetubuh sebelum mandi wajib. Ini adalah ijmak (kesepakatan) dan mereka bersepakat bahawa tubuh badan orang junub dan airnya adalah suci. Dalam hal ini, disarankan untuk berwuduk dan mencuci kemaluannya untuk semua perkara ini, terutama jika dia ingin bersetubuh dengan isterinya. Bagi yang tidak bersetubuh, disarankan untuk mencuci zakarnya dengan lebih tegas. Para ulama kami telah menyatakan bahawa tidur, makan, minum, dan bersetubuh sebelum berwuduk adalah makruh. Hadis-hadis ini menunjukkan perkara tersebut. Tiada perselisihan dalam kalangan kami bahawa wuduk ini tidak wajib. Begitu juga dengan pendapat Imam Malik dan jumhur (majoriti) ulama, manakala Ibn Habib daripada kalangan sahabat Malik berpendapat bahawa ia adalah wajib. Ini juga merupakan mazhab Dawud al-Zahiri, dan yang dimaksudkan dengan wuduk di sini adalah wuduk yang sempurna untuk solat. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 3/217)
Tambahan pula, Imam al-Nawawi juga ada menukilkan beberapa hikmah berdasarkan anjuran Nabi SAW agar berwudhuk di dalam hal seperti ini kepada beberapa pandangan menurut para ulama, antaranya:
- Meringankan hadas
- Mengangkat hadas daripada anggota wudhuk
- Bimbang meninggal dunia dalam keadaan tidak suci ketika tidur
- Memberi kesegaran untuk mandi (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 3/218)
Al-San‘ani menyebutkan, ini menunjukkan bahawa disyariatkan untuk berwuduk bagi orang yang ingin mengulangi melakukan persetubuhan dengan isterinya. Sekalipun begitu sabit juga bahawa Nabi SAW pernah bersama dengan isterinya dan tidak memperbaharui wuduk di antara dua persetubuhan tersebut. Begitu juga sabit daripada Nabi SAW bahawa Baginda pernah melakukan mandi wajib (sebanyak sekali sahaja) setelah melakukan persetubuhan dengan setiap daripada isterinya. Kesemuanya ini adalah dibolehkan. (Lihat Subul al-Salam, 1/89).
Sekiranya seseorang lelaki itu berasa malas atau tidak mampu untuk berwuduk (sebelum melakukan persetubuhan seterusnya), maka digalakkan (sunat) baginya untuk mencuci atau membersihkan kemaluannya dan mana-mana bahagian yang tercemar. Hal ini lebih ditekankan lagi bagi sesiapa yang ingin mengulangi persetubuhan dengan isterinya yang lain yang belum disetubuhi. Ini adalah sebagaimana hadith daripada riwayat Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya:
ذَكَرَ عُمَرُ بْنُ الخَطَّابِ لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ تُصِيبُهُ الجَنَابَةُ مِنَ اللَّيْلِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَوَضَّأْ وَاغْسِلْ ذَكَرَكَ، ثُمَّ نَمْ
Maksudnya: “Umar bin al-Khattab menyebut kepada Rasulullah SAW bahawa beliau berjunub pada suatu malam (apa seharusnya dilakukan beliau?). Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya: ‘Berwuduklah dan basuhlah kemaluanmu, kemudian tidurlah.’”
Riwayat al-Bukhari (290) dan Muslim (306)
Imam Muslim menamakan satu bab dalam kitab sahihnya, “بَاب جَوَازِ نَوْمِ الْجُنُبِ، وَاسْتِحْبَابِ الْوُضُوءِ لَهُ وَغَسْلِ الْفَرْجِ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَأْكُلَ أَوْ يَشْرَبَ أَوْ يَنَامَ أَوْ يُجَامِعَ” (Bab: Dibolehkan bagi Seseorang yang Berjunub untuk Tidur tetapi Disunatkan baginya untuk Berwuduk dan Membasuh Kemaluannya Apabila Dia Ingin Makan, Minum, Tidur atau Berjima‘ Lagi). (Lihat Sahih Muslim, 1/248).
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menjelaskan tiga tingkatan kebersihan sebelum mengulangi persetubuhan:
- Paling utama: Mandi sebelum mengulangi.
- Pertengahan: Cukup dengan berwuduk.
- Paling rendah: Mengulangi tanpa mandi atau wuduk, namun tetap dibolehkan.
Beliau juga menegaskan agar suami isteri tidur dalam keadaan suci, sama ada melalui wuduk atau mandi. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 11/167)
Dan sunnah ini khusus bagi lelaki; kerana dialah yang ditujukan dengan perintahtersebut, seperti yang disebutkan dalam hadith Abu Sa’id R.A di atas. Para ulama ‘Lajnah al-Daimah li al-Ifta’ telah ditanya: Nabi SAW bersabda: (Jika salah seorang dari kamu ingin kembali kepada isterinya, hendaklah dia berwudhu). Adakah hukum ini khusus untuk lelaki atau wanita juga? Mereka menjawab: “Wudhu disyariatkan ketika ingin mengulangi persetubuhan adalah bagi lelaki (suami); kerana dialah yang diperintahkan dengan perkara tersebut, bukan kepada isteri.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 19/350)
Selain itu, diharuskan juga bagi seorang lelaki yang telah bersetubuh dengan isterinya, untuk mendatangi pula isterinya yang lain sebelum dia mandi wajib. Ini adalah berdasarkan riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:
كُنْتُ أُطَيِّبُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَطُوفُ عَلَى نِسَائِهِ، ثُمَّ يُصْبِحُ مُحْرِمًا يَنْضَخُ طِيبًا
Maksudnya: “Aku pernah mengenakan pewangi kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda mengunjungi (menyetubuhi) isteri-isterinya. Pada keesokan paginya, Baginda SAW memakai ihram dalam keadaan semerbak berbau wangi.”
Riwayat al-Bukhari (267)
Begitu juga hadith lain, riwayat daripada Anas bin Malik, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَطُوفُ عَلَى نِسَائِهِ بِغُسْلٍ وَاحِدٍ
Maksudnya: “Nabi SAW biasanya menyetubuhi isteri-isterinya dengan satu mandi wajib.”
Riwayat Muslim (309)
Tambahan lagi, ramai ulama menukilkan ijma‘ mengenai keharusan melakukan perkara tersebut. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Battal bahawa para ulama tidak berselisih pendapat mengenai keharusan seseorang lelaki untuk melakukan persetubuhan dengan beberapa orang isterinya dengan satu mandi wajib berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah dan Anas R.Anhuma. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 1/381).
Namun, adalah lebih baik (afdhal) untuk seseorang itu mandi wajib terlebih dahulu sebelum mengulangi persetubuhan ataupun jika ingin melakukan persetubuhan dengan isterinya yang lain. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada riwayat Abu Rafi‘ bahawa:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَافَ ذَاتَ يَوْمٍ عَلَى نِسَائِهِ يَغْتَسِلُ عِنْدَ هَذِهِ وَعِنْدَ هَذِهِ ، قَالَ: قُلْتُ لَهُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا تَجْعَلُهُ غُسْلًا وَاحِدًا قَالَ : هَذَا أَزْكَى وَأَطْيَبُ وَأَطْهَرُ
Maksudnya: “Nabi SAW pada suatu hari pernah mengelilingi (menyetubuhi) isteri-isterinya, lalu Baginda mandi tiap kali selesai melakukan perhubungan bersama ini dan ini.” Beliau berkata lagi: “Aku bertanya kepada Baginda: ‘Wahai Rasulullah, tidakkah engkau menjadikannya sekali mandi sahaja?’ Baginda menjawab: ‘Yang seperti itu adalah lebih suci, lebih baik dan lebih bersih.’”
Riwayat Ahmad (22742) dan Abu Dawud (219)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa sememangnya terdapat anjuran daripada sunnah yang sahih bahawa sunat bagi seseorang yang ingin mengulangi persetubuhan agar berwudhuk kerana ia akan memberi kesegaran kepada seseorang itu. Akan tetapi, yang afdhal adalah mandi sekiranya ingin mengulangi persetubuhan kerana hal ini thabit daripada perbuatan Nabi SAW sebagaimana yang kami huraikan di atas.
Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita pasangan yang soleh atau solehah serta menganugerahkan kepada kita semua zuriat-zuriat yang menjadi penyejuk mata buat setiap orang yang melihatnya. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”