Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Ketika saya mandi hadas, saya membuang air besar. Tangan saya berbau najis. Saya tidak membasuh tangan saya dengan sabun kerana takut air mutlak berubah sifatnya untuk saya terus mandi wajib. Adakah mandi wajib saya sah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا
Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”
(Surah al-Maidah: 6)
Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 222)
Secara umumnya, mandi wajib ialah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa jika hanya tinggal bau sahaja pada tangan, maka ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan. Ini kerana bagi najis ‘ainiyyah, wajib dihilangkan sifat-sifatnya yang terdiri daripada bau, rasa dan warna, melainkan ada kesukaran bagi menghilangkan salah satu antara dua sifat iaitu sama ada warna atau bau. Maka, dalam hal ini tidak wajib menghilangkannya, bahkan ia telah pun dikira sebagai suci. Akan tetapi, sekiranya terhimpun kedua-duanya sekali (bau dan warna) pada tempat tersebut, maka wajib untuk dihilangkan kedua-dua sifat tersebut kerana ia adalah bukti yang kuat bahawa ‘ain najis itu masih ada seperti mana ciri atau sifat yang ditunjukkan oleh rasa. (Lihat Fath al-Wahhab, 1/25; Kasyifah al-Saja, hlm. 182-184).
Begitu juga, belum lagi dikira suci, jika masih ada sifat najis daripada segi rasa kerana kebiasaannya ia mudah untuk dihilangkan. Oleh itu, sekiranya masih berbaki sifat rasa, maka wajib untuk dihilangkan sekalipun dengan mengikis atau menggosok sebanyak tiga kali. Cara mengikis adalah dengan mengikis tempat terkena najis itu menggunakan batu atau lain-lain, manakala menggosok pula adalah dengan menggunakan jari jemari dengan gosokan yang kuat dan kemudian menjiruskan air ke atasnya sehingga hilang ‘ain dan kesan najis itu. Selain itu, tidak disyaratkan menggunakan bahan bantuan seperti sabun dan usynan (sejenis pokok) bagi menghilangkan najis melainkan setelah terhimpun bau dan warna sekali, atau yang tinggal hanya rasanya sahaja. Maka, dalam situasi ini wajib menggunakan bahan bantuan tersebut. (Lihat Kasyifah al-Saja, 182-183).
Habib Hasan al-Kaff telah meringkaskan berkenaan hukum bagi keadaan susah (حَالَةُ التَّعَسُّرِ) kepada dua, iaitu:
- Sekiranya hanya tinggal bau atau warna sahaja, maka hukumnya adalah dikira sebagai suci.
- Namun jika yang tinggal adalah bau dan warna, atau yang tinggal itu adalah rasa sahaja, maka wajib membasuhnya bersama bahan bantuan seperti sabun sehingga hilang sifat-sifat tersebut.
Akan tetapi, sekiranya orang yang berkepakaran (Ahl al-Khibrah) menyatakan najis tersebut, tidak akan dapat dihilangkan melainkan hanya dengan memotongnya (membuangnya), maka dinamakan bagi keadaan atau situasi ini sebagai situasi yang ada keuzuran (حَالَةُ التَّعَذُّرِ). Hukumnya, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Walau bagaimanapun, jika dia mampu untuk menghilangkannya pada masa akan datang, wajib untuk dia menghilangkannya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 136).
Seterusnya, sebagaimana diketahui mandi wajib hendaklah dilakukan dengan menggunakan air mutlak, yang boleh digunakan bagi mengangkat hadas dan membersihkan najis. Air mutlak ialah air yang suci lagi menyucikan iaitu air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31).
Begitu juga bagi memastikan mandi wajib itu boleh dianggap sah, ia hendaklah memenuhi syarat-syarat fardhu bagi mandi wajib, iaitu:
- Niat
- Menghilangkan najis sekiranya ada pada badan.
- Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan Ghayah wa al-Taqrib, hlm. 21).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa mandi wajib yang dilakukan itu adalah sah bila mana ia memenuhi syarat-syarat sah mandi wajib. Adapun tangannya yang berbau kerana sebelumnya dia beristinja’ atau mencuci najis, jika ia sudah dipastikan padanya hilang ain najis, warna dan rasa, tetapi yang tinggal hanyalah baunya sahaja, maka ia adalah tidak mengapa dan termasuk dalam perkara yang dimaafkan. Dalam erti kata lain, tangannya itu telah pun dikira sebagai suci dan tidak menjejaskan kesahan mandi wajib yang dilakukan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”