Soalan

Assalamualaikum ustaz. Berapakah bilangan talak selepas perkahwinan semula dengan suami pertama? Sebagai contoh, seorang wanita berkahwin dengan lelaki dan mereka hidup sebagai pasangan suami isteri. Kemudian, berlaku perceraian dengan talak satu. Selepas itu, wanita itu berkahwin dengan lelaki lain. Tidak lama kemudian, suami barunya itu meninggal dunia. Maka, jika wanita itu berkahwin semula dengan bekas suaminya yang pertama, adakah talak tersebut akan berbaki dua, atau kembali menjadi tiga? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami ingin jelaskan terlebih dahulu berkenaan pengertian talak, hukum dan hikmah pensyariatannya.

Dari sudut bahasa, talaq bermaksud lepas dan terlepas. Sementara dari sudut syarak, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz dan seumpamanya. Secara lebih jelas, pengertian talak sepertimana disebut dalam al-Qamus al-Fiqhi[1] boleh difahami seperti berikut:

  • Mengangkat ikatan perkahwinan.
  • Menghilangkan penguasaan terhadap isteri dengan lafaz yang jelas atau kinayah yang zahir atau dengan lafaz yang tertentu disertakan bersama niat. Hal ini sepertimana disebut oleh al-Dusuqi.
  • Mengangkat ikatan perkahwinan pada masa tersebut atau akan datang dengan lafaz yang khusus atau yang mengambil kedudukannya. Inilah yang dinyatakan dalam kitab Dur al-Mukhtar[2]. Lihat juga al-Mughni[3]dan Mughni al-Muhtaj[4].

[1] hlm. 230

[2] 3/226

[3] 16/192)

[4] 3/279

 

Terdapat juga beberapa lafaz lain yang mempunyai kaitan dengan talak, iaitu:

  • Fasakh. Ia merupakan jalan keluar daripada pernikahan apabila terdapat aib-aib yang telah ditentukan syarak, dan ia memberi kesan kepada tujuan pernikahan itu. Antaranya ialah aib-aib yang menyebabkan terhalang untuk istimta’ atau “berseronok” di antara suami dan isteri.

Secara asasnya, para fuqaha’ telah menyenaraikan beberapa aib-aib yang dibolehkan untuk membawa kepada tuntutan fasakh. Antara Aib-aib dalam pernikahan ialah gila, kusta, sopak, faraj tersumbat dengan daging, faraj terhalang dengan tulang, zakar tidak boleh membesar, hasyafah terpotong.[5] Namun begitu, fasakh hanyalah boleh dituntut sekiranya semua aib yang disebutkan di atas, diketahui selepas perkahwinan.[6]

  • Khulu’. Ia bermaksud perpisahan antara suami isteri dengan sesuatu gantian (bayaran) yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan lafaz talak atau khulu’. Umumnya, masyarakat Malaysia lebih maklum dengan istilah ‘tebus talak’. Perbezaan antara talak biasa dan khulu’ ialah talak berlaku dengan kehendak suami manakala khulu’ berlaku dengan kemahuan isteri dan nekad untuk bercerai disertai dengan gantian atau pampasan. Oleh itu, dia disyariatkan untuk menebus diri daripada suaminya, dengan gantian memberi suatu kadar jumlah daripada mas kahwin yang dipersetujui bersama.[7]
  • Mutarakah. Juga dikenali dengan mufaraqah. Hal ini berlaku apabila seseorang meninggalkan isterinya dengan sebab akad fasid sebelum bersama atau selepasnya.

Justeru, berdasarkan kenyataan di atas, dapat difahami bahawa talaq adalah merupakan pembubaran ikatan perkahwinan dengan lafaz talaq atau seumpamanya, yang dilakukan menggunakan lafaz sarih (jelas) atau lafaz kinayah (sindiran). Apabila berlaku, ia menyebabkan kerosakan hubungan silaturrahim antara dua keluarga, anak-anak dan masyarakat. Ia bukanlah suatu yang manis, bahkan sangat pahit bagi mereka yang menghadapinya.

Pensyariatan Talak

Pensyariatan talak adalah berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”[8]

Imam al-Mawardi menyebut dalam tafsirnya: “(Antara tafsir ayat ini) bahawa ia menerangkan bilangan talak dan penentuannya dengan tiga kali, dan bahawa lelaki itu memiliki hak rujuk pada dua talak dan tidak pula memilikinya pada talak ketiga. Inilah pendapat `Urwah dan Qatadah.”[9]

[5] Lihat al-Mu’tamad, 4/96

[6] Lihat al-Taqrirat al- Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, hlm. 42

[7] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/127

[8] (Surah al-Baqarah: 229)

[9] Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 1/293

Allah SWT turut berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ ۖ

Maksudnya: “Wahai Nabi! Apabila kamu – (engkau dan umatmu) – hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul).”[10]

Al-Tabari mentafsirkan, katanya: Yakni, takutlah kamu semua kepada Allah, wahai manusia. Waspadalah kamu daripada melakukan maksiat kepada-Nya dengan melanggar batasan-Nya. Janganlah kamu mengeluarkan isteri-isteri yang telah kamu talakkan kerana mereka ada ‘iddah di rumah-rumah mereka yang telah kamu beri mereka tinggal di dalamnya sebelum talak itu lagi, sehinggalah selesai ‘iddah mereka.[11]

Al-Qurtubi menyebut bahawa ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT berbicara dengan Nabi SAW. Walaupun lafaz yang digunakan menunjukkan ramai, tetapi ia adalah bagi tujuan memuliakan dan mengangkat darjat Rasulullah SAW.[12]

Manakala dalam hadith, Rasulullah SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْـحَلاَلِ إِلَى اللهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ

Maksudnya: “Perkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talak.”[13]

Imam al-Khattabi menjelaskan bahawa makna benci pada hadith itu adalah pada sebab yang membawa kepada perceraian itu seperti pergaulan yang buruk sesama suami isteri dan bukannya pada perkara talaq itu sendiri, kerana Allah telah mengharuskan perbuatan talaq itu.[14]Talak merupakan jalan yang terakhir digunakan oleh suami dalam penyelesaian masalah sekiranya tidak dapat dielakkan. Namun sekiranya perkara ini digunakan hanya untuk memuaskan nafsunya, maka talak itu dianggap halal akan tetapi perkara itu amat dibenci oleh Allah SWT.[15]

Al-Son’ani pula menjelaskan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa sebaiknya, jauhilah diri daripada terjatuh dalam perbuatan talak ini selagimana terdapat padanya keluasan, iaitu ruang-ruang untuk tidak menceraikan.[16]

Dalam hadis lain, daripada Ibn Umar RA, katanya:

كَانَتْ تَحْتِى امْرَأَةٌ أُحِبُّهَا وَكَانَ أَبِى يَكْرَهُهَا فَأَمَرَنِى أَبِى أَنْ أُطَلِّقَهَا فَأَبَيْتُ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا عَبْدَ اللهِ بْنَ عُمَرَ طَلِّقِ امْرَأَتَكَ

Maksudnya: “Aku mempunyai isteri yang aku sayangi, tetapi ayah aku pula tidak menyukainya dan meminta aku menceraikannya. Aku enggan, lalu perkara ini diberitahu kepada Nabi SAW. Baginda bersabda: “Wahai Abdullah bin Umar, ceraikanlah isterimu itu.” [17]

Ibn ‘Allan al-Syafi’e menjelaskan bahawa Saidina ‘Umar R.A menyuruh ‘Abdullah bin ‘Umar untuk menceraikan isterinya adalah disebabkan hal yang berkait dengan perkara-perkara agama, atau bimbang ia akan menyebabkan mudarat pada agama anaknya.[18]

Berhubung pensyariatan talak, ia juga adalah berdasarkan ijma’ di mana semua ulama bersepakat tentang pensyariatannya tanpa seorang pun yang berkecuali.

Hukum Talak

Berdasarkan Nas di atas dan juga Ijma’, jelas menunjukkan kepada kita bahawa hukum asal talak adalah harus, dan inilah pendapat jumhur ulama. Walaupun begitu sebahagian ulama berpendapat hukumnya adalah haram.

Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, disebut bahawa para fuqaha bersepakat di mana hukumnya berkisar kepada lima perkara, iaitu:

  • Wajib seperti suami yang ber’ila’ kepada isterinya apabila enggan kembali selepas cukup tempoh mengikut mazhab Jumhur.
  • Sunat apabila si isteri melanggar hak-hak yang wajib bagi Allah atau berperangai buruk sehingga boleh menyakiti suami dan jiran tetangganya. Begitu juga, ketika si isteri meminta cerai kepada suami kerana khuatir berlakunya perkelahian.
  • Harus ketika keperluan untuk menolak kejahatan akhlak perempuan dan buruk perlakuannya.
  • Makruh jika di sana ada sebab jika tiada sebarang sebab dan alasan untuk bercerai. Ada pendapat menyatakan haram.
  • Haram iaitu apabila menceraikan isteri dalam keadaan haid yang sudah disetubuhinya.[19]

[10] (Surah al-Talaq: 1)

[11] Lihat Jami’ al-Bayan, 23/413

[12] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/148

[13] Riwayat Abu Daud (2178), Ibn Majah (2018), al-Hakim (2/197) dan beliau mensahihkannya.

[14] Lihat Ma’alim al-Sunan, 3/231

[15] Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, 4/120

[16] Lihat Subul al-Salam, 2/248

[17] Riwayat Abu Daud (2088), al-Tirmizi (1189) dan Ibn Majah (2088)

[18] Lihat Dalil al-Falihin, 3/174

[19] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/9. Lihat juga al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/363 dan al-Mu’tamad, 4/139

Hikmah Pensyariatan Talak

Perkahwinan adalah untuk mengekalkan kehidupan berumahtangga pasangan suami isteri. Allah telah mensyariatkan pelbagai hukum dan adab perkahwinan untuk menjamin kebahagiaan serta menyuburkan hubungan mereka.

Walau bagaimanapun, kadangkala terdapat suami isteri atau seorang daripada mereka tidak mematuhinya. Contohnya, suami tidak mementingkan pemilihan pasangan yang baik. Atau kedua-dua suami isteri, atau seorang daripadanya tidak mematuhi adab pergaulan yang digariskan oleh Islam. Ekoran daripada itu, berlakulah kebencian dan semakin bertambah buruk sehingga tiada lagi ruang untuk berbaik-baik dan tiada lagi cara untuk persefahaman dan hidup bersama.

Dalam keadaan ini, adalah perlu diadakan peraturan sebagai langkah berhati-hati yang boleh dirujuk dalam situasi tersebut. Hal ini adalah membolehkan ikatan perkahwinan itu diungkai tanpa mensia-siakan hak kedua-dua suami isteri tersebut apabila tiada sebab bagi mereka untuk hidup bersama.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِن يَتَفَرَّقَا يُغْنِ اللَّهُ كُلًّا مِّن سَعَتِهِ ۚ وَكَانَ اللَّهُ وَاسِعًا حَكِيمًا

Maksudnya: Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah kurniaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Maha Bijaksana.[20]

[20] (Surah al-Nisa’: 130)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan: Setelah memberikan dorongan dan motivasi untuk mengadakan perdamaian antara suami isteri (dalam ayat sebelumnya), kemudian Allah SWT menyebut dalam ayat ini ‘وَإِن يَتَفَرَّقَا يُغْنِ اللَّهُ كُلًّا مِّن سَعَتِهِ’, iaitu tentang bolehnya berpisah dan cerai, sekiranya memang tidak ada jalan lain lagi untuk menghindarinya. Allah SWT menghiburkan hati kedua belah pihak dan menjanjikan kepada masing-masing bahawa Dia akan memberikan kecukupan kepada mereka, jika matlamat sebenar perpisahan itu adalah dengan maksud untuk menghindarkan diri daripada perbuatan tidak menunaikan hak-hak Allah SWT yang telah diwajibkan-Nya. Oleh itu, kedua-dua belah pihak hendaklah bersangka baik kepada Allah SWT.[21]

Jika talak ini digunakan oleh suami sebagai cara yang terakhir dalam keadaan genting ini, maka ia adalah penyelesaian yang amat perlu yang tidak dapat dielakkan lagi walaupun ia amat pahit dalam banyak keadaan.

  • Boleh jadi kedua-dua pasangan sukar untuk hidup bersama kerana tabiat yang berbeza walaupun kedua-duanya baik, ketika itu perceraian adalah jalan yang terbaik.
  • Ada pasangan yang cukup baik antara keduanya tetapi tidak dikurniakan anak walaupun telah diusaha sehingga belasan tahun. Apabila mereka berpindah dan kedua-dua mencari pasangan yang baru yang akhirnya kedua-dua pasangan memperolehi anak dan zuriat.
  • Terdapat pasangan yang mewah dan berada tetapi kedua-dua yang bersifat ego menyebabkan mereka menjarakkan dari agama dan ketika itu syaitan dan hawa nafsu menguasai diri mereka, akhirnya mereka berpisah tetapi kesan selepas itu masing-masing bermuhasabah dan kedua-duanya menjadi soleh dan solehah.

Bilangan Talak Apabila Berkahwin Semula

Berbalik kepada persoalan di atas, kami membahagikan jawapan lelaki yang berkahwin semula dengan seorang wanita selepas ditalak itu daripada dua sudut, iaitu:

  • Bilangan talak selepas berlakunya Talak Ba’in Sughra
  • Bilangan talak selepas berlakunya Talak Ba’in Kubra

Perincian bagi kedua-dua bahagian ini boleh dijelaskan seperti berikut:

Pertama: Bilangan Talak Selepas Berlakunya Talak Raj’ie

Menurut mazhab al-Syafie, bilangan talak bagi suami isteri yang berkahwin semula setelah bercerai dengan talak satu atau dua, sekalipun jika isterinya itu bernikah dengan lelaki lain di antara talak-talak tersebut, ialah mengikut baki talak. Justeru jika seorang lelaki mentalakkan isterinya dengan talak satu, maka dia berbaki dua talak. Jika talak dua, maka dia berbaki satu talak.

Ini berdasarkan atsar yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Saidina Umar al-Khattab RA telah berkata:

أيُّما امرأةٍ طلَّقَها زوجُها طلقةً أو طلقتينِ ثمَّ تزوَّجَت غيرَهُ فماتَ أو طلَّقَها ثمَّ تزوَّجَها الأوَّلُ فإنَّها عندَهُ على ما بقِيَ من طلاقِهِ لَها

Maksudnya: “Sekiranya seorang wanita ditalakkan suaminya dengan talak satu atau talak dua, kemudian wanita itu berkahwin dengan lelaki yang lain, kemudian lelaki yang baharu dikahwini mati atau diceraikan lalu wanita itu kembali menikahi suami yang pertama, maka wanita itu di sisi lelaki itu (boleh ditalak) dengan apa yang berbaki dari talaknya kepada wanita tersebut.”[22]

Berdasarkan riwayat di atas, Imam al-Syafie berpendapat bahawa sekiranya suami menceraikan isterinya dengan talak satu, atau dua, kemudian wanita tersebut bernikah pula dengan lelaki lain, dan melakukan persetubuhan kemudian, diceraikan pula lelaki yang kedua. Lalu, wanita tersebut bernikah dengan suami yang pertama, maka suami yang pertama hanya memiliki baki daripada talaq yang dilafazkan sebelum ini ke atas wanita tersebut. Begitu juga, sekiranya wanita itu tidak bernikah dengan lelaki lain, dan tidak disetubuh oleh suami yang lain, bilangan talak dikira daripada baki kecuali jika ditalak tiga.

Beliau mengatakan bahawa terdapat perbezaan mengapa bilangan talak diambil daripada baki sekiranya talak satu atau dua, manakala mendapat bilangan penuh sekiranya talak tiga. Hal ini berdasarkan dua firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ

Maksudnya: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.[23]

Firman-Nya lagi:

فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ ۗ

Maksudnya: Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. [24]

Imam al-Syafie mengatakan bahawa firman Allah ﷻ di atas menjelaskan terdapat perbezaan di antara talak satu atau dua dengan talak tiga. Hal ini kerana, wanita yang ditalaq dengan talaq satu dan dua, boleh dirujuk semula. Berbeza dengan keadaan sekiranya ditalaq dengan talaq tiga, haram ke atas lelaki tersebut untuk menikahi semula wanita tersebut sehinggalah wanita tersebut bernikah dengan lelaki lain terlebih dahulu.

Selagi mana wanita yang ditalaq dengan talaq tiga oleh suaminya tidak berkahwin dengan orang lain, maka kekal hukum haram ke atas lelaki tersebut untuk menikahinya. Inilah yang membezakan antara talak satu atau dua dengan talak tiga. Tidak boleh diqiyaskan perkara yang sudah jelas pengharaman dengan yang tidak diharamkan, kerana talak satu dan dua tidak diharamkan untuk lelaki tersebut untuk kembali kepada isterinya.[25]

Imam Abu Ishak al-Syirazi menyebut:

فإن طلقها طلقة أو طلقتين فتزوجت بزوج آخر فوطئها ثم أبانها رجعت إلى الأول بما بقي من عدد الطلاق لأنها عادت قبل استيفاء العدد فرجعت بما بقي كما لو رجعت قبل أن تنكح زوجاً غيره.

Maksudnya: Sekiranya dia mentalaqkan dengan talak satu atau talak dua, kemudian wanita itu bernikah dengan lelaki lain, dan bersetubuh, kemudian diceraikan. Lalu, wanita itu kembali kepada lelaki yang pertama. Maka, (kuasa) talaq untuk suami yang pertama berdasarkan baki daripada bilangan yang talaq yang telah digunakan. Kerana wanita itu kembali sebelum cukup bilangan keseluruhan. Maka kembali dengan baki (bilangan talak) sepertimana jika rujuk kembali tanpa bernikah dengan suami lain.[26]

Syeikh al-Muti`ie menyebut dalam menghuraikan perenggan di atas, antara lain, bahawa inilah pendapat dalam kalangan sahabat Nabi ﷺ seperti Saiyiduna Umar al-Khattab, Saiyiduna Ali bin Abi Talib dan Saiyiduna Abu Hurairah, ridhwanullah `alaihim. Begitu juga daripada kalangan ahli fiqh seperti Imam Malik, Imam al-Auza`ie, Imam Sufyan al-Tsauri, Imam Ibn Abi Laila, Imam Muhammad bin al-Hasan, dan Imam Zufar. Manakala pendapat kedua menyatakan bahawa bilangan talak kembali kepada tiga. Inilah pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Yusuf daripada mazhab Hanafi, dan ini juga merupakan pendapat Ibn Abbas[27]

[21] Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/285

[22] Riwayat al-Syafie dalam Musnad-nya (no.1276)

[23] (Surah al-Baqarah : 229)

[24] (Surah al-Baqarah: 230)

[25] Lihat al-Umm, hlm. 369

[26] Lihat al-Muhazzab, 3/51

[27] Lihat al-Majmu’, 17/287; al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 9/7006

Pendapat yang sama direkodkan oleh ulama muta`akhirin mazhab al-Syafie. Imam al-Baijuri mengatakan:

لو طلق كل من الحر والعبد دون ما يملكه ثم راجع أو جدد عادت له بما بقي من الطلاق وإن اتصلت بأزواج

Maksudnya: “Sekiranya orang yang bebas atau hamba menjatuhkan talak kurang dari tiga (sama ada satu atau dua) kemudian merujuk kembali atau memperbaharui akad, maka (pasangan ini) hanya berbaki daripada talak-talak meskipun wanita itu berkahwin dengan lelaki-lelaki lain.[28]

Ini juga merupakan pendapat yang muktamad dalam mazhab Ahmad, seperti kata Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi:

فَعَنْ أَحْمَدَ فِيهَا رِوَايَتَانِ إحْدَاهُمَا تَرْجِعُ إلَيْهِ عَلَى مَا بَقِيَ مِنْ طَلَاقِهَا وَهَذَا قَوْلُ الْأَكَابِرِ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – عُمَرَ وَعَلِيٍّ وَأُبَيٍّ وَمُعَاذٍ وَعِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ وَأَبِي هُرَيْرَةَ وَرُوِيَ ذَلِكَ عَنْ زَيْدٍ وَعَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ وَبِهِ قَالَ سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيِّبِ وَعُبَيْدَةُ وَالْحَسَنُ وَمَالِكٌ وَالثَّوْرِيُّ وَابْنُ أَبِي لَيْلَى وَالشَّافِعِيُّ وَإِسْحَاقُ وَأَبُو عُبَيْدَةَ وَأَبُو ثَوْرٍ وَمُحَمَّدُ بْنُ الْحَسَنِ وَابْنُ الْمُنْذِرِ وَالرِّوَايَةُ الثَّانِيَةُ عَنْ أَحْمَدَ أَنَّهَا تَرْجِعُ إلَيْهِ عَلَى طَلَاقِ ثَلَاثٍ وَهَذَا قَوْلُ ابْنِ عُمَرَ وَابْنِ عَبَّاسٍ وَعَطَاءٍ وَالنَّخَعِيِّ وَشُرَيْحٍ وَأَبِي حَنِيفَةَ وَأَبِي يُوسُفَ؛

Maksudnya: “Daripada Imam Ahmad terdapat dua riwayat; salah satunya kembali kepada apa yang berbaki daripada talak, dan ini merupakan pendapat para sahabat Nabi yang besar, seperti Umar, Ali, Ubayy, Mu`adz, Imran bin Husoin, dan Abu Hurairah. Pendapat ini diriwayatkan jua daripada Zaid, Abdullah bin Amr bin al-`As. Jua pendapat Sa`ied bin al-Musayyib, `Ubaidah, al-Hasan, Malik, al-Tsauri, Ibn Abi Laila, al-Syafie, Ishak, Abu `Ubaidah, Abu Tsur, Muhammad bin al-Hasan, Ibn al-Mundzir. Riwayat kedua daripada Imam Ahmad menyatakan bahawa ia kembali kepada tiga talak dan ini merupakan pendapat Ibn Umar, Ibn Abbas, Ato’, al-Nakha`ie, Syuraih, Abu Hanifah dana Abu Yusuf.”[29]

Kedua: Bilangan Talak Selepas Berlakunya Talak Ba’in Kubra

Sekiranya suami menjatuhkan talak tiga, kemudian berkeinginan untuk berkhawin semula dengan wanita yang sama, maka perlu untuk wanita tersebut menikahi dengan lelaki lain terlebih dahulu sebelum menikahi semula dengan lelaki yang menjatuhkan talak tiga kepadanya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ ۗ

Maksudnya: Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. [30]

Setelah bernikah dengan lelaki lain dan melaksanakan semua syarat-syarat yang ditetapkan syarak, maka barulah boleh dikahwini semula. Setelah berkahwin semula, perkahwinan ini dianggap pernikahan yang baharu, dan pasangan tersebut mendapat semula bilangan talak yang penuh iaitu tiga kali talak. Hal ini disebutkan di dalam al-Majmu’ [31]:

[28] Lihat Hasyiah al-Baijuri, 2/271

[29] Lihat al-Mughni, 7/505

[30] (Surah al-Baqarah: 230)

[31] 17/287

وان طلق امرأته ثلاثا ثم تزوجها بعد زوج فانه يملك عليها ثلاث طلقات

Maksudnya: “Dan sekiranya ditalakkan isterinya dengan talak tiga, kemudian bernikah semula setelah wanita itu bernikah dengan lelaki lain, maka dia mendapat (kuasa) tiga talak. “

 

Hal yang sama disebutkan bahawa:

وإذا استوفى ماله ثم جدد نكاحها بعد اتصالها بزوج آخر عادت له بما يملك لأنها زوجة جديدة

Maksudnya: “Dan sekiranya dia telah menggunakan semua (bilangan talak) yang ada padanya, kemudian dia memperbahrui pernikahan dengan wanita tersebut selepas wanita itu dinikahi (terlebih dahulu) dengan lelaki lain dan kembali kepadanya dengan apa yang dimiliki (bilangan talak yang penuh) kerana sesungguhnya (wanita itu) adalah isteri yang baharu.”[32]

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, jelas bahawa para fuqaha’ mazhab Imam al-Syafie menetapkan bahawa sekiranya seorang lelaki menjatuhkan talak satu atau dua kepada isterinya, kemudian mereka berkahwin semula, maka bilangan talak mereka hanya tinggal dari baki talak yang awal. Sekiranya talak satu, maka berbaki talak dua dan tiga. Hal ini turut tidak berubah sekiranya wanita tersebut berkahwin dengan lelaki lain sebelum berkahwin semula.

Pendapat ini turut disepakati oleh mazhab Imam Malik dan mazhab Imam Ahmad. Namun, hanya pendapat Imam Abu Hanifah yang menyatakan bahawa akan kembali mendapat bilangan talaq yang penuh. Berkata Imam Ala’uddin al-Kasani daripada mazhab Hanafi:

هَلْ يَهْدِمُ مَا كَانَ فِي مِلْكِ الزَّوْجِ الْأَوَّلِ مِنْ الطَّلَاقِ لَا خِلَافَ فِي أَنَّهُ يَهْدِمُ الثَّلَاثَ، وَهَلْ يَهْدِمُ مَا دُونَ الثَّلَاثِ قَالَ أَبُو حَنِيفَةَ وَأَبُو يُوسُفَ يَهْدِمُ وَقَالَ مُحَمَّدٌ لَا يَهْدِمُ وَبِهِ أَخَذَ الشَّافِعِيُّ

Maksudnya: “Adakah terhapus bilangan talak yang dimiliki oleh suami yang pertama? Tiada khilaf bahawa jika berlaku pada talak tiga akan terhapus; namun adakah terhapus bagi talak di bawah tiga? Berkata Abu Hanifah dan Abu Yusuf: Terhapus. Berkata Muhammad (ibn Hasan al-Syaibani): Tidak terhapus. Inilah pendapat yang diambil oleh al-Syafie.”[33]

[32] Lihat Hasyiah al-Baijuri, 2/271 dan al-Tahzib, 6/126

[33] Lihat Bada’I’ al-Sona’i’, 3/189

Manakala, bagi yang bernikah semula setelah menjatuhkan talaq tiga, mendapat kuasa menjatuhkan talaq sebanyak tiga kali, seakan-akan itu ialah isteri yang baharu baginya.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 31 Mac 2022 bersamaan 28 Syaaban 1443H

 

 

0 thoughts on “#814: Bilangan Talak Apabila Berkahwin Semula

  1. jejaka kelantan says:

    Assalamulaikum Ustaz.. Ingin saya bertanya 1 persoalan.. Saya ade seorang kakak yang sudah berkahwin dan sudah 3 kali bercerai dengan suaminya.. Kakak saya pernah guna kaedah cina buta untuk berkahwin semula dengan suaminya.. Setelah bercerai dari Cina Buta kakak saya berkahwin semula dengan suaminya yang dulu . Tidak lama setelah itu , kakak saya telah bercerai lagi sekali dengan suaminya.. Persoalan saya di sini , mereka telah rujuk kembali dan adakah sah rujuk mereka itu setelah pernah guna Cina Buta sekali sebelum ini.. Saya mohon pendapat dan jawapan dari Ustaz , kerana Saya merupakan wali kepadanya masa mereka bernikah semula setelah cina buta dan Saya ragu – ragu tentang sah atau tidak rujuk mereka yang terbaru ini..

Leave a Reply