Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah saya niat iktikaf ketika dalam solat kerana saya tergesa-gesa sewaktu masuk ke dalam masjid?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sabda Rasulullah SAW sepertimana hadith Saidina Umar ibn al-Khattab R.A:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّـيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَـوَى
Maksudnya: “Sesungguhnya segala amalan dikira dengan niat dan sesungguhnya setiap orang memperolehi apa yang diniatkan.”
Riwayat al-Bukhari (1)
Pada asasnya, terdapat beberapa definisi niat menurut takrifan para ulama. Di antaranya, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa niat ialah keazaman (tekad) di dalam hati atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/310). Begitu juga Ibn ‘Abidin mendefinisikan niat sebagai tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amal perbuatan. (Lihat Rad al-Mukhtar, 1/105).
Berdasarkan kepada definisi-definisi ini, kita dapat simpulkan bahawa niat ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara.
Iktikaf merupakan antara amalan-amalan soleh yang sangat dituntut bagi seseorang muslim. Rasulullah SAW sering melazimi iktikaf di masjid seperti yang diriwayatkan daripada Ummul Mu’minin ‘Aisyah R.Anha katanya:
أَنَّ النَبِيَّ ﷺ كَانَ يَعْتَكِفُ العَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضانَ حَتَّى تَوَفّاهُ اللهُ، ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW sering beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan sehinggalah Allah mewafatkan beliau, kemudian para isteri Baginda pula beiktikaf selepas Baginda.”
Riwayat al-Bukhari (2026) dan Muslim (1172)
Imam Ibn Battal mengatakan, ini merupakan bukti bahawa iktikaf merupakan sunnah yang dituntut, hal ini kerana ia merupakan amalan yang sering dilakukan oleh Nabi SAW, maka orang mu’min perlulah meneladani Nabi SAW. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 4/181)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk niat iktikaf ketika dalam solat dengan syarat ianya diniatkan di dalam hati dan bukan dilafazkan kerana ia akan menyebabkan solatnya terbatal disebabkan berkata-kata dengan sengaja di dalam solat.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”