Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dibolehkan untuk niat iktikaf di dalam surau yang didirikan solat jumaat? Mohon pencerahan Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran (8/90) menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat seseorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.” Ini seperti mana hadis Nabi SAW daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Maksud: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (3/68)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Setengah riwayat menyebut orang yang begitu setia mendatangi masjid atau memelihara untuk sentiasa ke masjid.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/389)

Maksud memakmurkan masjid adalah dengan menetapinya untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dalam rangka meraih keredhaan-Nya. Antaranya seperti melakukan solat, berzikir kepada Allah SWT dan mempelajari ilmu agama. Juga termasuk maknanya adalah dengan membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya. (Lihat Aisar al-Tafasir li Kalam al-‘Aliy al-Kabir, 2/66)

Iktikaf merupakan antara amalan-amalan soleh yang sangat dituntut bagi seseorang muslim. Rasulullah SAW sering melazimi iktikaf di masjid seperti yang diriwayatkan daripada Ummul Mu’minin  ‘Aisyah R.Anha katanya:

أَنَّ النَبِيَّ ﷺ كَانَ يَعْتَكِفُ العَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضانَ حَتَّى تَوَفّاهُ اللهُ، ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW sering beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan sehinggalah Allah mewafatkan beliau, kemudian para isteri Baginda pula beiktikaf selepas Baginda.”

Riwayat al-Bukhari (2026) dan Muslim (1172)

Imam Ibn Battal mengatakan, ini merupakan bukti bahawa iktikaf merupakan sunnah yang dituntut, hal ini kerana ia merupakan amalan yang sering dilakukan oleh Nabi SAW, maka orang mu’min perlulah meneladani Nabi SAW. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 4/181)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa isu ini menjadi perbincangan hangat di kalangan para ulama’ bahkan badan-badan fatwa. Ada yang membolehkannya dan ada yang tidak membolehkannya kerana definisi yang dibezakan antara masjid dan surau, bahkan surau Jumaat. Setelah melihat pelbagai pandangan dan hujah, kami lebih cenderung kepada pendapat yang membolehkannya sebagaimana yang difatwakan dalam Majlis Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan. Justeru, kami katakan  dibolehkan untuk beriktikaf di Surau Jumaat kerana ia menepati ciri-ciri sebuah masjid. Oleh itu, tidak menjadi masalah untuk anda melakukan iktikaf atau Solat Tahiyatul Masjid di dalam Surau Jumaat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”