Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Isteri saya pengidap kanser tahap 4 dan keadaan fizikalnya lemah dan boleh dikatakan sentiasa dalam keadaan berhadas (najis meleleh keluar tanpa sedar). Bolehkah beliau solat jamak tanpa qasar dan menggunakan satu wudhuk sahaja?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Setiap solat fardhu lima waktu yang disyariatkan mempunyai waktu-waktu khusus yang telah ditetapkan untuk setiap solat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
(Surah al-Nisa’: 103)
Syeikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa Allah SWT menjadikan waktu solat itu ada waktu yang khusus untuk ditunaikan. Ini bermakna bahawa hukum Allah ini adalah kefardhuan yang mesti dilaksanakan dalam tempoh yang tertentu dengan segera yang mungkin. Antara hikmahnya ialah jika tiada tempoh waktu yang khusus maka manusia pasti tidak akan melakukannya ataupun melakukan dalam keadaan cuai dan leka. (Lihat Tafsir Al-Maraghi, 5/143-144)
Dalam isu di atas, kami mendoakan agar Allah SWT memberikan kesembuhan dan keringanan kepada mereka yang sedang dirawat di hospital. Dalam hal ini, seorang pesakit yang mempunyai kesulitan untuk solat pada waktunya dibenarkan untuk menjama’kan antara dua solat, iaitu solat zohor bersama asar, dan solat maghrib besama isyak secara jama’ taqdim atau ta’khir mengikut cara yang mudah baginya. Kesukaran dan kesulitan yang timbul akibat sakit merupakan antara keuzuran yang mengharuskan untuk menjama’kan solat.
Nabi SAW juga memberikan kelonggaran kepada wanita yang mengalami istihadhah, iaitu darah yang keluar daripadanya di luar hari-hari kebiasaan haidnya untuk menjama’kan antara dua solat. Hal ini sebagaimana riwayat Aisyah R.Anha, katanya:
اسْتُحِيضَتِ امْرَأَةٌ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأُمِرَتْ أَنْ تُعَجِّلَ الْعَصْرَ وَتُؤَخِّرَ الظُّهْرَ وَتَغْتَسِلَ لَهُمَا غُسْلًا، وَأَنْ تُؤُخِّرَ الْمَغْرِبَ وَتُعَجِّلَ الْعِشَاءَ وَتَغْتَسِلَ لَهُمَا غُسْلًا، وَتَغْتَسِلَ لِصَلَاةِ الصُّبْحِ غُسْلً
Maksudnya: “Seorang perempuan mengalami istihadah pada zaman Rasulullah SAW dan dia diperintahkan untuk mempercepatkan solat asar dan menangguhkan solat Zohor, kemudian mandi wajib untuk keduanya. Dia juga diperintahkan untuk menangguhkan solat Maghrib dan mempercepat solat Isyak, serta mandi junub untuk keduanya. Selain itu, dia diperintahkan untuk mandi junub untuk solat Subuh.”
Riwayat Abu Dawud (287) al-Tirmizi (128), al-Nasaie (213) dan Ahmad (25430). Hadith ini dinilai sahih oleh al-Wadi’i dalam al-Sahih al-Musnad (1623).
Sebahagian ulama’ menganggap hadith yang dibincangkan di atas lebih kepada Jama’ Suri iaitu gambaran jama’ tetapi hanya menta’khirkan waktu pertama dan seterusnya mentaqdimkan waktu yang kedua. Wallahu a’lam.
Istihadah adalah sejenis penyakit. Imam Ahmad berhujah bahawa dibolehkan menjama’kan antara dua solat bagi orang sakit dengan alasan bahawa penyakit lebih berat daripada musafir. (Lihat Kassyaf al-Qina’, 2/5)
Namun begitu, perlu diberi perhatian bahawa individu yang dibenarkan menjama’kan antara dua solat harus menunaikan setiap solat secara sempurna sahaja tanpa menqasarkannya.
Syeikh al-Islam Taiyuddin Ibn Taymiyyah berkata, “Qasar solat adalah khusus untuk musafir, ia tidak dibenarkan dalam keadaan lain selain musafir. Adapun menjama’kan solat, sebab dibolehkan adalah dengan keperluan ataupun keuzuran. Jika seseorang itu memerlukan, maka dia boleh menjama’kan solatketika musafir yang singkat atau yang panjang, begitu juga dibolehkan jama’ hujan dan seumpamanya, ketika sakit dan lain-lain dengan sebab yang tertentu. Tujuan dibenarkan jama’ ini ini adalah untuk mengangkat kesukaran daripada umat ini.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 22/293).
Selain tu, sekiranya pesakit itu tidak mampu untuk solat dalam keadaan berdiri, maka dia boleh solat dalam keadaan duduk, jika tidak mampu, dia boleh solat dalam keadaan mengiring, Hal ini sebagaimana riwayat daripada Imran bin Husoiin RA: Aku dahulu terkena buasir, lalu aku bertanyakan Rasulullah SAW tentang solatku, Baginda SAW bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Solatlah kamu secara berdiri, jika kamu tidak mampu, maka solatlah secara duduk. Jika tidak mampu (juga) maka solatlah di atas lambung (yakni baring mengiring).”
Riwayat al-Bukhari (1117)
Imam al-Nawawi menjelaskan: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/310)
Begitu juga berdasarkan pendapat yang disebut oleh Imam al-Ramli seperti dinukil oleh Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu solat secara duduk apabila terdapatnya masyaqqah (kepayahan) yang boleh menghilangkan kekhusyukan semasa solat. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 214)
Imam Al-Nawawi berkata lagi dalam kitab al-Majmu’ (4/226): Umat telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran. Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
Maksudnya: “Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat.”
Riwayat al-Bukhari (2996)
Manakala Imam al-Syaukani ketika mengulas hadith Imran bin Husoin R.A di atas berkata: Hadith Imran menunjukkan kepada keharusan bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak mampu berdiri untuk solat dalam keadaan duduk. Manakala sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak boleh duduk maka dia boleh untuk solat di atas lambungnya. (Lihat Nail al-Autar, 3/243)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini dibolehkan untuk isteri anda melakukan solat secara jamak (sama ada secara taqdim atau ta’khir bergantung kepada keadaan yang memudahkannya) dan tidak secara qasar, ini kerana qasar hanya dibenarkan bagi mereka yang bermusafir sahaja. Selain itu, sekiranya dia tidak mampu berdiri, dia boleh solat dalam keadaan duduk atau dalam keadaan yang dia mampu. Berkenaan status wudhuknya, pada asalnya solat hendaklah dilakukan dalam keadaan suci. Maka, sekiranya najis itu keluar ketika dia melakukan solat fardhu, maka dia perlu bersihkan najis tersebut dan mengambil wudhuk buat kali kedua. Akan tetapi, dalam situasi isteri anda yang kritikal, kami katakan dibolehkan untuk meneruskan solat fardhu yang kedua apabila dilakukan secara jamak.
Firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Syeikh Abd al-Rahman al-Sa`di berkata: “Ayat ini menunjukkan bahawa semua kewajipan syarak yang tidak mampu ditanggung oleh hamba, maka akan gugur jika dia tidak mampu. Dia mampu untuk melaksanakan sebahagian daripada kewajipan itu, tetapi tidak mampu pada sebahagian yang lain, maka dia melaksanakan pada apa yang dia mampu sahaja, dan gugur pada perkara yang dia tidak mampu, seperti mana sabda Nabi SAW: Jika kamu semua diperintahkan dengan suatu perintah maka laksanakannya berdasarkan kemampuan kamu.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 313)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)
Wallahu a`lam