Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Ibu saya baru sahaja meninggal dunia. Dalam banyak-banyak sumbangan yang kami terima, ada satu sumbangan dari orang yg orang ramai sedia maklum pekerjaan/perniagaannya adalah menjual ganja/dadah. Bolehkah kami menggunakan duit tersebut untuk membayar fidyah puasa ibu saya atau membeli batu nisan atau apa-apa yang berkaitan? Jika tidak boleh, apa perlu kami lakukan dengan sumbangan wang tersebut? Terima kasih Dato.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Abi Hurairah R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ تَعَالَى: “يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا”، وَقَالَ تَعَالَى: “يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ” ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ! يَا رَبِّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ؟”.
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Baik dan hanya menerima yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) perintah yang disampaikan kepada para nabi. Kemudian beliau membaca firman Allah, ‘Wahai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.’ Dan firman-Nya, ‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik baik yang telah Kami anugerahkan kepadamu. ’Kemudian beliau menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan?”
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Sesiapa yang hartanya lebih banyak daripada sumber yang haram, makruh untuk menerima pemberian daripadanya sebagaimana makruh melakukan apa-apa transaksi dengannya. (Lihat Raudhat al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin, 337/7)
Namun, jika harta itu haram pada sebab perolehannya dan sifatnya, seperti yang diperoleh melalui akad yang haram seperti riba, atau bekerja di tempat yang haram, atau perolehah dari hasil perjudian maka dosa adalah ke atas orang yang memperolehnya. Oleh yang demikian dibenarkan bagi sesiapa yang menerima harta itu melalui cara yang dibenarkan untuk memanfaatkannya, seperti menerima hadiah atau menerima pembayaran hutang dan seumpamanya.
Syeikh Ibn Uthaimin menyatakan dalam tafsirnya bagi Surah Al-Baqarah: Adapun harta yang haram kerana cara perolehannya, seperti yang diperoleh melalui penipuan, riba, atau pembohongan, dan seumpamanya; harta ini haram bagi orang yang memperolehnya, tetapi tidak haram bagi orang lain jika mereka memperolehnya melalui cara yang dibenarkan. (Lihat Tafsir al-Uthaimin: Al-Fatihah dan al-Baqarah, 1/198)
Begitu juga, firman Allah SWT:
وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا
Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.
(Surah al-An’am: 164)
Ayat di atas menerangkan bahawa dosa adalah dipikul oleh siapa yang melakukannya, seseorang hanya menanggung dosa atau kesalahan yang dilakukannya sahaja dan dia tidak menanggung dosa atau kesalahan yang dilakukan oleh orang lain. Begitu juga keadaannya dengan pahala. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 212/3; Tafsir al-Mawardi, 196/2)
Kesimpulan
Justeru, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak mengapa untuk anda menerima duit hadiah pemberian kenalan anda tersebut kerana dosa itu hanya ditanggung kepada orang yang menjual ganja dan dadah itu sahaja dan tidak kepada mereka yang menerimanya secara hadiah atau sedekah. Akan tetapi, anda tidak boleh redha dengan perbuatannya itu dan disarankan supaya menasihati pelaku tersebut untuk hentikan perbuatannya itu, bertaubat kepada Allah serta carilah pendapatan daripada sumber yang halal. Justeru, tidak perlu untuk anda membuang duit tersebut sebaliknya manfaatkanlah duit tersebut bagi memastikan urusan jenazah ibu anda dapat diselesaikan dengan sebaiknya.
Walaupun begitu, kami nasihatkan, lebih baik mengelakkan dalam isu seperti ini kerana boleh jadi terkait dengan implikasi undang-undang sama ada syubhah atau dianggap terlibat sama. Melainkan jika sebenarnya dia tidak mengetahui sumber yang diberikan kepadanya tersebut. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Wallahua’lam