Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hikmah anak lelaki mendapat dua bahagian dan anak perempuan mendapat satu bahagian dalam pembahagian faraidh atau pusaka?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”

(Surah al-Nisa’: 7)

Para ulama ketika menerangkan sebab penurunan ayat ini menyatakan bahawa ketika zaman sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah), wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat sedikit pun daripada harta pusaka yang ditinggalkan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu, hanya lelaki yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga sahaja mewarisi harta pusaka. Hal ini dapat dilihat dalam satu kisah yang direkodkan bahawa ada seorang lelaki dari kaum Ansar meninggal dunia sebelum diturunkan ayat ini, dalam masa yang sama dia meninggalkan empat orang anak perempuan. Namun, kesemua harta yang ditinggalkan diambil oleh sepupunya. Oleh  kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat ini yang menyatakan bahawa wanita juga berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka dan sekali gus memuliakan wanita. (Lihat Tafsir Muqatil Bin Sulaiman, 127/5; Tafsir al-Tabari, 597/7; Tafsir al-Maturidi, 28/3; al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabla al-Islam, 237/10)

Sesungguhnya Allah SWT tidak mensyariatkan sesuatu melainkan kerana hikmah, maslahat, dan kebaikan di dunia serta akhirat. Bahkan, Allah SWT sendiri yang mengatur pembahagian harta pusaka di dalam kitab-Nya dan tidak menyerahkan perkara ini kepada Nabi-Nya SAW. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya urusan faraid.

Allah SWT telah menetapkan bahawa apabila seseorang itu meninggal dunia, maka harta peninggalannya akan diwarisi oleh para warisnya yang berhak, dan bagi setiap orang baik lelaki mahupun perempuan ada bahagian masing-masing dalam perwarisan ini. Kemudian ayat ini dijelaskan lagi dalam perihal bahagian anak lelaki dan anak perempuan melalui firman-Nya:

يُوصِيكُمُ اللَّـهُ فِي أَوْلَادِكُمْ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ

Maksudnya: Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.

Surah al-Nisa’ (11)

Dalam ayat ini, Allah S.W.T menjelaskan bahawa bahagian pusaka bagi seorang anak lelaki bersamaan dengan bahagian dua orang anak perempuan, iaitu bahagian lelaki adalah dua kali ganda lebih banyak berbanding bahagian perempuan.

Imam al-Tabari berkata: “Allah Yang Maha Mulia menyampaikan kepada kamu firman-Nya: (يوصيكم الله), Allah memberi perintah kepada kamu berkenaan anak-anak kamu bahawa bahagian seorang anak lelaki adalah dua kali ganda bahagian seorang anak perempuan. Maksudnya, Allah memerintahkan kamu apabila seseorang meninggal dunia dan meninggalkan anak-anak lelaki dan perempuan, maka harta peninggalan itu dibahagikan antara mereka; lelaki mendapat dua kali ganda bahagian perempuan, jika tiada waris lain selain mereka. Sama ada anak-anak itu kecil atau dewasa, lelaki atau perempuan, kesemuanya mendapat harta pusaka itu dengan bahagian lelaki dua kali ganda bahagian perempuan.”

Beliau juga berkata: “Seakan-akan dikatakan bahawa Allah SWT berfirman: Kepada kamu mengenai anak-anak kamu, lelaki mendapat dua kali ganda bahagian perempuan.”

Beliau menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan kepada Nabi SAW sebagai penjelasan daripada Allah mengenai hukum yang wajib dalam pewarisan bagi orang yang meninggal dunia dan meninggalkan waris, sebagaimana yang telah diterangkan. Ini kerana pada zaman jahiliah, mereka tidak membahagikan harta pusaka kepada waris yang tidak berperang, seperti anak-anak kecil dan perempuan. Mereka hanya memberikan harta pusaka kepada orang yang berperang. Allah SWT menjelaskan bahawa harta peninggalan si mati mesti dibahagikan kepada mereka yang dinamakan dan ditentukan dalam ayat ini serta di akhir surah ini. Anak-anak kecil, dewasa, lelaki, dan perempuan kesemuanya mendapat harta pusaka bapa mereka, dengan lelaki menerima dua kali ganda bahagian perempuan, jika tiada waris lain. (Lihat Tafsir al-Tabari, 6/456-457)

Beliau juga berkata lagi: “Maksud firman-Nya:

فَإِن كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ

adalah, jika yang ditinggalkan hanyalah anak-anak perempuan lebih daripada dua orang. Maksudnya, anak-anak perempuan si mati lebih ramai daripada dua orang. Maka bagi mereka dua pertiga daripada harta peninggalan, setelah diambil hak waris lain, jika tiada anak lelaki berserta mereka.” (Lihat Tafsir al-Tabari, 6/460)

Syeikh al-Mutawalli al-Sya’rawi berkata berdasarkan ayat ini: Allah SWT menjadikan bahagian perwarisan bagi perempuan sebagai kayu ukur iaitu dengan cara bahagian lelaki ditentukan dengan melihat kayu ukur iaitu bahagian perempuan, maka jadilah bahagian bagi seorang anak lelaki bersamaan dengan bahagian dua orang anak perempuan. Lalu ketika beliau ditanya, dimanakah keadilannya di dalam ayat ini yang jelas menunjukkan kurangnya nisab bagi perempuan?

Maka syeikh menjawab bahawa seorang suami dituntut untuk memberi nafkah kepada isterinya, begitu juga seorang lelaki dituntut untuk menafkahi seorang perempuan, maka separuh bahagian lelaki (bagi perempuan) adalah cukup baginya walaupun dia belum berkahwin, sehinggalah perempuan tersebut berkahwin dan bahagiannya itu akan tetap bersamanya kerana suaminya yang perlu menafkahinya. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 4/2025)

Dr. Wahbah Zuhaili berkata di dalam tafsirnya, bahagian anak lelaki bersamaan dengan dua bahagian anak perempuan adalah kerana para lelaki memiliki kewajipan memberi nafkah, bekerja menanggung berbagai tanggungan yang berat dan membayar mahar. Sedangkan perempuan sama sekali tidak dibebani kewajipan memberi nafkah kepada siapa pun, sama ada ia sebagai anak perempuan, saudara perempuan, ibu, isteri atau sebagainya. Perempuan hanya menafkahi dirinya sendiri setelah dia besar atau sudah baligh jika dia belum bersuami. (Lihat Tafsir al-Munir, 4/273)

Dalam sebuah hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas R.A:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Berikan bahagian warisan yang ditentukan kepada pemiliknya. Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya”.

Riwayat al-Bukhari (6732), Muslim (1615)

Imam al-Nawawi berkata: Yang dimaksudkan dengan أولى رجل ialah lelaki yang paling hampir (yang paling dekat nasabnya) dan bukannya bermaksud lebih layak. Beliau kemudiannya menambah lagi bahawa Nabi S.A.W menjelaskan الرجل di sini sebagai ذكر sebagai penjelasan ke atas sebab kelayakannya ialah lelaki iaitu yang menjadi sebab ‘asabah dan juga sebab keutamaan dalam hal perwarisan. Disebabkan itu dijelaskan dalam al-Quran, perkaitannya dengan ayat al-Quran di atas, yakni hikmahnya iaitu lelaki menanggung beban atau kesulitan yang banyak dari sudut kewangan, kekeluargaan, dan sebagainya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 11/53)

Muhammad Hasan Abd al-Ghaffar dalam menjelaskan hikmah pemberian bahagian lelaki dua kali ganda daripada bahagian perempuan dalam pewarisan harta berkata: Antara golongan yang mengambil pendirian seperti zaman jahiliah ialah mereka yang bersikap melampau terhadap agama Allah SWT, mempertikaikan hikmah-Nya, dan berkata: “Mengapa lelaki diberikan dua kali ganda bahagian perempuan dalam pewarisan harta, sedangkan terdapat perempuan yang lebih baik daripada lelaki? Ini bukanlah suatu hikmah jika lelaki diberi bahagian lebih besar.”

Kepada mereka, kita katakan: Ini adalah penghinaan terhadap hikmah Allah SWT. Kepada golongan yang dangkal pemikirannya ini, kita jawab: Jika kamu benar-benar melihat secara mendalam terhadap hukum-hakam Allah SWT dan sedar bahawa kamu hanyalah hamba Allah, pastinya kamu hanya akan berkata, “Kami dengar dan kami taat.” Ini kerana kesempurnaan mutlak milik Allah SWT semata-mata, dan segala perbuatan-Nya penuh dengan kesempurnaan.

Lelaki menanggung beban yang berat, termasuk menunaikan mahar dan mas kahwin kepada isteri, menanggung nafkah isteri dan anak-anak, serta menanggung nafkah ibu bapa. Selain itu, lelaki juga wajib membayar diyat (tebusan darah) jika diperlukan, sedangkan wanita tidak diwajibkan menyumbang kepada pembayaran diyat oleh ahli keluarga lelaki. Sebaliknya, wanita duduk di rumah dalam keadaan dimuliakan bak seorang ratu.

Dengan penjelasan ini, jelaslah bahawa hikmah di sebalik pemberian bahagian lelaki dua kali ganda daripada bahagian perempuan dalam pewarisan harta adalah sangat adil dan wajar. (Lihat Kitab Masail Khalafa Fiha Rasulullah Ahl al-Jahiliyyah, 2/12)

Justeru, hikmah di sebalik ketetapan bahagian lelaki dua kali ganda bahagian perempuan adalah kerana perempuan tidak memerlukan harta seperti keperluan lelaki. Nafkahnya sebelum berkahwin adalah di bawah tanggungan ayahnya atau orang yang bertanggungjawab menanggung nafkahnya, dan selepas berkahwin, nafkahnya menjadi tanggungjawab suaminya. Jika suaminya tidak mampu, nafkahnya wajib ditanggung oleh anak-anaknya. Keadaan ini berbeza dengan lelaki yang perlu menanggung nafkah orang lain seperti anak-anak, ibu bapa, isteri, dan lain-lain.

Bahkan, seorang Muslim mesti menerima syariat Allah SWT dengan penuh kepatuhan dan berkata: “Kami dengar dan kami taat,” sama ada dia memahami hikmah di sebalik sesuatu ketetapan atau tidak. Namun, mengetahui hikmah tersebut memberikan ketenangan jiwa.

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”