Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Seorang individu telah mengambil tempat imam rawatib dan menunaikan solat di tempat imam di mihrab, sedangkan imam rawatib hadir dan tidak menyukai tindakan tersebut. Namun, orang yang melakukan perbuatan tersebut tetap solat di tempat tersebut. Adakah imam rawatib tersebut boleh mendirikan solat berjemaah lain semasa jemaah yang bertindak ini sedang solat? Atau adakah dia perlu menunggu sehingga mereka selesai solat dan kemudian mendirikan solat berjemaah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sudah menjadi prinsip dalam solat berjemaah bahawa imam tetap (imam rawatib) adalah individu yang paling berhak untuk mengimamkan solat di masjidnya, dan tidak boleh diimamkan oleh orang lain tanpa kebenaran imam rawatib. Diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَلَا يَؤُمَّنَّ الرَّجُلُ الرَّجُلَ فِي سُلْطَانِهِ

Maksudnya: “Janganlah seseorang menjadi imam di wilayah kekuasaan orang lain.”

Riwayat Muslim (673)

Imam al-Nawawi menjelaskan: Maksudnya ialah bahawa pemilik rumah, pemilik majlis, dan imam masjid lebih berhak untuk menjadi imam berbanding orang lain, walaupun orang lain itu lebih faqih, lebih pandai membaca al-Quran, lebih warak, atau lebih utama daripadanya. Pemilik tempat tetap lebih berhak.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/173).

Ibn Qudamah berkata: Imam tetap (rawatib) lebih utama daripada orang lain kerana dia seperti pemilik rumah atau pemimpin tempat itu. Ibn Umar pernah datang ke tanahnya yang mempunyai masjid di mana hambanya biasa mengimami solat di situ. Apabila mereka meminta beliau menjadi imam, beliau menolak dan berkata: ‘Pemilik masjid lebih berhak.’(Lihat al-Mughni, 3/42).

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menyatakan: “Imam masjid adalah lebih berhak, walaupun ada orang lain yang lebih pandai membaca al-Quran atau lebih alim. Ini kerana sabda Nabi SAW: ‘Janganlah seseorang menjadi imam di wilayah kekuasaan orang lain.’ Imam masjid mempunyai hak di masjidnya, dan solat tidak boleh didirikan tanpa izinnya.” (Lihat al-Syarh al-Mumti’, 4/211).

Larangan Mendahului Imam Tetap atau Rawatib

Para ulama’ menetapkan bahawa haram mendahului imam tetap dalam mengimami solat berjemaah kecuali dengan sebab yang munasabah seperti kelewatan imam atau imam tidak dapat hadir yang menyebabkan kesukaran kepada jemaah untuk menunggu.

Ibn Muflih berkata: “Tidak boleh seseorang menjadi imam di masjid sebelum imam tetap kecuali dengan izinnya. Imam Ahmad berkata, ‘Tidak dibenarkan bagi mereka melakukannya.’ Hal ini kerana imam tetap seperti pemilik rumah yang lebih berhak berdasarkan sabda Nabi SAW: ‘Tidak boleh seseorang menjadi imam di rumah orang lain kecuali dengan izinnya.’”(Lihat al-Mubdi’ fi Syarh al-Muqni’, 2/52).

Imam al-Hattab al-Maliki berkata: “Adapun jika terdapat dua atau lebih jemaah di satu masjid, kemudian solat didirikan oleh imam tetap, sedangkan kumpulan lain masih tetap berada di masjid tanpa keperluan mendesak dan meninggalkan solat bersama imam tetap… atau berlaku dalam satu solat tertentu, seperti solat Maghrib, di mana setiap imam mendirikan solat dengan suara kuat yang dapat didengar oleh semua orang, dan wajah mereka saling bertentangan, sedangkan makmum dari kedua-dua pihak bercampur dalam saf, mendengar bacaan imam-imam lain, di mana ada yang sedang rukuk, ada yang sedang bangkit dari rukuk, dan ada pula yang sedang sujud. Maka, para ulama sepakat bahawa solat seperti ini tidak dibenarkan, dan sekurang-kurangnya ia dianggap makruh.” (Lihat Mawahib al-Jalil, 2/109).

Namun, jika masjid itu luas dan kumpulan yang mendahului solat berjemaah imam tetap berada di sudut lain, dan imam tetap tersebut dapat mendirikan solat berjemaah bersama kumpulannya tanpa terganggu, begitu juga makmum yang mengikutinya, maka tidak ada masalah bagi imam tetap untuk mendirikan solat berjemaah meskipun kumpulan pertama masih solat. Namun, dosa itu tetap berada pada kumpulan yang mendahului tersebut, begitu juga mereka yang mengetahui keadaan itu tetapi tetap menyertainya.

Kesimpulan

Imam tetap adalah pihak yang paling berhak untuk mengimamkan solat di masjidnya. Mendahului atau merampas kedudukan imam tetap tanpa sebab yang munasabah adalah dilarang oleh syara’, dan tindakan ini boleh menyebabkan solat menjadi makruh atau batal. Imam tetap pula disarankan menunggu sehingga kumpulan tersebut selesai solat sebelum mendirikan solat berjemaah yang sebenar untuk mengelakkan kekeliruan dan kekacauan.

Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”