Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana niat membezakan antara ibadah dan amalan rutin dalam kehidupan harian?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya”.

(Surah al-Bayyinah: 5)

Imam al-Qurtubi menafsirkan ayat ini dengan ayat yang lain iaitu: Firman Allah SWT: “قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّـهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ” (Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad SAW): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadah hanya kepada-Nya”.) [Surah al-Zumar: 11].  Ayat ini menjadi dalil bahawa wajibnya kita berniat dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan ibadah. Ini kerana, ikhlas merupakan amalan hati dan ia perlulah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan tidak pada selain daripada-Nya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 20/144)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan hadith Nabi SAW:

  وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَـوَى

Maksudnya: “Dan sesungguhnya setiap orang memperolehi apa yang diniatkan.

Riwayat al-Bukhari (1)

Maksud niat di sini seperti kata Syeikh al-Sa’di adalah melakukan amalan dengan sengaja untuk mendekatkan diri kepada Allah, meraih redha dan pahala daripada-Nya. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar wa Qurrah ‘Uyun al-Akhyar, hlm. 6). Kenyataan Baginda SAW “Sesungguhnya setiap amalan bergantung dengan niat” memberi maksud amalan yang berkenaan dengan ketaatan bukan amalan yang bersifat harus apatah lagi yang makruh dan haram.

Dalam ibadah, niat mesti tertumpu kepada mencari keredhaan Allah SWT. Niat penting kerana dengan niatlah suatu ibadah itu dapat dibezakan sama ada ia adalah ibadah yang wajib ataupun sunat, seperti solat, puasa dan sebagainya. Manakala, amalan rutin harian seperti makan, minum, berehat, bekerja atau seumpamanya boleh menjadi ibadah dan diberi pahala jika disertai niat yang baik, seperti untuk menjaga kesihatan atau menyara keluarga demi Allah.

Benarlah firman Allah SWT:

فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”

(Surah al-Kahfi: 110)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Barangsiapa yang beriman dengan pertemuan dengan Allah dan sangat menginginkan pahala Allah bagi ketaatannya, hendaklah dia mendekatkan diri kepada-Nya dengan amal soleh dan mengikhlaskan ibadah untuk-Nya, serta menjauhi kesyirikan dalam beribadah dan tidak menyekutukan-Nya dengan satu pun dari makhluk-Nya, sama ada dengan kesyirikan yang jelas, seperti menyembah berhala, atau yang tidak kelihatan seperti melakukan amal dengan riya’ atau sum’ah, dan ingin dikenali oleh orang ramai. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 8/330)

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”