Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah peranan niat dalam menentukan nilai dan keberkatan sesuatu perbuatan menurut ajaran Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا
Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”
(Surah al-Kahfi: 110)
Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Barangsiapa yang beriman dengan pertemuan dengan Allah dan sangat menginginkan pahala Allah bagi ketaatannya, hendaklah dia mendekatkan diri kepada-Nya dengan amal soleh dan mengikhlaskan ibadah untuk-Nya, serta menjauhi kesyirikan dalam beribadah dan tidak menyekutukan-Nya dengan satu pun dari makhluk-Nya, sama ada dengan kesyirikan yang jelas, seperti menyembah berhala, atau yang tidak kelihatan seperti melakukan amal dengan riya’ atau sum’ah, dan ingin dikenali oleh orang ramai. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 8/330)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, sesuatu perbuatan hanya dianggap bernilai di sisi Allah jika dilakukan dengan niat yang ikhlas, iaitu semata-mata kerana Allah SWT. Firman Allah SWT:
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ
Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya”.
(Surah al-Bayyinah: 5)
Imam al-Qurtubi menafsirkan ayat ini dengan ayat yang lain iaitu: Firman Allah SWT: “قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّـهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ” (Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad SAW): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadah hanya kepada-Nya”.) [Surah al-Zumar: 11]. Ayat ini menjadi dalil bahawa wajibnya kita berniat dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan ibadah. Ini kerana, ikhlas merupakan amalan hati dan ia perlulah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan tidak pada selain daripada-Nya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 20/144)
Begitulah juga halnya berkenaan keberkatan, di mana niat yang baik sudah pasti membawa keberkatan kepada amalan rutin harian kerana ia pada asalnya suatu yang diharuskan, kemudian menjadi ibadah dan bernilai di sisi Allah SWT disebabkan oleh niat yang baik tadi. Contohnya, makan dengan niat memberi kekuatan untuk beribadah atau bekerja untuk menafkahi keluarga menjadi ibadah yang diberkati.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”