Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana hadith “Sesungguhnya segala amalan bergantung kepada niatnya” relevan dalam konteks politik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW:

  وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَـوَى

Maksudnya: “Dan sesungguhnya setiap orang memperolehi apa yang diniatkan.

Riwayat al-Bukhari (1)

Maksud niat di sini seperti kata Syeikh al-Sa’di adalah melakukan amalan dengan sengaja untuk mendekatkan diri kepada Allah, meraih redha dan pahala daripada-Nya. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar wa Qurrah ‘Uyun al-Akhyar, hlm. 6). Kenyataan Baginda SAW “Sesungguhnya setiap amalan bergantung dengan niat” memberi maksud amalan yang berkenaan dengan ketaatan bukan amalan yang bersifat harus apatah lagi yang makruh dan haram.

Hadith ini amat relevan dalam konteks politik kerana ia menekankan peri pentingnya niat ikhlas dan tujuan yang benar dalam setiap tindakan, termasuk dalam urusan pemerintahan dan kepimpinan. Pemimpin harus berniat untuk menegakkan keadilan, menjaga kebajikan rakyat, dan mencari keredhaan Allah, bukan semata-mata untuk kepentingan peribadi, kekuasaan, atau harta. Dalam Islam, pemimpin bertanggungjawab kepada Allah SWT atas amanah yang diberikan. Jika niatnya benar, maka segala keputusan dan polisi yang dibuat akan membawa manfaat kepada rakyat dan dapat dirasai oleh mereka. Sebaliknya jika niatnya tidak benar atau tindakannya itu hanyalah semata-mata demi kepentingan peribadi, kekuasaan atau harta, maka segala keputusan yang dibuat, tidak akan memberi manfaat kepada rakyat mahupun dapat dirasai oleh mereka.

Benarlah sabda Nabi SAW:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلاَّ حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Tiada dikalangan hamba yang diberikan kepimpinan untuk memimpin rakyatnya dan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya di bawah pimpinanya, melainkan Allah mengharamkan ke atasnya syurga”.

Riwayat al-Bukhari (7150) dan Muslim (142)

Sedangkan apabila seseorang itu memerintah dengan niat yang baik, semata-mata mencari redha Allah dan mengajak seluruh rakyatnya untuk beriman dan bertakwa, pasti Allah memberkati negara tersebut dan mengurniakan dengan pelbagai keamanan serta rezeki yang diberkati-Nya. Firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Surah al-A’raf (96)

Ibn Kathir berkata: “وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا” (Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa), maksudnya, hati mereka beriman dan membenarkan terhadap apa yang dibawa oleh para Rasul, lalu mereka mengikuti Rasul dan bertakwa dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan semua larangan, ” لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ” (tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi). Maksudnya, hujan dari langit dan tanaman dari bumi. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/420)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)