Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana konsep niat yang tulus diaplikasikan dalam kepemimpinan dan politik Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
Maksudnya: “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”
(Surah al-Sajdah: 24)
Ibn Kathir berkata: Iaitu tatkala mereka sabar dalam melaksanakan perintah-perintah Allah dan dalam menjauhkan larangan-larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikuti risalah yang diberikan kepada mereka, nescaya mereka menjadi pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah kami, mengajak kepada kebaikan, memerintahkan yang makruf dan melarang kemungkaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/430)
Dalam konteks kepemimpinan dan politik Islam, niat yang tulus bermaksud melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas demi mencari keredhaan Allah SWT, menjaga amanah rakyat, dan menegakkan keadilan berdasarkan prinsip dan syariat Islam. Terdapat beberapa cara pengaplikasian konsep niat yang tulus ke dalam kepemimpinan dan politik Islam. Di antaranya:
Menjadikan Kepemimpinan sebagai suatu amanah dari Allah SWT. Ini kerana dalam Islam, kepemimpinan bukanlah alat untuk mengejar kekuasaan, kemegahan, atau keuntungan peribadi. Sebaliknya, ia adalah amanah berat yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Menghindari sikap tamak dan kepentingan peribadi. Niat yang tulus menjauhkan seorang pemimpin daripada bersikap tamak atau menggunakan kuasa untuk keuntungan peribadi. Justeru, pemimpin dengan niat tulus akan menjauhi rasuah, salah guna kuasa, dan segala bentuk penyelewengan yang merugikan rakyat.
Berusaha menegakkan keadilan. Keadilan adalah teras dalam kepemimpinan Islam, dan hanya dapat dicapai apabila pemimpin memiliki niat yang murni. Hal ini selari dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ ۚ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا ۖ فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَىٰ أَن تَعْدِلُوا ۚ وَإِن تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
(Surah an-Nisa’: 135)
Justeru, pemimpin yang berniat ikhlas akan meletakkan keadilan sebagai asas utama dalam membuat keputusan, tanpa dipengaruhi oleh tekanan atau kepentingan tertentu.
Mengutamakan kemaslahatan rakyat. Kepemimpinan dalam Islam bertujuan untuk memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Pemimpin yang berniat tulus akan sentiasa berusaha menjaga kepentingan rakyat dan melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi. Ini selari dengan hadith:
خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ
Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada orang lain.”
Riwayat al-Qudha‘i dalam Musnad al-Syihab (1234) dan al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (5787); Dinilai sebagai hasan oleh al-Albani dalam Bidayah al-Sul (44)
Mengamalkan keteladanan. Pemimpin yang berniat tulus akan menjadi teladan yang baik kepada rakyatnya, seperti mana Rasulullah SAW yang menunjukkan akhlak terpuji dalam semua aspek kehidupannya. Kepemimpinan dengan niat tulus tidak hanya tertumpu kepada kata-kata, tetapi diterjemahkan dalam perbuatan dan keputusan yang memuliakan agama dan umat.
Niat yang tulus dalam kepemimpinan dan politik Islam adalah asas kepada kejayaan dan keberkatan. Pemimpin yang melaksanakan tugasnya dengan ikhlas demi keredhaan Allah SWT tidak hanya memenuhi amanah rakyat, tetapi juga mendapat ganjaran besar di sisi-Nya.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”