Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah prinsip utama yang harus dipegang oleh seorang pemimpin Muslim dalam memastikan niat politiknya selari dengan ajaran Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

(Surah al-Nur: 55)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, nas ini menunjukkan peri pentingnya seorang pemimpin Muslim mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar sebagai asas utama dalam pentadbirannya. Di samping itu, terdapat beberapa prinsip yang lain. Antara prinsip utama yang harus dipegang oleh seorang pemimpin Muslim adalah:

  • Keikhlasan: Pemimpin mesti berniat untuk memimpin semata-mata kerana Allah SWT dan mencari keredhaan-Nya, bukan untuk keuntungan peribadi, kekuasaan, atau pengaruh.
  • Amanah: Kepemimpinan adalah amanah besar, dan pemimpin bertanggungjawab memastikan ia dilaksanakan dengan adil dan telus.
  • Mengutamakan Maslahat Umum: Pemimpin Muslim harus membuat keputusan berdasarkan kepentingan masyarakat keseluruhan, bukan kelompok tertentu.

Justeru, hadith daripada Abu Zar R.A, katanya:

قُلتُ: يا رَسولَ اللهِ، أَلا تَسْتَعْمِلُنِي؟ قالَ: فَضَرَبَ بيَدِهِ على مَنْكِبِي، ثُمَّ قالَ: يا أَبا ذَرٍّ، إنَّكَ ضَعِيفٌ، وإنَّها أَمانَةُ، وإنَّها يَومَ القِيامَةِ خِزْيٌ وَنَدامَةٌ، إلّا مَن أَخَذَها بحَقِّها، وَأَدّى الَّذِي عَلَيْه فِيهَا

Maksudnya: “Aku berkata kepada Rasulullah: Ya Rasululllah, tidakkah engkau melantikku menjawat jawatan?” Lalu Rasulullah menepuk belakangku sambil berkata: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau adalah lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah dan merupakan kehinaan dan penyesalan pada hari Kiamat nanti, kecuali bagi orang yang mendapatkannya dengan hak serta melaksanakannya dengan baik dan benar.”

Riwayat Muslim (1825)

Justeru, dengan menginsafi jawatan yang disandang tersebut, sudah pasti ia akan menunaikan sebaik mungkin amanah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.”