Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum membeli dan menyimpan mainan anak-anak yang berbentuk figura? Terima kasih Ustaz.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:
لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.”
Riwayat al-Bukhari (3225) dan Muslim (2016)
Al-Mubarakfuri berkata: Ungkapan “لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ” adalah dengan maksud malaikat rahmah, bukan malaikat hafazah (yang sentiasa bersama manusia dan mencatat perilakunya) dan bukan juga malaikat maut (yang mencabut nyawa). Ungkapan “بَيْتًا” adalah dengan maksud tempat tinggal. Maksud “صُورَةُ تَمَاثِيلَ” pula ialah gambar (berbentuk) manusia dan binatang. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/88)
Dalam hadith yang lain juga, Rasulullah SAW bersabda:
أنَّ أُمَّ حَبِيبَةَ، وأُمَّ سَلَمَةَ ذَكَرَتا كَنِيسَةً رَأَيْنَها بالحَبَشَةِ فِيها تَصاوِيرُ لِرَسولِ اللهِ ﷺ، فَقالَ رَسولُ اللهِ ﷺ: إنَّ أُولَئِكَ، إذا كانَ فِيهِمُ الرَّجُلُ الصّالِحُ، فَماتَ، بَنَوْا على قَبْرِهِ مَسْجِدًا، وصَوَّرُوا فيه تِلْكِ الصُّوَرَ، أُولَئِكِ شِرارُ الخَلْقِ عِنْدَ اللهِ يَومَ القِيامَةِ.
Maksudnya: “Bahawasanya Ummu Habibah dan Ummu Salamah Ranhuma teringat kepada tempat ibadat yang mereka pernah melihatnya di Habsyah yang terdapat patung-patung berhala di dalamnya dan menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Maka, Rasulullah SAW bersabda: “Pada satu ketika dahulu ada seorang lelaki yang soleh kemudian dia meninggal dunia. Maka, penduduk di situ mereka membina tempat ibadah di atas kuburnya dan mengukirkan patung-patung tersebut untuknya. Mereka itulah seburuk-buruk ciptaan di sisi Allah SWT pada hari Kiamat.”
Riwayat Muslim (528)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata bahawa hadith ini menunjukkan kepada pengharaman mengukir dan menyimpan patung. ( Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 1/525)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk anda membeli permainan kanak-kanak, dengan syarat ia tidaklah besar dan hanya permainan kanak-kanak. Begitu juga, sebaiknya selepas anak-anak anda selesai bermain, maka simpanlah ia di dalam kotak permainan.
Justeru itu, kami nyatakan dibolehkan untuk menyimpan patung permainan kanak-kanak yang kecil, akan tetapi sebaiknya berpada-pada agar tidak membawa kepada pembaziran. Sebagaimana firman Allah SWT:
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا ﴿٢٧﴾
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
(Surah al-Isra’:27)
Semoga penjelasan ini, dapat membantu kita dalam memahami Islam dengan lebih sempurna lagi. Wallahua’lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” 43