Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Dalam konteks politik moden, bagaimana pemimpin boleh mengekalkan keikhlasan niat di tengah tekanan kuasa dan pengaruh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

‏ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid.”

(Surah al-Bayyinah: 5)

Al-Baghawi berkata: “Iaitu supaya beribadat kepada Allah SWT dalam keadaan mengikhlaskannya.” Ibn Abbas berkata: “Tidaklah mereka disuruh dalam Taurat dan Injil kecuali mengikhlaskan ibadat semata-mata kerana Allah SWT dan mentauhidkannya.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 8/496)

Imam al-Qurthubi menafsirkan ayat ini dengan ayat yang lain iaitu, firman Allah SWT: ‘قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّـهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ’ (“Katakanlah (wahai Muhammad SAW): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadah hanya kepada-Nya”.) [Surah al-Zumar: 11] Ayat ini menjadi dalil bahawa wajibnya kita berniat dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan ibadah. Ini kerana, ikhlas merupakan amalan hati dan ia perlulah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan tidak pada selain daripada-Nya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 20/144)

Dalam konteks politik moden, pemimpin sering menghadapi tekanan untuk mempertahankan kuasa dan memenuhi kepentingan pihak tertentu. Namun, pemimpin Muslim dapat mengekalkan keikhlasan niat dengan memegang prinsip-prinsip berikut:

  • Berpegang teguh kepada nilai Islam.
  • Menanam kesedaran tentang amanah kepimpinan.
  • Memilih pasukan yang berintegriti.
  • Mencontohi kepemimpinan Rasulullah SAW.

Hendaklah sentiasa beristiqamah dan beriltizam dengan bersungguh-sungguh sebagaimana hadith Nabi SAW: Daripada Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi, katanya:

يَا رَسُوْلَ اللهِ ! قُلْ لِي فِي الإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ. قَالَ: قُلْ: آمَنْتُ بِاللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, ajarlah kepadaku berkenaan Islam, perkataan yang tidak perlu aku bertanya seseorang pun selainmu.”Sabda Baginda: Katakanlah – آمَنْتُ بِالله ‘ Aku beriman kepada Allah’ kemudian istiqamahlah.”

Riwayat Muslim (38), al-Baihaqi dalam al-Sunan (1/76), Ahmad dalam Musnadnya (5/371), dan al- Daraqutni dalam al-Sunan (3/45).

Ingatlah ucapan Rasulullah SAW kepada Abu Zar yang mengingatkan jawatan sebagai amanah. Diriwayatkan daripada Abu Zar R.A, katanya:

قُلتُ: يا رَسولَ اللهِ، أَلا تَسْتَعْمِلُنِي؟ قالَ: فَضَرَبَ بيَدِهِ على مَنْكِبِي، ثُمَّ قالَ: يا أَبا ذَرٍّ، إنَّكَ ضَعِيفٌ، وإنَّها أَمانَةُ، وإنَّها يَومَ القِيامَةِ خِزْيٌ وَنَدامَةٌ، إلّا مَن أَخَذَها بحَقِّها، وَأَدّى الَّذِي عَلَيْه فِيهَا

Maksudnya: “Aku berkata kepada Rasulullah: Ya Rasululllah, tidakkah engkau melantikku menjawat jawatan?” Lalu Rasulullah menepuk belakangku sambil berkata: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau adalah lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah dan merupakan kehinaan dan penyesalan pada hari Kiamat nanti, kecuali bagi orang yang mendapatkannya dengan hak serta melaksanakannya dengan baik dan benar.”

Riwayat Muslim (1825)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.”