Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah peranan ulama dan masyarakat dalam memantau serta menasihati pemimpin mengenai kejelasan niat mereka?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulul amri (para pemimpin) dari kalangan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Al-Zamakhsyari menafsirkan, makna “pemimpin” di sini adalah para pemerintah yang berada pada jalan kebenaran; kerana Allah SWT dan Rasul-Nya berlepas diri dari mana-mana pemerintah yang jahat. Maka pemimpin yang jahat ini tidak akan disebutkan selepas nama Allah dan Rasulullah SAW dalam kewajipan untuk taat. Sebaliknya, ayat ini hanya menghimpunkan para pemimpin yang sehaluan dengan perintah Allah SWT serta Rasul-Nya dalam mengutamakan keadilan, memilih kebenaran, mengajak kepada mentaati kedua-duanya, serta melarang untuk bertentangan dengan kedua-duanya, sepertimana al-Khulafa’ al-Rasyidun dan mereka yang mengikuti mereka. (Lihat al-Kassyaf, 1/524)

Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya. Justeru, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 4/2360)

Pada ayat yang sebelumnya, Allah SWT telah memerintahkan untuk menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan mereka yang diberikan amanah ini mestilah sentiasa berlaku adil dalam menjatuhkan sebarang hukum. Kemudian, di dalam ayat 59 ini pula Allah SWT menuntut agar umat manusia mentaati para pemimpin mereka yang telah diberikan amanah tersebut; kerana ketaatan ini merupakan kesan dari keadilan yang diimplementasi oleh pemimpin tersebut. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 5/96)

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Abi Ruqayyah Tamim bin Aus al-Dariy RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ، قَلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ، وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat. Kami bertanya: Kerana siapa? Sabda Baginda: Bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.”

Riwayat Muslim (55), Abu Daud (4944) dan al-Nasaie (7/156)

Nasihat bagi para pemimpin kaum muslimin adalah menasihati mereka, iaitu: menjelaskan kebenaran kepada mereka, tidak meresahkan dan menakutkan mereka, membantu dan menolong pemerintah dalam perkara-perkara yang hukumnya wajib untuk dibantu, bersedia menjadi para pejuang untuk mempertahankan tanah air daripada musuh luar, menegur pemerintah dengan cara lembut dan berhikmah. Pemerintah yang baik ialah pemerintah yang bertaqwa, menolong rakyatnya yang berada dalam kesusahan. Bermulanya suatu kehancuran kepada sesebuah pemerintahan ialah apabila berlaku hubungan yang tidak baik di antara rakyat dan pemerintah.

Yang dimaksudkan dengan pemimpin kaum Muslimin ialah para pemerintah umat Islam dan sesiapa sahaja yang dilantik oleh mereka. Termasuk juga dalam pengertian pemimpin umat Islam ialah para ulama dan golongan islah (golongan yang berusaha menggerakkan perubahan ke arah kebaikan). Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil Amri” (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu.

(Surah al-Nisa’: 59)

Adapun para ulama dan golongan islah tanggungjawab mereka dalam melaksanakan tanggungjawab al-Nasihah untuk kitab Allah dan Rasul-Nya adalah besar. Tanggungjawab ini menuntut supaya mereka menolak kehendak hawa nafsu yang sesat jauh daripada kitab Allah dan sunnah rasul-Nya serta menjelaskan dalil daripada kedua-duanya. Begitu juga menolak pendapat yang daif daripada ulama yang menyeleweng, menjelaskan hadis sahih dan daif yang terdapat dalam kitab sunnah dan masanid berdasarkan kepada kaedah illal hadis dan  al-Jarh wa Ta’dil.

Tanggungjawab mereka yang lebih besar ialah melaksanakan tanggungjawab al-Nasihah untuk para pemerintah dan menyeru mereka supaya berhukum dengan kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah akan menghisab mereka sekiranya mereka cuai  melaksanakan tangunggjawab ini. Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّ أَفْضَلَ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya jihad yang paling afdhal ialah menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim.”

Riwayat Ahmad (11143)

Al-Nasihah yang dilaksanakan mestilah tidak terhenti sekadar kata-kata bahkan mesti menjangkau ke peringkat yang membawa kepada amalan. Dengan itu, nasihat akan berperanan dalam masyarakat Islam sebagai penutup keaiban dan penyekat kepada kemudaratan, serta memberi ketenangan dan membawa kepada rahmat bagi seluruh umat. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 85-86)

Menjawab persoalan di atas, antara peranan ulama dalam hal ini secara ringkasnya adalah seperti berikut:

Menasihati Pemimpin Berlandaskan Hukum Syariat. Ulama berperanan sebagai penasihat utama kepada pemimpin, memberikan panduan yang berasaskan syariat Islam. Nasihat ini haruslah diberikan dengan hikmah, menekankan keadilan, dan merujuk kepada al-Quran serta Sunnah. Di samping itu, ulama juga membantu memastikan pemimpin tidak tersasar daripada prinsip Islam, memperbaiki niat mereka untuk melaksanakan tugas demi rakyat dan bukan untuk kepentingan peribadi.

Sebagai Pengimbang Kuasa. Dalam Islam, ulama adalah penjaga moral dan nilai masyarakat. Mereka bertindak sebagai pengimbang kuasa kepada pemimpin agar tidak berlaku zalim atau menyalahgunakan kedudukan. Ulama yang berani dan amanah akan berperanan menegur pemimpin dengan cara yang bijak dan tidak takut untuk menyuarakan kebenaran.

Mengkritik secara Beradab. Kritikan ulama terhadap pemimpin harus disampaikan dengan cara yang beradab, tanpa mencetuskan fitnah atau ketegangan dalam masyarakat. Ulama perlu mendekati pemimpin secara langsung, menggunakan bahasa yang baik dan memfokuskan kepada pembaikan. Teguran yang bijak mampu memperbaiki kesilapan pemimpin tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat.

Manakala di antara peranan masyarakat pula dalam hal ini adalah seperti berikut:

Memilih Pemimpin yang Amanah. Masyarakat bertanggungjawab untuk memilih pemimpin yang amanah, adil, dan bertakwa. Pilihan ini penting untuk memastikan pemimpin tersebut memiliki niat yang jelas dan ikhlas dalam menjalankan tugas.

Memberikan Sokongan dan Teguran. Masyarakat perlu menyokong pemimpin dalam melaksanakan kebaikan dan pada masa yang sama menegur mereka dengan cara yang baik apabila berlaku kesilapan. Teguran yang membina dan tidak berunsur fitnah dapat membantu pemimpin memperbaiki niat serta tindakannya.

Berdoa untuk Pemimpin. Doa adalah senjata orang beriman dan tanda kasih sayang masyarakat terhadap pemimpin mereka. Masyarakat digalakkan untuk berdoa agar pemimpin diberikan petunjuk, kekuatan, dan ketulusan niat dalam memimpin. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam hadith:

خِيَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ، وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu ialah mereka yang kamu mencintai mereka, dan mereka mencintai kamu, dan kamu mendoakan mereka, dan mereka mendoakan kamu.”

Riwayat Muslim (1855)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”