Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya menerima mesej mengenai sebuah hadith melalui telefon dan ingin mengetahui kesahihannya. Hadith tersebut berbunyi:

“Sesiapa yang berkata pada bulan Rejab: ‘أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ لَا إِلٰهَ إِلَّا هُوَ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَتُوبُ إِلَيْهِ’ (Aku memohon ampun kepada Allah, tiada Tuhan selain Dia, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bertaubat kepada-Nya) sebanyak 100 kali dan menutupnya dengan sedekah, Allah akan menutupnya dengan rahmat dan pengampunan. Sesiapa yang mengucapkannya 400 kali, Allah akan mencatat baginya pahala 100 orang syahid.”

Mohon penjelasan mengenai hadith ini.

Jawapan:

Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda.

Dikatakan bahawa terdapat hadith dengan lafaz berikut:

مَنْ قَالَ فِي رَجَبٍ: أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ لَا إِلٰهَ إِلَّا هُوَ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَتُوبُ إِلَيْهِ، مِائَةَ مَرَّةٍ، وَخَتَمَهَا بِالصَّدَقَةِ، خَتَمَ اللَّهُ لَهُ بِالرَّحْمَةِ وَالْمَغْفِرَةِ، وَمَنْ قَالَهَا أَرْبَعَمِائَةَ مَرَّةٍ، كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَجْرَ مِائَةِ شَهِيدٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang berkata pada bulan Rejab: أستغفر الله لا إله إلا هو وحده لا شريك له وأتوب إليهsebanyak 100 kali dan menutupnya dengan sedekah, Allah akan menutupnya dengan rahmat dan pengampunan. Sesiapa yang mengucapkannya 400 kali, Allah akan mencatat baginya pahala 100 orang syahid.”

Hasil carian kami, bahawa hadith ini tiada asalnya dalam mana kitab-kitab sunnah dan athar. Hadith ini tidak dikenali periwayatannya oleh mana-mana ulama, dan kami juga tidak menemuinya dalam kitab-kitab yang memberi perhatian kepada hadith-hadith palsu dan yang direka-reka.

Sebaliknya, hadith ini ditemukan dalam sebahagian kitab Syiah yang penuh dengan hadith-hadith palsu yang diriwayatkan tanpa sanad dan tiada pengesahan. Antaranya disebut oleh Ibn Tawus – Ali bin Musa bin Ja’far – yang meninggal dunia pada tahun 664H dalam kitabnya Iqbal al-A’mal(3/216). Kami tidak menemukan hadith ini dalam mana-mana kitab lebih lama daripada kitab ini dalam kalangan kitab Syiah. Ibn Tawus menyebutnya tanpa sanad dan berkata:

“Bab yang menyebut kelebihan istighfar, tahlil, dan taubat pada bulan Rejab: Kami mendapati perkara ini diriwayatkan daripada Nabi SAW, bahawa baginda bersabda:
(Sesiapa yang mengucapkan pada bulan Rejab: “Astaghfirullah al-lazi la ilaha illa huwa la syarikalahu wa atubu ilaih” sebanyak seratus kali, dan mengakhirinya dengan sedekah, maka Allah akan menutup baginya dengan rahmat dan keampunan. Sesiapa yang mengucapkannya sebanyak empat ratus kali, Allah akan menuliskan baginya ganjaran seratus orang syahid. Apabila dia bertemu dengan Allah pada hari kiamat, Allah akan berkata kepadanya: ‘Kamu telah mengakui keesaan-Ku, maka mintalah apa sahaja yang kamu mahu sehingga Aku memberikannya, kerana tiada yang berkuasa selain Aku’).”

Daripada Ibn Tawus ini, sebahagian kitab lain mereka seperti Wasa’il al-Syi’ah (10/484) oleh al-Hurr al-‘Amili (w. 1104H) dan selainnya menukilkan hadith ini.

Selain itu, tanda-tanda kepalsuan hadith ini jelas, antaranya:

  1. Ketiadaan sanad: Hadith ini tidak disebutkan dengan sanad.
  2. Hanya ditemukan dalam kitab Syiah: Hadith ini hanya terdapat dalam kitab Syiah, dan daripada kitab mereka, ia tersebar di sesetengah forum dan laman sesawang. Oleh itu, perlu berhati-hati terhadap banyak hadith yang tersebar dalam forum yang sumbernya ialah kitab-kitab Syiah yang palsu.
  3. Berkaitan dengan kelebihan bulan Rejab: Perlu berhati-hati terhadap semua perkara yang diriwayatkan dalam bab ini kerana banyak hadith palsu tersebar mengenainya.

Bahkan, sebahagian ulama telah mengarang kitab khusus mengenainya, seperti al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah dalam kitabnya Tabyin al-‘Ajab bi ma Warada fi Fadhli Rajab. Beliau berkata: “Tiada satu hadith sahih yang boleh dijadikan hujah mengenai kelebihan bulan Rejab, puasanya, atau qiyam pada malam tertentu di dalamnya. Hal ini telah ditegaskan oleh Imam Abu Ismail al-Harawi al-Hafiz, dan kami meriwayatkannya dengan sanad sahih, begitu juga daripada ulama lain. Namun, para ulama terkenal bersikap bertolak ansur dalam menyebut hadith-hadith berkaitan kelebihan amalan walaupun ia lemah, selagi ia tidak palsu. Namun begitu, perlu disyaratkan bahawa orang yang mengamalkannya mengetahui kelemahan hadith tersebut, dan ia tidak menyebarkan amalan itu sehingga orang awam menyangkanya sebagai sunnah yang sahih.” (Lihat Tabyin al-‘Ajab, hlm. 11).

  1. Ganjaran yang melampau: Hadith ini menjanjikan ganjaran yang tidak seimbang dengan amalan yang ringan, seperti ganjaran seratus orang syahid, yang tidak pernah disebut dalam syariat yang sahih.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hadith ‘مَنْ قَالَ فِي رَجَبٍ: أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ لَا إِلٰهَ إِلَّا هُوَ’ adalah palsu dan tidak sahih serta tidak terdapat dalam mana-mana kitab hadith dan juga mana-mana riwayat. Tidak ada riwayat yang menyebutkan bahawa ungkapan ini sebagai sabda Nabi Muhammad SAW. Ia tidak boleh diamalkan atau disebarkan sebagai sunnah Nabi SAW. Umat Islam perlu berhati-hati terhadap riwayat-riwayat seperti ini, khususnya yang berkaitan dengan bulan Rejab.

Justeru, tidak boleh bagi sesiapapun untuk menyandarkan ungkapan ini sebagai hadith atau sebagai sabda dan kata-kata Nabi SA. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah memberikan ancaman memalui hadith mutawatir yang diriwayatkan daripada ramai para sahabat, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta atas nama seseorang. Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1291), Muslim di dalam Muqaddimah Sahih Muslim (4) dan Ahmad (18202)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sesiapa yang dimasukkan ke dalam neraka disebabkan perkara ini, maka dia tidak akan kekal di dalamnya. Ini kerana, seseorang itu akan dikeluarkan daripada neraka dengan kelebihan dan rahmat Allah SWT selagimana ada iman atau tauhid di dalam jiwanya. Terdapat beberapa fiqh hadith atau kaedah-kaedah yang boleh diambil daripada hadith yang penting ini. Di antaranya adalah:

  • Pertama: Menurut kaedah ahli sunnah, berdusta adalah satu khabar daripada seorang yang memang sengaja atau lalai terhadap sesuatu yang mana khabar tersebut menyalahi hakikat yang sebenar.
  • Kedua: Besarnya pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW dan ia merupakan perkara yang begitu keji dan termasuk di dalam dosa-dosa besar. Akan tetapi, seseorang itu belum lagi kufur jika dia berdusta melainkan sekiranya dia menghalalkan perbuatan tersebut. Ini adalah pendapat yang masyhur dalam kalangan mazhab daripada pelbagai sudut.
  • Ketiga: Tidak ada perbezaan pada pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW sama ada pada hukum-hakam atau tidak seperti pada bab targhib (galakan) atau tarhib (ancaman), mawa’izh (peringatan) dan sebagainya. Ini kerana, kesemuanya adalah haram dan ia termasuk di dalam dosa yang besar serta seburuk-buruk perkara menurut ijma’ umat Islam.
  • Keempat: Haram meriwayatkan sesebuah hadith yang mana diketahui akan kepalsuannya atau seseorang itu merasakan bahawa hadith tersebut adalah palsu. Barangsiapa yang meriwayatkan sesebuah hadith yang diketahui akan kepalsuannya atau pada sangkaannya hadith tersebut adalah palsu dan dia tidak menjelaskan hal tersebut, maka dia termasuk di dalam ancaman hadith ini. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/69-71)

Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.”