Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat keutamaan tertentu bagi melakukan umrah pada bulan Rejab?
Jawapan:
Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Tidak terdapat hadith yang sahih daripada Nabi SAW yang menyebutkan keutamaan khusus bagi melakukan umrah pada bulan Rejab, atau menggalakkan amalan tersebut. Sebaliknya, keutamaan khusus bagi umrah hanya dinyatakan dalam dua waktu berikut:
Pertama: Bulan Ramadan, sebagaimana Nabi SAW bersabda:
عُمْرَةٌ فِي رَمَضَانَ تَعْدِلُ حَجَّةً
Maksudnya: “Umrah pada bulan Ramadan menyamai pahala haji.”
Riwayat al-Bukhari (1782) dan Muslim (1256)
Kedua: Bulan-bulan haji, iaitu Syawal, Zulkaedah, dan Zulhijjah.
Tambahan pula, Nabi SAW tidak pernah melakukan umrah pada bulan Rejab. Hal ini ditegaskan oleh Aisyah R.Anha yang berkata:
مَا اعْتَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَجَبٍ قَطُّ
Maksudnya: “Rasulullah SAW tidak pernah melakukan umrah pada bulan Rejab.”
Riwayat al-Bukhari (1776) dan Muslim (1255)
Apakah hukum mengkhususkan bulan Rejab dengan ibadah umrah?
Antara perbuatan yang dianggap sebagai bidaah dalam agama ialah apa yang dilakukan oleh sebahagian orang dengan mengkhususkan bulan Rejab untuk melaksanakan ibadah umrah. Ini kerana tidak dibenarkan bagi seseorang untuk mengkhususkan sesuatu ibadah pada waktu tertentu kecuali terdapat dalil syarak yang menyokongnya.
Ibn al-‘Attar, seorang murid kepada al-Nawawi berkata: “Antara perkara yang sampai kepada pengetahuan saya mengenai penduduk Mekah, semoga Allah menambah kemuliaannya, ialah kebiasaan mereka memperbanyakkan ibadah umrah pada bulan Rejab. Ini adalah sesuatu yang saya tidak mengetahui asasnya. Bahkan terdapat hadith yang sahih bahawa Nabi SAW bersabda: ‘Umrah pada bulan Ramadan menyamai pahala haji.’”
Syaikh Muhammad bin Ibrahim dalam kitab fatawa-nya (6/131), berkata: “Adapun mengkhususkan beberapa hari dalam bulan Rejab dengan sesuatu amalan seperti ziarah atau yang seumpamanya, ia tidak mempunyai asas, sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Abu Syamah dalam kitabnya al-Bida‘ wa al-Hawadith bahawa mengkhususkan ibadah pada waktu-waktu tertentu tanpa dalil syarak tidak sepatutnya dilakukan. Ini kerana tiada kelebihan bagi sesuatu waktu berbanding waktu lain kecuali jika syarak memuliakan waktu tersebut dengan jenis ibadah tertentu, atau kelebihan untuk semua amalan kebaikan di dalamnya berbanding waktu lain. Oleh itu, para ulama mengingkari perbuatan mengkhususkan bulan Rejab dengan memperbanyakkan ibadah umrah.”
Namun begitu, jika seseorang pergi menunaikan umrah pada bulan Rejab secara kebetulan, tanpa menganggap bulan ini mempunyai keutamaan tertentu, seperti kerana urusan perjalanan yang dipermudahkan pada waktu ini, maka ia dibolehkan.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa Tidak terdapat hadith sahih yang menyebutkan keutamaan khusus bagi umrah pada bulan Rejab. Melakukan umrah pada bulan ini dengan keyakinan bahawa ia mempunyai keutamaan tertentu adalah menyalahi sunnah dan boleh dianggap bid’ah, kerana meletakkan fadhilat yang khusus tanpa sandaran dalam agama. Walau bagaimanapun, jika seseorang menunaikan umrah pada bulan ini tanpa niat mengkhususkannya kerana keutamaan tertentu, tetapi hanya kebetulan atau kerana kemudahan, maka hal ini tidak menjadi masalah.
Wallahu a‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)