Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa dalam hadith, Nabi SAW menamakan bulan Rejab sebagai Rejab Mudhar?
Jawapan:
Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Allah SWT menyebut tentang bulan-bulan haram dalam firman-Nya:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam ketetapan Allah pada hari Dia menciptakan langit dan bumi. Antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus. Maka janganlah kamu menzalimi diri kamu di dalamnya.”
(Surah al-Taubah: 36)
Bulan-bulan haram tersebut ialah: Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharam. Hal ini disebut dalam banyak hadith Nabi SAW, antaranya riwayat daripada Abi Bakrah R.A, daripada Nabi SAW:
إِنَّ الزَّمَانَ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلَاثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو الْقَعْدَةِ، وَذُو الْحِجَّةِ، وَالْمُحَرَّمُ، وَرَجَبٌ، شَهْرُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Maksudnya: “Sesungguhnya masa telah kembali seperti keadaan asal ketika Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun terdiri daripada dua belas bulan, antaranya empat bulan haram, iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam, dan Rejab Mudhar yang terletak antara Jamadil Akhir dan Syaaban.”
Riwayat al-Bukhari (4406) dan Muslim (1679).
Dalam menjawab persoalan di atas, Rejab dinamakan sebagai Rejab Mudhar kerana kabilah Mudhar tidak mengubah kedudukannya dalam kalendar, sebaliknya mereka memastikan bulan tersebut berada pada waktu yang tepat, berbeza dengan kebanyakan kabilah Arab lain yang mengubah dan menggantikan bulan-bulan mengikut keperluan perang mereka. Perubahan ini disebut sebagai al-Nasi’ dalam firman Allah SWT:
إِنَّمَا النَّسِيءُ زِيَادَةٌ فِي الْكُفْرِ يُضَلُّ بِهِ الَّذِينَ كَفَرُوا يُحِلُّونَهُ عَاماً وَيُحَرِّمُونَهُ عَاماً لِيُوَاطِئُوا عِدَّةَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ فَيُحِلُّوا مَا حَرَّمَ اللَّهُ زُيِّنَ لَهُمْ سُوءُ أَعْمَالِهِمْ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan mengubah bulan (al-Nasi’) itu hanyalah menambahkan kekufuran. Orang-orang kafir disesatkan dengannya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain untuk menyamakan bilangan bulan-bulan yang diharamkan Allah, lalu mereka menghalalkan apa yang diharamkan Allah. Diperindahkan kepada mereka keburukan amalan mereka, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”
(Surah al-Taubah: 37)
Ada juga yang berpendapat bahawa Rejab dinisbahkan kepada Mudhar kerana mereka lebih memuliakan dan menghormati bulan ini berbanding kabilah lain. Oleh itu, bulan ini dinamakan sempena nama mereka.
Imam al-Suyuti berkata: “Ungkapan (Rejab Mudhar) disebut kerana kabilah Mudhar sangat menekankan larangan dalam bulan Rejab dan menjaga kesuciannya dengan lebih tegas berbanding kabilah-kabilah Arab yang lain.” (Lihat Mirqah al-Su‘ud ila Sunan Abi Dawud, 2/529).
Imam al-Wahidi menyatakan: “Makna ‘bulan haram’ ialah bahawa pelanggaran terhadap perkara yang dilarang dalam bulan-bulan ini lebih besar daripada pelanggaran yang sama pada bulan-bulan lain. Orang Arab sangat menghormati bulan-bulan ini sehingga jika seseorang daripada mereka bertemu dengan pembunuh ayahnya sekalipun, dia tidak akan menyerangnya.”
Para ahli tafsir makna mengatakan bahawa menetapkan sebahagian bulan dengan kehormatan yang lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain membawa manfaat tertentu. Antaranya, ia menjadi pendorong untuk menahan diri daripada melakukan kezaliman kerana kemuliaan bulan tersebut di sisi Allah SWT. Hal ini mungkin membawa kepada penghentian kezaliman secara keseluruhan disebabkan ketenangan yang tercipta dalam tempoh tersebut.” (Lihat al-Basit, 10/409).
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”