Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Diriwayatkan bahawa Ibn al-Mubarak pernah menasihati seseorang yang menderita penyakit luka di lututnya untuk menggali sebuah telaga di tempat yang memerlukan air. Orang tersebut melaksanakan nasihat itu, lalu sembuh dengan izin Allah SWT. Saya mempunyai anak yang menderita penyakit hemofilia (darah sukar membeku). Adakah saya boleh menggali sebuah telaga bagi pihaknya untuk diinfaqkan dan disedakahkan, dan adakah diharapkan penyakitnya sembuh dengan cara yang sama?
Jawapan:
Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
دَاوُواْ مَرْضَاكُمْ بِالصَّدَقَة
Maksudnya: “Ubatilah orang sakit di kalangan kamu dengan sedekah.”
Riwayat Abu Dawud dalam al-Marasil (105) dan al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (1963).
Para ulama berbeza pendapat dalam menilai kesahihan hadith ini. Hadith ini dinilai hasan oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘ (3358). Ahmad al-Ghumari turut menulis sebuah risalah bertajuk al-Zawajir al-Muqliqah li Munkir al-Tadawi bi al-Sadaqah.
Tidak ada halangan bagi seseorang yang sakit untuk bersedekah sama ada dengan menginfakkan air dengan menggali telaga atau seumpamanya dengan harapan mendapatkan kesembuhan daripada Allah SWT, sama ada untuk dirinya sendiri, anaknya, atau orang lain. Sedekah adalah salah satu sebab kesembuhan, sebagaimana yang ditunjukkan dalam hadith qudsi yanga mana Allah SWT berfirman:
أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي
Maksudnya: “Aku adalah sebagaimana hamba-Ku menyangka Aku.”
Riwayat al-Tirmizi (2388) dan Ibn Majah (3822). Hadith ini dinilai sahih oleh al-Tirmizi
Berdasarkan hadith “Ubatilah orang sakit di kalangan kamu dengan sedekah,” dapat difahami bahawa sedekah digalakkan untuk mengangkat penyakit.
Ibn al-Haj berkata: “Antara perkara yang sangat dianjurkan bagi pesakit atau keluarganya adalah mematuhi sunnah dengan bersedekah, sebagaimana hadith Nabi SAW: ‘Ubatilah orang sakit di kalangan kamu dengan sedekah, tolaklah bala dengan sedekah, dan mintalah bantuan untuk memenuhi keperluan kamu dengan sedekah.’ Jika penyakitnya parah, maka perbanyakkan sedekah. Jika dia kaya, sedekah tetap dianjurkan. Jika miskin, maka bersedekah dengan apa yang mampu, walaupun sedikit.”
(Lihat al-Madkhal, 4/141).
Selain itu, diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau bertanya:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ؟ قَالَ: “جَهْدُ الْمُقِلِّ، وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling utama?” Baginda menjawab: “Sedekah seorang miskin yang dilakukan dengan sekuat kemampuan, dan mulakanlah dengan orang yang menjadi tanggungan kamu.”
Riwayat Abu Dawud (1677) dan al-Nasai (2526). Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil (3/415).
Maksud Juhd al-Muqill: “Juhd” bermaksud usaha atau tenaga, manakala “Muqill” merujuk kepada orang miskin yang memiliki sedikit harta. Maksudnya, sedekah yang paling utama adalah sedekah seorang miskin yang dilakukan berdasarkan kemampuannya dan tenaganya. Sedekah orang miskin lebih utama daripada sedekah orang kaya kerana orang miskin bersedekah dengan sesuatu yang dia sendiri memerlukannya, berbeza dengan orang kaya yang bersedekah dengan lebihan hartanya. Hal ini serupa dengan hadith: “Satu dirham mendahului seratus ribu dirham…” Hadith ini tidak bercanggah dengan hadith Abu Hurairah yang diriwayatkan: “Sebaik-baik sedekah adalah yang diberikan selepas mencukupi keperluan sendiri…”
Hadith “Juhd al-Muqill” boleh difahami sebagai merujuk kepada orang yang beriman dengan teguh, yang mampu bersabar dengan kekurangan dan hidup dalam keadaan serba sederhana. Manakala hadith “sedekah selepas mencukupi keperluan sendiri” lebih relevan bagi orang yang lemah keimanan, yang tidak mampu bertahan dengan kesusahan. Keutamaan sedekah ini berbeza-beza mengikut individu, tahap keimanan, kekuatan tawakal, dan keyakinan. (Lihat Syarh al-Misykah oleh al-Tibi, 5/1564; Zakhirah al-‘Uqba fi Syarh al-Mujtaba, 22/346).
Begitu juga dengan keutamaan sedekah dengan memberikan air sebagaimana riwayat daripada Saad bin Ubadah R.A, beliau berkata:
يا رسولَ اللهِ، أيُّ الصدقةِ أفضلُ؟ قال: سقْيُ الماءِ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling utama?” Baginda menjawab: “Memberikan air.”
Riwayat al-Nasai (3664) dan Ibn Majah (3684). Hadith ini dinilai hasan oleh al-Albani.
Dalam riwayat lain, beliau R.A juga berkata:
يا رسولَ الله، إنَّ أمَّ سَعدٍ ماتت، فأيُّ الصَّدقةِ أفضلُ؟ قالَ: الماءُ، قالَ: فحفرَ بئرًا، وقالَ: هذِهِ لأمِّ سَعدٍ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibu Saad telah meninggal dunia. Sedekah apakah yang paling utama?” Baginda menjawab: “Air.” Beliau pun menggali sebuah telaga dan berkata: “Ini untuk ibu Saad.”
Riwayat Abu Dawud (1681). Hadith ini dinilai hasan oleh al-Albani.
Sedekah yang disebutkan dalam hadith tidak hanya terhad kepada menggali telaga sahaja, tetapi merangkumi semua bentuk sedekah sukarela. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/514-687).
Dalam hal ini, para ulama dan juga orang soleh telah lama menjadikan sedekah sebagai cara mendekatkan diri kepada Allah SWT untuk menolak bala dan penyakit. Ibn Muflih berkata selepas menyebut hadith: “Ubatilah orang sakit di kalangan kamu dengan sedekah”: “Sebahagian sahabat kami dan yang lain melakukannya, dan ini adalah amalan yang baik serta mempunyai makna yang benar.” (Lihat al-Furu‘, 3/261).
Ibn al-Qayyim pula berkata: “Sedekah dan kebaikan yang dilakukan semampunya mempunyai pengaruh yang luar biasa dalam menolak bala, iri hati, dan kejahatan orang yang dengki. Jika tiada dalil lain selain pengalaman manusia zaman dahulu dan kini, itu sudah mencukupi. Hampir tidak ada penyakit mata (‘ain) atau dengki yang dapat mempengaruhi seorang yang banyak bersedekah dan berbuat baik. Jika ia terkena, ia akan mendapat bantuan, kelembutan, dan pertolongan yang membawanya kepada pengakhiran yang baik.” (Lihat Bada’i‘ al-Fawa’id, 2/771).
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa sedekah adalah termasuk dalam salah satucara yang disyariatkan untuk menolak penyakit dan bala. Ia berdasarkan hadith: “Ubatilah orang sakit di kalangan kamu dengan sedekah.” Sedekah bukan sahaja terhad kepada memberi air atau menggalikan telaga untuk diinfaqkan, tetapi juga termasuk pelbagai bentuk kebaikan lain yang dianggap sebagai sedekah.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا
Maksudnya: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian. Dan jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan.”