Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Dalam surah al-Nisa’ ayat 100, Allah SWT berfirman:
وَمَن يُهاجِر في سَبيلِ اللَّهِ يَجِد فِي الأَرضِ مُراغَمًا كَثيرًا وَسَعَةً وَمَن يَخرُج مِن بَيتِهِ مُهاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسولِهِ ثُمَّ يُدرِكهُ المَوتُ فَقَد وَقَعَ أَجرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكانَ اللَّهُ غَفورًا رَحيمًا
Adakah seseorang yang mengembara untuk mencari pekerjaan termasuk dalam ayat ini? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Hijrah di jalan Allah, apabila disebut secara mutlak, bermaksud perpindahan dari Darul Kufr(negara kafir) ke Darul Islam (negara Islam) untuk menegakkan agama, dan inilah maksud hijrah yang disebut dalam ayat al-Quran yang dirujuk dalam soalan. Allah SWT berfirman:
وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّـهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّـهِ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisa’: 100)
Ibn ‘Abbas berpendapat bahawa al-Muragham ialah perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Manakala Mujahid pula mengatakan Muragham kathiran adalah menjauhkan diri daripada sesuatu yang tidak disukai.
Ibn Kathir berkata: “Pendapat yang zahir – Allah lebih mengetahui – hijrah ialah langkah pencegahan untuk membentengi diri yang dengannya menyebabkan musuh-musuh menjadi marah. Beliau berkata lagi: “Wa sa`ah (وَسَعَةً)” ialah keluasan rezeki seperti yang disebut oleh ulama’, antaranya Qatadah, seperti katanya: “Daripada kesesatan menuju hidayah dan daripada kekurangan menuju kekayaan (atau kecukupan).” Ibn Kathir berkata lagi: “Barangsiapa yang keluar daripada rumahnya dengan niat hijrah, lalu mati di tengah perjalanan, maka dia telah memperolehi pahala orang-orang yang berhijrah di sisi Allah.” (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 2/391)
Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Hijrah secara syarak bermaksud meninggalkan Darul Kufur ke Darul Islam kerana takut fitnah, dan kewajipan hijrah ini masih kekal.” (Lihat al-Fath al-Mubin bi Syarh al-Arba‘in, hlm. 131)
Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah disebutkan: “Hijrah menurut istilah ialah perpindahan dari Darul Kufur ke Darul Islam. Jika dilakukan kerana mendekatkan diri kepada Allah, ia disebut sebagai hijrah syar‘i.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/177)
Keutamaan yang disebutkan dalam ayat ini terkhusus untuk mereka yang berhijrah kerana agama, dari Darul Kufur ke Darul Islam, untuk menegakkan agama. Penjelasan para mufassir menunjukkan bahawa hijrah yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah hijrah syar‘i yang telah disebutkan sebelumnya.
Imam al-Tabari berkata: “Takwil firman Allah SWT: ‘وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً’ Maksudnya ialah: ‘Sesiapa yang meninggalkan tanah airnya di negeri syirik, dan juga masyarakatnya, untuk menyelamatkan agamanya daripada fitnah, menuju ke negeri Islam dan masyarakat yang beriman, maka ia adalah di jalan Allah. Firman Allah ‘فِي سَبِيلِ اللَّهِ’ bermaksud pada jalan agama Allah dan syariat-Nya yang telah Dia tetapkan untuk hamba-hamba-Nya.’” (Lihat Tafsir al-Tabari, 7/391)
Al-Syaukani berkata: “Firman Allah ‘فِي سَبِيلِ اللَّهِ’ menunjukkan bahawa hijrah mesti dilakukan dengan niat yang betul dan tujuan yang ikhlas, tanpa dicampuri urusan duniawi. Hadith sahih menjelaskan: ‘Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya ialah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang berhijrah untuk dunia yang diingininya atau wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya ialah kepada apa yang dihijrahkan kepadanya.’” (Lihat Fath al-Qadir, 1/583)
Syeikh Ibn ‘Uthaimin rahimahullah menjelaskan:
Firman Allah SWT: (وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً) Maksudnya: “Hijrah ialah meninggalkan negeri di mana seseorang tidak dapat menegakkan agamanya, menuju ke negeri lain di mana dia dapat menegakkan agamanya.” Sebahagian ulama menyatakan hijrah ini sebagai: “Perpindahan dari negeri syirik ke negeri Islam.” (Lihat Tafsir al-‘Uthaimin: al-Nisa’, 2/123)
Maksud ayat ini juga merangkumi janji Allah yang Maha Agung kepada sesiapa yang keluar di jalan-Nya dengan niat yang ikhlas, hanya kerana ingin menegakkan kalimah Allah sebagai yang tertinggi. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadith mulia daripada Nabi SAW.
Adakah Berhijrah Mencari Rezeki Termasuk dalam Hijrah yang dimaksudkan dalam Ayat Tersebut?
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَضَمَّنَ اللهُ لِمَنْ خَرَجَ فِي سَبِيلِهِ، لَا يُخْرِجُهُ إِلَّا جِهَادًا فِي سَبِيلِي، وَإِيمَانًا بِي، وَتَصْدِيقًا بِرُسُلِي؛ فَهُوَ عَلَيَّ ضَامِنٌ: أَنْ أُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ، أَوْ أَرْجِعَهُ إِلَى مَسْكَنِهِ الَّذِي خَرَجَ مِنْهُ، نَائِلًا مَا نَالَ مِنْ أَجْرٍ أَوْ غَنِيمَةٍ. وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، مَا مِنْ كَلْمٍ يُكْلَمُ فِي سَبِيلِ اللهِ إِلَّا جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَهَيْئَتِهِ حِينَ كُلِمَ لَوْنُهُ لَوْنُ دَمٍ، وَرِيحُهُ مِسْكٌ. وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَوْلَا أَنْ يَشُقَّ عَلَى الْمُسْلِمِينَ، مَا قَعَدْتُ خِلَافَ سَرِيَّةٍ تَغْزُو فِي سَبِيلِ اللهِ أَبَدًا، وَلَكِنْ لَا أَجِدُ سَعَةً فَأَحْمِلَهُمْ، وَلَا يَجِدُونَ سَعَةً، وَيَشُقُّ عَلَيْهِمْ أَنْ يَتَخَلَّفُوا عَنِّي. وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَوَدِدْتُ أَنِّي أَغْزُو فِي سَبِيلِ اللهِ فَأُقْتَلُ، ثُمَّ أَغْزُو فَأُقْتَلُ، ثُمَّ أَغْزُو فَأُقْتَلُ.
Maksudnya: “Allah menjamin bagi sesiapa yang keluar di jalan-Nya, tidak keluar kecuali untuk berjihad di jalan-Ku, beriman kepada-Ku, dan membenarkan para rasul-Ku; maka Aku akan menjamin dia untuk memasukkannya ke dalam syurga, atau Aku kembalikan dia ke tempat tinggalnya yang dia keluar daripadanya dengan membawa pahala atau rampasan perang yang diperolehnya. Demi Tuhan yang nyawa Muhammad berada dalam genggaman-Nya, tidak ada seorang pun yang terluka di jalan Allah melainkan dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan seperti ketika dia dilukai, warnanya seperti warna darah, dan baunya seperti bau kasturi.
Demi Tuhan yang nyawa Muhammad berada dalam genggaman-Nya, sekiranya tidak memberatkan umat Islam, aku tidak akan tinggal di belakang mana-mana pasukan yang berperang di jalan Allah selama-lamanya. Tetapi aku tidak mempunyai kemampuan untuk membawa mereka, dan mereka juga tidak mempunyai kemampuan, dan sukar bagi mereka untuk tinggal di belakangku.
Demi Tuhan yang nyawa Muhammad berada dalam genggaman-Nya, aku sangat ingin untuk berperang di jalan Allah, lalu aku terbunuh, kemudian aku berperang lagi lalu terbunuh, kemudian aku berperang lagi lalu terbunuh.”
Riwayat al-Bukhari (36) dan Muslim (1876), dengan lafaz daripada Muslim.
Justeru, perjalanan untuk mencari rezeki tidak termasuk dalam konsep “hijrah di jalan Allah” seperti yang dimaksudkan dalam istilah yang mutlak. Hijrah yang dimaksudkan dalam ayat Al-Quran dan hadith adalah hijrah untuk menjaga dan menegakkan agama, yang dijanjikan ganjaran besar oleh Allah SWT.
Perjalanan mencari rezeki tidak sama dengan hijrah di jalan Allah kerana Allah SWT sendiri membezakan antara kedua-duanya, seperti yang disebut dalam hadith:
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا، أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا، فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya segala amalan itu bergantung pada niat, dan seseorang hanya akan mendapatkan apa yang diniatkannya. Maka barang siapa yang hijrahnya kepada dunia yang diinginkannya atau kepada wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia niatkan.”
Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907).
Oleh itu, sesuatu yang dibandingkan dengan hijrah di jalan Allah adalah berbeza daripadanya, kerana ia mempunyai tujuan dan ganjaran yang tidak setara.
Namun begitu, perjalanan untuk mencari rezeki yang halal disebut sebagai suatu bentuk ibadah yang mendapat keutamaan di sisi Allah. Sesiapa yang keluar berhijrah untuk mencari rezeki yang halal, maka dia berada dalam kebaikan yang besar. Nas-nas syarak menunjukkan keutamaan mereka yang keluar untuk mencari rezeki, sebagaimana firman Allah SWT:
وَآخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِي الْأَرْضِ يَبْتَغُونَ مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَآخَرُونَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya: “Dan orang-orang lain ada yang berusaha di muka bumi mencari rezeki daripada kurniaan Allah, dan orang-orang lain lagi ada yang berperang di jalan Allah.”
(Surah al-Muzzammil: 20)
Dalam ayat ini, Allah SWT menyamakan mereka yang keluar mencari rezeki dengan mereka yang keluar berjihad di jalan-Nya.
Al-Nasafi berkata: “Dan orang-orang lain yang berusaha di muka bumi” bermaksud mereka yang bermusafir. “Mencari rezeki daripada kurniaan Allah” bermaksud mereka yang mencari rezeki melalui perdagangan atau menuntut ilmu. “Dan orang-orang lain lagi berperang di jalan Allah.” Allah menyamakan kedudukan orang yang berjihad dengan orang yang mencari rezeki halal kerana mencari rezeki halal adalah satu bentuk jihad. Ibn Mas‘ud R.A berkata: “Mana-mana lelaki yang membawa barangan ke Madinah dari bandar-bandar Muslim, dengan penuh kesabaran dan mengharap ganjaran, serta menjualnya pada harga semasa, dia akan dianggap di sisi Allah sebagai seorang syahid.” (Lihat Tafsir al-Nasafi, 3/560).
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin memberikan pandangan yang sangat bernilai mengenai usaha mencari rezeki yang halal, terutama untuk menyara keluarga dan mereka yang bergantung hidup. Beliau berkata: “Usaha mencari rezeki yang halal untuk menyara anak-anak yatim, para janda, dan orang-orang miskin adalah suatu kebaikan yang tiada keraguan tentangnya. Rasulullah SAW bersabda:
السَّاعِي عَلَى الْأَرْمَلَةِ وَالْمَسَاكِينِ كَالْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَأَحْسِبُهُ قَالَ: كَالصَّائِمِ لَا يُفْطِرُ، وَالْقَائِمِ لَا يَفْتُرُ
Maksudnya: ‘Orang yang berusaha untuk menyara janda dan orang-orang miskin adalah seperti seorang yang berjihad di jalan Allah, dan aku mengira Baginda berkata: seperti seorang yang berpuasa tanpa berbuka, atau seorang yang solat sepanjang malam tanpa berhenti.'”
Riwayat al-Bukhari (5353) dan Muslim (2982).
Mereka yang bermusafir untuk mencari rezeki demi menyara diri mereka sendiri dan anak-anak mereka yang tidak mampu bekerja, sesungguhnya mereka ini tergolong sebagai orang miskin tanpa keraguan. Usaha mereka adalah seperti mereka yang berjihad di jalan Allah, atau seperti orang yang sentiasa berpuasa tanpa berbuka, dan sentiasa solat tanpa berhenti.” (Lihat Majmu‘ Fatawa wa Rasa’il Ibn ‘Uthaimin, 21/76).
Ini menunjukkan bahawa usaha mencari rezeki bukan sahaja satu kewajipan, tetapi juga satu bentuk ibadah jika dilakukan dengan niat yang ikhlas dan tujuan yang murni.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa perjalanan mencari rezeki tidak termasuk dalam kategori hijrah syarak seperti yang disebutkan dalam ayat di atas, tetapi ia tetap merupakan amalan yang mulia. Usaha mencari rezeki yang halal adalah suatu bentuk ibadah jika dilakukan dengan niat yang ikhlas. Tambahan pula, usaha sebegini menunjukkan kebergantungan seseorang kepada Allah SWT, memanfaatkan kemampuan yang diberikan oleh-Nya, dan menghindari pergantungan kepada makhluk lain.
Ia juga menjadi sebab seseorang memperoleh keberkatan dalam rezekinya, apabila dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan, dalam keadaan tidak melupakan kewajipan lain seperti solat, menjaga hubungan silaturahim, dan menunaikan hak-hak orang lain. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah berusaha sedaya upaya untuk mencari rezeki dengan cara yang halal sambil sentiasa memohon petunjuk dan keberkatan daripada Allah SWT.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”