Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah benar hadith yang mengatakan: “Sesungguhnya Nabi SAW melalui seorang wanita tua di jalan pada malam Isra’ dan bertanya kepada Jibril mengenainya, lalu Jibril berkata: Tidak tinggal dari dunia melainkan apa yang tinggal dari wanita tua itu”?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Hadith tersebut diriwayatkan oleh al-Tabari dalam kitabnya Tafsir (14/422) dan Tahzib al-Athar – Musnad Ibn Abbas (1/410), serta oleh al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah (2/361–362), antara lainnya:

Daripada Abdullah bin Wahb, beliau berkata: Telah menyampaikan kepadaku Ya‘qub bin ‘Abd al-Rahman al-Zuhri, daripada ayahnya, daripada ‘Abd al-Rahman bin Hasyim bin ‘Utbah bin Abi Waqqas, daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

لَمَّا جَاءَ جِبْرِيلُ عليه السلام بِالْبُرَاقِ إِلَى رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم، فَكَأَنَّمَا صَرَّتْ أُذُنَيْهَا، فَقَالَ لَهَا جِبْرِيلُ: مَهْ يَا بُرَاقُ، فَواللهِ إِنْ رَكِبَكِ مِثْلُهُ، فَسَارَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم، فَإِذَا هُوَ بِعَجُوزٍ تَانئٍ عَلَى جَنْبِ الطَّرِيقِ -قال أبو جعفرٍ: ينبغى أن تكونَ: تانئةٍ. ولكن أُسقِطَ منها التأنيثُ -فَقَالَ: مَا هَذِهِ يَا جِبْرِيلُ؟ قَالَ: سِرْ يَا مُحَمَّدُ، قَالَ: فَسَارَ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ يَسِيرَ … ثُمَّ قَالَ لَهُ جِبْرِيلُ: ‌أَمَّا ‌الْعَجُوزُ ‌الَّتِي ‌رَأَيْتَ عَلَى جَنْبِ الطَّرِيقِ، فَلَمْ يَبْقَ مِنَ الدُّنْيَا إِلا مَا بَقِيَ مِنْ تِلْكَ الْعَجُوزِ … “.

Maksudnya: “Ketika Jibril A.S datang membawa Buraq kepada Rasulullah SAW, maka seolah-olah telinganya bergetar, lalu Jibril berkata kepadanya (Buraq): ‘Berhenti wahai Buraq, demi Allah, tiada seorang pun yang pernah menunggangimu sepertinya.’ Rasulullah SAW pun menaikinya dan berjalan hingga Baginda bertemu seorang wanita tua yang berdiri di sisi jalan. (Abu Ja‘far berkata: Perkataan ‘tanik’ sepatutnya disebut ‘tanikah’, tetapi tanda muannath telah digugurkan). Baginda bertanya: ‘Siapakah ini wahai Jibril?’ Jibril berkata: ‘Teruskan perjalananmu wahai Muhammad.’ Maka Baginda pun terus berjalan sejauh yang dikehendaki Allah… Kemudian Jibril berkata kepadanya: ‘Adapun wanita tua yang engkau lihat di sisi jalan, maka tiada yang tinggal dari dunia melainkan apa yang tinggal dari wanita tua itu…’”

Penilaian Ulama Terhadap Hadith Ini

Hadith ini tidak mempunyai sanad yang sahih. Sanad hadith ini mengandungi perawi yang bernama ‘Abd al-Rahman bin Hasyim bin ‘Utbah bin Abi Waqqas, yang tidak diketahui statusnya (majhul al-hal).

Imam al-Bukhari menyebutkannya dalam kitab al-Tarikh al-Kabir (4/59) dan Ibn Abi Hatim dalam al-Jarh wa al-Ta‘dil (4/90) tanpa menyatakan penilaian terhadapnya. Satu-satunya ulama yang menyebutnya dalam kategori perawi thiqah ialah Ibn Hibban dalam al-Thiqat (4/297).

Ibn Kathir berkata: “Hadith ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah melalui sanad Ibn Wahb. Dalam sebahagian lafaznya terdapat perkara yang mungkar dan ganjil.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/12)

Syeikh Nasiruddin al-Albani berkata: “Hadith ini dikeluarkan oleh Ibn Jarir dan al-Baihaqi dalam Dalail, sebagaimana disebut dalam Tafsir Ibn Kathir. Ibn Kathir berkata: ‘Dalam sebahagian lafaznya terdapat perkara yang mungkar dan ganjil.’ Saya katakan: Penyebab kelemahannya adalah perawi bernama ‘Abd al-Rahman bin Hasyim, yang saya tidak menemui mana-mana ulama yang memberikan penilaian terhadapnya.” (Lihat al-Isra’ wa al-Mi‘raj, hlm. 41)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hadith ini tidak mempunyai sanad yang sahih. Kisah wanita tua seperti yang disebutkan dalam peristiwa Isra’ dan Mi‘raj tidak terdapat dalam mana-mana riwayat yang sahih, bahkan dinilai lemah kerana terdapat padanya perawi yang bernama ‘Abd al-Rahman bin Hasyim yang dikategorikan sebagai majhul al-hal yang menjadikan sanadnya lemah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”