Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah seseorang yang tinggal di Makkah untuk bekerja mengambil hukum seperti penduduk asal Makkah? Adakah dia dianggap musafir dari segi dam (hady) tamattu’ sekiranya dia tinggal di Makkah?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Seseorang yang tinggal di Makkah untuk tujuan bekerja dianggap sebagai mukim, sama seperti orang yang tinggal di negara lain dengan tujuan bekerja atau sebab lain yang memerlukan seseorang menetap di sesuatu tempat. Ini termasuk kewajipan menunaikan solat secara penuh, solat Jumaat, dan puasa Ramadhan bersama penduduk setempat.
Berkenaan dengan hukum khas bagi penduduk Makkah dalam hal dam (hadyu) bagi haji tamattu’, adalah mereka tidak dikenakan dam tersebut. Hal ini kerana syarat bagi mereka yang dikenakan dam haji tamattu’ ialah seseorang itu bukan merupakan penduduk Makkah sebagaimana firman Allah SWT:
ذَلِكَ لِمَنْ لَمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ
Maksudnya: “Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap di sekitar masjid Al-Haram di Makkah.”
(Surah al-Baqarah: 196).
Imam al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya kewajipan bagi yang melakukan haji tamattu’ membayar dam adalah dengan empat syarat:
- Dia tidak kembali ke miqat negerinya kerana ihram haji.
- Dia berihram dengan umrah pada bulan-bulan haji.
- Dia melakukan haji pada tahunnya.
- Dia tidak menghadiri Masjid al-Haram iaitu dia bukan penduduk Tanah Haram Makkah dan penduduk tanah haram ini ialah mereka yang kurang daripada 2 marhalah.
Jika dia luput daripada syarat-syarat ini maka dia tidak perlu membayar dam sekalipun dia dikira melakukan haji tamattu’ mengikut pendapat yang paling sahih. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa hajinya itu dikira sebagai haji ifrad. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 138-139)
Dalam menjawab persoalan di atas berkenaan dengan mereka yang bekerja, belajar dan bermukim di Makkah dan kaitan mereka dengan dam bagi haji tamattu’, hal ini mempunyai dua situasi:
Pertama: Orang yang Tinggal di Makkah secara Tetap
Jika seseorang tinggal di Makkah secara tetap dan tidak mempunyai niat untuk meninggalkan Makkah, maka mereka dianggap sebagai penduduk Makkah, walaupun asal mereka adalah dari luar Makkah. Dalam hal ini, mereka tidak diwajibkan membayar dam tamattu’ jika mereka melakukan haji tamattu’.
Dalilnya ialah kata-kata Imam Malik dalam al-Muwatta’ (64):”Sesiapa dari kalangan penduduk luar yang berpindah ke Makkah dan menetap di sana, kemudian menunaikan umrah dalam bulan-bulan haji, lalu dia memulakan ibadah haji dari sana, maka dia tidak dianggap sebagai orang yang melakukan tamattu’. Oleh itu, dia tidak diwajibkan membayar dam atau berpuasa. Dia berada pada kedudukan seperti penduduk Makkah sekiranya dia adalah salah seorang yang tinggal di sana.”
Imam al-Sawi menjelaskan perkara ini dengan menyatakan: al-Sawi menjelaskan: “Syarat dikenakan dam bagi orang yang melakukan qiran atau tamattu’ ialah dia bukanlah seorang yang menetap di Makkah atau kawasan sekitarnya seperti Zi Tuwa pada waktu dia berihram untuk kedua-duanya. Firman Allah SWT: “Yang demikian itu bagi orang yang tidak tinggal di sekitar Masjidil Haram.” (Surah al-Baqarah: 196) Isyarat dalam ayat ini merujuk kepada dam. Oleh itu, orang yang tidak tinggal di Makkah atau kawasan sekitarnya diwajibkan membayar dam walaupun asalnya dari Makkah tetapi telah menetap di luar. Sebaliknya, sesiapa yang tinggal di Makkah secara tetap dengan niat kekal, walaupun asalnya bukan dari Makkah, dia tidak dikenakan dam.” (Lihat Bulghah al-Salik li Aqrab al-Masalik, 2/37).
Situasi Kedua: Orang yang Tinggal di Makkah secara Sementara
Seseorang yang tinggal di Makkah untuk tujuan bekerja, belajar, atau sebab lain selain daripada melaksanakan haji dan umrah, tetapi dia tidak berniat untuk menetap di Makkah secara kekal. Atau keadaan ini adalah situasi lazim bagi seseorang seperti dirinya, di mana dia mungkin akan meninggalkan Makkah suatu hari nanti dan tidak mempunyai niat menetap secara tetap.
Dalam hal ini, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama:
- Pendapat pertama: Sebahagian ulama berpendapat bahawa orang yang berada dalam situasi ini dianggap sebagai penduduk sekitar Masjidil Haram, dan oleh itu, dia tidak diwajibkan membayar dam tamattu’.
Syeikh Muhammad bin Ibrahim menyatakan:“Hukum orang yang bermukim di Makkah tetapi bukan berasal dari kalangan penduduk asalnya adalah sama seperti penduduk Makkah.” (Lihat Fatawa wa Rasa’il al-Syaikh, 5/221).
- Pendapat Kedua: Sebahagian ulama lain berpendapat bahawa orang ini tidak dianggap sebagai penduduk sekitar Masjidil Haram. Oleh itu, dia tetap diwajibkan membayar dam tamattu’ seperti orang luar (afaqi) kerana syarat untuk dianggap sebagai penduduk ialah “bermastautin” secara tetap. Ini bermaksud menetap secara kekal di Makkah, dan bukan sekadar “tinggal sementara” di kawasan Haram. Dalam hal ini juga, mazhab Maliki menyatakan bahawa untuk menggugurkan kewajipan dam tamattu’, seseorang mesti berniat untuk menetap di Makkah secara kekal.
Namun begitu, Masalah ini tidak terlepas daripada kemusykilan dan perbezaan pendapat. Kedua-dua pandangan yang disebutkan mempunyai sandaran daripada kalangan ulama dan mufti yang boleh diikuti untuk melepaskan tanggungjawab agama seseorang. Bagi seseorang yang ingin lebih berhati-hati dalam urusan agamanya dan memilih untuk mengeluarkan dam tamattu’, ini dianggap lebih baik.
Pendekatan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam situasi ini juga dinyatakan oleh Imam Malik dalam kes yang serupa, iaitu berkaitan dengan kaedah menentukan siapakah yang termasuk dalam kategori “penduduk sekitar Masjidil Haram”.
Dalam kitab al-Mudawwanah (1/409), disebutkan: “Aku bertanya kepada Ibn al-Qasim tentang seseorang yang mempunyai keluarga di Makkah dan keluarga di tempat lain (selain Makkah). Dia datang ke Makkah untuk melakukan umrah dalam bulan-bulan haji.”
Jawapan Ibn al-Qasim: “Imam Malik berkata: ‘Ini termasuk perkara yang samar (syubhah), dan berhati-hati dalam hal ini adalah lebih disukai bagiku.'” Ibn al-Qasim menambah: “Seolah-olah beliau berpendapat bahawa seseorang itu perlu mengeluarkan dam tamattu’. Dan ini juga merupakan pandanganku.”
Fatwa Ulama Terkini
Mantan mufti besar Arab Saudi, Syeikh Abdul Aziz bin Baz turut memberikan pandangan berhati-hati dalam persoalan ini. Beliau pernah ditanya: “Bagi pekerja dan kontraktor yang tinggal di Makkah untuk tempoh setahun atau lebih, dan sebahagian mereka membawa keluarga bersama. Adakah mereka dianggap sebagai penduduk Makkah dalam soal kewajipan dam? Ada juga dalam kalangan mereka yang melakukan umrah pada bulan-bulan haji dan berihram dari Tan‘im. Adakah mereka diwajibkan membayar dam atau tidak?”
Beliau menjawab: “Ini adalah persoalan yang memerlukan penelitian. Hal ini kerana mereka bukanlah penduduk tetap, dan mereka juga tidak termasuk dalam kalangan orang yang datang untuk menunaikan haji. Maka, mereka berada di antara kedua-duanya. Allah SWT ketika menyebut tentang tamattu’ dan dam berkaitan dengannya berfirman:
ذَلِكَ لِمَنْ لَمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ
Maksudnya: Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap di sekitar masjid Al-Haram di Makkah
(Surah al-Baqarah: 196)
Oleh itu, para ulama berbeza pendapat dalam perkara ini: Adakah golongan seperti ini dianggap sebagai ‘penduduk sekitar Masjidil Haram’ kerana mereka tinggal di Makkah sebelum menunaikan umrah dan haji? Atau, adakah mereka dianggap sebagai ‘penduduk luar’ kerana mereka bukan penduduk tetap dan hanya tinggal sementara untuk urusan tertentu sebelum kembali ke negara asal mereka? Ini adalah persoalan yang memerlukan pertimbangan. Namun, menurut pandangan saya, lebih berhati-hati dan lebih dekat kepada kebenaran ialah mereka tidak dianggap sebagai ‘penduduk sekitar Masjidil Haram’ secara hakikat. Hal ini kerana mereka tinggal di Makkah hanya untuk urusan sementara seperti latihan, pendidikan, atau pekerjaan, dan mereka akan kembali ke negara asal mereka.
Maka, lebih berhati-hati untuk mereka ialah menunaikan dam tamattu’ dan menganggap diri mereka seperti orang luar yang datang ke Makkah untuk menunaikan haji. Ini adalah langkah lebih selamat. Namun, jika ada yang berpandangan bahawa mereka adalah ‘penduduk sekitar Masjidil Haram’ dan termasuk dalam kalangan mereka yang tinggal di Makkah, maka itu juga merupakan pendapat yang kuat dan tidak boleh ditolak. Tetapi, menurut pandangan saya yang lebih berhati-hati dan lebih mendekati kebenaran, mereka perlu membayar dam tamattu’, kerana status mereka lebih hampir kepada orang luar berbanding sebagai penduduk tetap Masjidil Haram.” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 18/146)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, dalam mengambil pendapat yang lebih berhati-hati, kami katakan bahawa seseorang yang tinggal di Makkah untuk tujuan bekerja, belajar, atau urusan sementara tanpa niat menetap secara kekal dianggap sebagai bukan ahli Makkah dalam hal dam tamattu’. Oleh itu, mereka diwajibkan membayar dam tamattu’ jika melakukan haji tamattu’. Namun begitu, sekiranya seseorang itu ingin mengambil pendapat yang menganggap mereka sebagai penduduk sekitar Masjidil Haram, ia juga tidak menjadi masalah kerana hal ini merupakan khilaf yang muktabar yang juga mempunyai hujjah yang kuat dan seseorang boleh memilih untuk mengikuti mana-mana pandangan tersebut berdasarkan keyakinan yang lebih kuat.
Oleh itu, dalam hal ini, langkah berhati-hati seperti membayar dam tamattu’ dianggap lebih selamat untuk memastikan kewajipan agama terlaksana dengan sempurna. Selain itu, perkara ini juga menunjukkan sifat wara‘ seseorang dalam memastikan ibadah yang dilakukannya diterima Allah SWT.
Akhirnya, kita dianjurkan untuk sentiasa merujuk kepada ahli ilmu yang berkelayakan dalam menyelesaikan kekeliruan seperti ini. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam agama dan menerima amalan kita sebagai ibadah yang diterima di sisi-Nya. Amin. Wallahua‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”