Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Dalam lafaz doa Sayyid al-Istighfar, disebutkan: “وَأَنَا ‌عَلَى ‌عَهْدِكَ ‌وَوَعْدِكَ ‌مَا ‌اسْتَطَعْتُ.” Apakah maksud ‘Ahd (عَهْد) dan Wa‘d (وَعْد) yang disebutkan di sini?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Ungkapan ini terdapat dalam hadith yang dikenali sebagai Sayyid al-Istighfar. Hadith ini memiliki makna, pengajaran, dan petunjuk yang sangat mendalam. Oleh sebab itu, Nabi SAW menamakannya sebagai Sayyid al-Istighfar.

Diriwayatkan daripada Syaddad bin Aus R.A, Nabi SAW bersabda:

 سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، ‌وَأَنَا ‌عَلَى ‌عَهْدِكَ ‌وَوَعْدِكَ ‌مَا ‌اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ. قَالَ: وَمَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجنة.

Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar ialah kamu berkata: ‘Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Engkau menciptakanku dan aku adalah hamba-Mu. Aku berada di atas janji-Mu dan perjanjian-Mu semampuku. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan apa yang aku lakukan. Aku mengakui nikmat-Mu ke atasku, dan aku mengakui dosa-dosaku kepada-Mu. Maka ampunilah aku, sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa kecuali Engkau.’ Sesiapa yang mengucapkannya pada siang hari dengan penuh keyakinan, kemudian dia meninggal dunia pada hari itu sebelum petang, maka dia termasuk penghuni syurga. Sesiapa yang mengucapkannya pada malam hari dengan penuh keyakinan, kemudian dia meninggal dunia sebelum pagi, maka dia termasuk penghuni syurga.”

Riwayat al-Bukhari (5947)

Maksud lafaz وَأَنَا ‌عَلَى ‌عَهْدِكَ ‌وَوَعْدِكَ ‌مَا ‌اسْتَطَعْتُ adalah seperti berikut:

  1. Perkataan ‘عَهْدِ’ merujuk kepada janji yang Allah SWT ambil daripada hamba-Nya semasa penciptaan awal mereka, ketika Allah mengeluarkan mereka dari tulang belakang bapa mereka dalam bentuk zarah, sebagaimana firman Allah SWT:

 وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى

Maksudnya: “Dan Dia menjadikan mereka saksi atas diri mereka sendiri, (sambil berfirman): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami).”

(Surah al-A‘raf: 172)

Pada ketika itu, manusia mengakui keesaan Allah SWT dan tunduk kepada-Nya sebagai Tuhan yang Maha Esa.

  1. Perkataan ‘وَعْدِ’ pula merujuk kepada janji Allah SWT bahawa sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan tidak mensyirikkan Allah dan menunaikan kewajipan yang difardukan ke atasnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga. (Lihat Syarh Sahih al-Bukharioleh Ibn Battal, 10/75; Fath al-Bari oleh Ibn Hajar, 11/99).

Pandangan lain menyebut:

  • Perkataan ‘عَهْدِ’: Iaitu janji yang hamba buat dengan Allah untuk beriman kepada-Nya dan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya, semampunya.
  • Perkataan ‘وَعْدِ’: Iaitu keyakinan hamba terhadap janji Allah untuk memberi ganjaran dan pahala ke atas amalannya. (Lihat A‘lam al-Hadith oleh al-Khattabi, 3/2236; Subul al-Salam, 4/710; Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram oleh al-Fawzan, 10/436).

Dalam hal ini, Tiada percanggahan antara dua pandangan ini, kerana mana-mana nas syarak yang mengandungi lebih daripada satu makna tanpa wujud percanggahan, maka ia boleh membawa kepada kedua-duanya.

Syeikh Muhammad bin Solah al-‘Uthaimin berkata: “Apabila suatu lafaz mengandungi dua makna yang setara dan tiada percanggahan antara keduanya, maka lafaz tersebut boleh membawa kedua-dua makna.” (Lihat Tafsir al-Uthaimin: al-Zukhruf, hlm. 31).

Al-Khattabi berkata: “Sabda baginda SAW: ‘Aku berada di atas ‘ahd-Mu dan wa‘d-Mu semampuku,’bermaksud aku berada di atas apa yang telah aku janjikan kepada-Mu dan aku berikan kepada-Mu, iaitu keimanan kepada-Mu dan keikhlasan dalam ketaatan kepada-Mu, semampuku. Ia juga boleh bermaksud bahawa aku tetap berpegang kepada apa yang telah Engkau perintahkan kepadaku, mematuhinya, dan menanti janji-Mu berupa ganjaran dan pahala. Penyebutan syarat kemampuan (ma istata‘tu) dalam lafaz ini menunjukkan pengakuan akan kelemahan dan ketidakmampuan untuk memenuhi sepenuhnya hak Allah SWT yang sepatutnya.” (Lihat A‘lam al-Hadith, 3/2237).

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah berkata: “Kemudian Nabi SAW menyebut: ‘Dan aku berada di atas ‘ahd-Mu dan wa‘d-Mu semampuku.’ Allah SWT telah mengambil ‘ahd daripada hamba-hamba-Nya melalui perintah dan larangan-Nya. Allah juga telah menjanjikan kepada mereka bahawa jika mereka memenuhi ‘ahd itu, Dia akan memberikan ganjaran yang tertinggi kepada mereka. Oleh itu, seorang hamba berjalan di antara menunaikan ‘ahd Allah kepadanya dan mempercayai janji-Nya. Maksudnya, ‘Aku tetap teguh di atas ‘ahd-Mu dan percaya dengan janji-Mu.’

Makna ini telah dijelaskan oleh Nabi SAW, seperti sabda baginda: ‘Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan iman dan mengharap pahala, akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.’ Maksud ‘dengan iman’ adalah memenuhi ‘ahd yang Allah ambil daripada hamba-Nya, sementara ‘mengharap pahala’ adalah keyakinan terhadap janji Allah untuk memberikan ganjaran. Ini tidak akan sempurna kecuali dengan mempercayai janji-Nya. Frasa ‘dengan iman dan mengharap pahala’ dalam hadith ini adalah dalam bentuk mashdar (kata benda abstrak) yang menunjukkan sebab perbuatan tersebut dilakukan. Maksudnya, hamba itu melakukan perbuatan tersebut dengan keimanan bahawa Allah telah mensyariatkan, mewajibkan, meredai, dan memerintahkannya, serta dengan harapan terhadap ganjaran Allah.

Frasa ‘semampuku’ pula bermaksud: ‘Aku hanya dapat melaksanakan perkara ini sejauh mana kemampuan aku, bukan seperti yang Engkau layak terima atau seperti hak-Mu yang seharusnya.’ Ungkapan ini juga menunjukkan bahawa manusia mempunyai kemampuan dan kekuatan untuk melakukan sesuatu. Oleh itu, manusia tidak dipaksa sepenuhnya, tetapi mereka mempunyai kemampuan yang menjadi asas kepada perintah, larangan, ganjaran, dan hukuman.

Lafaz ini juga membantah pandangan golongan Jabariyah yang mengatakan bahawa manusia tidak mempunyai kemampuan atau kekuatan sama sekali, dan segala perbuatan adalah semata-mata perbuatan Allah. Mereka mendakwa bahawa manusia dihukum atas perbuatan Allah, bukan atas perbuatan mereka sendiri. Lafaz ini juga membantah golongan Magusiah dan yang seumpamanya.” (Lihat Jami‘ al-Masa’il, 1/160).

Ibn al-Qayyim berkata: “Kemudian Nabi SAW menyebut: ‘Dan aku berada di atas ‘ahd-Mu dan wa‘d-Mu,’ yang merangkumi komitmen terhadap syariat, perintah, dan agama-Nya, iaitu ‘ahd yang Allah ambil daripada hamba-hamba-Nya, serta kepercayaan terhadap janji-Nya berupa balasan dan ganjaran. Maka, frasa ini mengandungi dua elemen utama: komitmen terhadap perintah Allah dan keyakinan terhadap janji-Nya, yang melambangkan keimanan dan pengharapan pahala.

Namun, Nabi SAW menyedari bahawa seorang hamba tidak mampu memenuhi kedudukan ini sepenuhnya dengan cara yang sesuai untuk Allah SWT. Oleh itu, lafaz tersebut dikaitkan dengan kemampuan dan kekuatan hamba yang terbatas, sebagaimana disebutkan: ‘semampuku.’Maksudnya, ‘Aku berkomitmen melaksanakannya sejauh kemampuanku dan kekuatanku.’” (Lihat Tariq al-Hijratain, 1/358).

Beliau juga berkata: “Doa ini mengandungi pengakuan seorang hamba terhadap rububiyyah (ketuhanan) dan uluhiyyah (hak disembah) Allah SWT serta keesaan-Nya. Hamba mengakui bahawa Allah adalah penciptanya yang mengetahui segala sesuatu tentang dirinya, kerana Allah telah menciptakannya dalam keadaan yang pasti akan menyebabkan kelemahannya dalam melaksanakan hak Allah secara sempurna, serta kekurangan dalam memenuhi kewajiban.

Hamba juga mengakui bahawa dirinya adalah milik Allah, berada di bawah kekuasaan dan kendalian-Nya, tanpa ada jalan untuk melarikan diri daripada-Nya, dan tiada pelindung selain daripada-Nya. Kemudian, hamba menunjukkan komitmen untuk tunduk kepada ‘ahd Allah—iaitu perintah dan larangan-Nya—yang telah Allah ambil melalui para rasul-Nya. Hamba melaksanakan semua ini berdasarkan kemampuan dirinya, kerana memenuhi hak Allah sepenuhnya adalah mustahil bagi manusia. Apa yang mampu dilakukannya hanyalah sekadar usaha seorang yang lemah dan sejauh kekuatan yang ada. Walaupun begitu, dia tetap mempercayai janji Allah terhadap orang yang taat, iaitu ganjaran pahala, dan terhadap orang yang ingkar, iaitu hukuman. Maka, hamba itu tetap teguh pada ‘ahd Allah dan mempercayai janji-Nya.

Seterusnya, hamba memohon perlindungan dan bergantung kepada Allah daripada keburukan akibat kelalaiannya terhadap perintah dan larangan-Nya. Jika Allah tidak melindunginya daripada keburukan tersebut, maka dia pasti akan binasa, kerana melalaikan hak Allah adalah sebab kepada kehancuran.

Hamba juga mengakui dan menginsafi nikmat Allah ke atasnya, serta mengakui dosa-dosanya sendiri. Maka, daripada Allah datangnya nikmat, kebaikan, dan keutamaan, sedangkan daripada dirinya datangnya dosa dan kejahatan. Dengan itu, hamba memohon kepada Allah agar mengampuni dosanya dengan menghapuskan kesalahan tersebut dan melindunginya daripada keburukan yang dibawa oleh dosa itu. Sesungguhnya, tiada siapa yang dapat mengampuni dosa kecuali Allah.

Oleh sebab itu, doa ini dikenali sebagai Sayyid al-Istighfar kerana ia mengandungi inti pati penghambaan yang murni.

Bagi orang yang memiliki pandangan yang tajam dan kejujuran, dengan menyedari kelemahan dirinya, kecacatan amalnya, dan kelebihan Allah ke atasnya, apakah lagi kebaikan yang tinggal baginya setelah menyaksikan segala kekurangan itu? Inilah yang muncul daripada pemerhatian terhadap diri sendiri dan ketidaksempurnaannya.”
(Lihat Madarij al-Salikin, 1/347).

Ibn al-Qayyim berkata lagi: “Dalam hadith Sayyid al-Istighfar, sabda Nabi SAW: ‘Dan aku berada di atas ‘ahd-Mu dan wa‘d-Mu semampuku,’ bermaksud aku tetap berpegang kepada keimanan terhadap janji-Mu dan menunaikan ‘ahd-Mu, sejauh kemampuan aku. Apa yang mendorong kepada keteguhan dan kestabilan dalam perkara ini ialah rasa kemanisan iman dan kehadiran iman dalam hati. Jika iman itu hanya sekadar metafora tanpa realiti, maka hati tidak akan mampu bertahan pada janji Allah atau memenuhi ‘ahd-Nya.

Tiada apa yang dapat memantapkan hati di kedudukan ini kecuali rasa kemanisan iman. Pakaian pinjaman (riak) tidak akan memberikan keindahan kepada pemakainya, terutama apabila orang mengetahui bahawa ia bukan miliknya tetapi hanya pinjaman semata-mata. Sebagaimana yang dikatakan: ‘Pakaian riak itu tipis sehingga menampakkan apa yang di bawahnya. Maka apabila kamu memakainya, sebenarnya kamu tetap telanjang.’” (Lihat Madarij al-Salikin, 3/490).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, lafaz ‘Dan aku berada di atas ‘ahd-Mu dan wa‘d-Mu semampuku’ dalam doa Sayyid al-Istighfar mengandungi makna yang mendalam dan pengajaran penting bagi seorang Muslim. Ia merangkumi dua aspek utama: komitmen terhadap ‘ahd Allah dan keyakinan terhadap wa‘d Allah.

‘Ahd merujuk kepada perjanjian yang Allah ambil daripada hamba-Nya untuk beriman, mentaati perintah-Nya, dan menjauhi larangan-Nya. Ia melibatkan keikhlasan dalam melaksanakan agama dan menunaikan segala kewajipan sejauh kemampuan manusia. Dalam hal ini, ia menuntut seorang hamba untuk mematuhi syariat dan tunduk sepenuhnya kepada ketetapan Allah SWT dengan kesedaran bahawa mereka adalah makhluk yang lemah dan serba kekurangan.

Wa‘d pula merujuk kepada janji Allah SWT berupa ganjaran dan pahala bagi mereka yang taat kepada-Nya, serta hukuman bagi mereka yang ingkar. Seorang hamba yang benar-benar memahami dan menghayati wa‘d ini akan sentiasa berusaha untuk mengharapkan rahmat Allah SWT dan takut kepada azab-Nya.

Lafaz ‘semampuku’ dalam doa ini adalah pengakuan hamba terhadap keterbatasannya dalam memenuhi hak Allah SWT yang agung. Ia menunjukkan bahawa tiada manusia yang mampu menunaikan hak Allah sepenuhnya, tetapi mereka hanya dapat melakukannya berdasarkan kemampuan mereka. Ini mencerminkan sikap tawaduk dan kerendahan diri seorang hamba di hadapan Tuhannya.

Doa ini juga mengandungi pengakuan terhadap nikmat Allah SWT serta dosa yang dilakukan oleh seorang hamba. Pengakuan ini penting sebagai asas kepada permohonan ampun dan perlindungan daripada keburukan dosa. Ia menunjukkan kesedaran seorang hamba bahawa segala kebaikan berasal daripada Allah SWT, sedangkan segala kelemahan dan kesalahan adalah berpunca daripada dirinya sendiri.

Melalui penjelasan ulama  dalam hal ini, kita memahami bahawa lafaz doa ini mencerminkan hakikat penghambaan kepada Allah SWT. Ia menggabungkan keimanan, pengharapan, kerendahan hati, dan pengakuan kelemahan, yang menjadi asas kepada hubungan seorang hamba dengan Tuhannya. Sebagai seorang Muslim, doa ini mengingatkan kita untuk sentiasa berpegang teguh kepada perintah Allah, percaya kepada janji-Nya, dan melaksanakan ketaatan dengan penuh keikhlasan. Pada masa yang sama, kita harus menginsafi kelemahan diri kita dan memohon keampunan serta pertolongan daripada Allah SWT untuk melindungi kita daripada dosa dan akibat buruknya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”