Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah pandangan tentang kitab fiqh Fath al-Qarib al-Mujib yang merupakan syarah oleh Ibn Qasim al-Ghazzi al-Syafi’i? Adakah kitab ini diiktiraf dalam fiqh Mazhab Syafi‘i?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Menjawab persoalan di atas, kitab Fath al-Qarib al-Mujib fi Sharh Alfaz al-Taqrib adalah antara kitab yang diiktiraf dalam Mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh Ibn Qasim al-Ghazzi rahimahullah dan memberikan penjelasan terhadap istilah-istilah yang terdapat dalam Matn al-Ghayah wa al-Taqriboleh Abu Syuja’. Ia juga membincangkan istilah-istilah yang digunakan dalam teks tersebut, dan kadangkala menyebut pandangan-pandangan mazhab lama dan baru (qaul qadim dan qaul jadid).

Pengarang kitab ini menyatakan dalam mukadimah kitabnya: “Setelah itu, ini adalah sebuah kitab yang sangat ringkas dan teratur. Aku menyusunnya berdasarkan kitab yang dinamakan al-Taqribsupaya dapat dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan daripada kalangan pemula dalam memahami cabang-cabang syariat dan agama, serta agar kitab ini menjadi jalan untuk keselamatanku pada Hari Pembalasan, dan manfaat untuk hamba-hamba Allah yang beriman. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar doa hamba-Nya, Maha Dekat, Maha Menjawab, dan siapa yang menghadap-Nya tidak akan dikecewakan.

Firman Allah SWT:

 وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

Maksudnya: ‘Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku memperkenankan doa orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.’

(Surah al-Baqarah: 186).

Ketahuilah bahawa terdapat dalam beberapa naskhah kitab ini, di luar mukadimahnya, ia dinamakan kadangkala dengan nama al-Taqrib, dan kadangkala dengan nama Ghayah al-Ikhtisar. Oleh itu, aku memberinya dua nama: salah satunya ialah Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib, dan yang satu lagi ialah al-Qaul al-Mukhtar fi Syarh Ghayah al-Ikhtisar.” (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib, hlm 19).

Selain itu Kitab Fath al-Qarib al-Mujib merupakan kitab yang diiktiraf dalam penyusunan asas fiqh Mazhab Syafi’i. Kitab ini pernah dijadikan sebagai silibus pengajian untuk para pelajar di institusi dan maahad Al-Azhar, dan masih digunakan di banyak sekolah serta institusi pengajian Islam yang lain.

Kitab ini menjadi rujukan utama bagi para pentahqiq, mudah dan sesuai untuk pemula, serta diiktiraf dalam kalangan ulama terkemudian untuk digunakan dalam pengajaran fiqh di sekolah, institusi pengajian, dan halaqah masjid.

Para ulama Syafi’i terkemudian sangat mengambil berat terhadap kitab ini dengan menyediakan pelbagai syarahan dan huraian terhadapnya. Antara yang paling menonjol ialah:

  • Hawasy wa Syuruh ‘ala Syarh Ibn Qasim al-Ghazzi oleh Imam Syihab al-Din Ahmad bin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi (w. 1069H).
  • Hasyiah ‘ala Syarh Abi Syuja‘ oleh Ibn Qasim al-Ghazzi oleh Imam Ali bin Ali al-Syabramalsi Abu Dhyia’ Nur al-Din (w. 1078H).
  • Kasyf al-Qina‘ ‘an Matn wa Syarh Abi Syuja‘ oleh Imam Abd al-Rahman al-Mahalli, seorang faqih Syafi’i dari Mesir (w. 1098H).
  • Hasyiah al-Bajuri ‘ala Syarh Ibn Qasim al-Ghazzi oleh Sheikh al-Azhar, Imam Ibrahim bin Muhammad bin Ahmad al-Syafi’i al-Bajuri (w. 1276H), yang merupakan antara hasyiah yang paling penting.

Kitab ini sangat bermanfaat, tetapi ia tidak menyebutkan dalil-dalil bagi permasalahan yang dibincangkan oleh pengarang matannya. Sebaliknya, kitab ini hanya memberi penjelasan terhadap istilah-istilah serta membahaskan pandangan Mazhab Syafi’i yang lama (qaul qadim) dan baru (qaul jadid) di beberapa tempat. Oleh itu, kitab ini sangat sesuai untuk peringkat awal pembelajaran dan penyusunan asas fiqh bagi mereka yang ingin mendalami Mazhab Syafi’i.

Kami juga mencadangkan untuk mendapatkan dalil yang lebih lengkap dalam Feqah Mazhab Syafi’i, maka rujuklah kitab guru kami iaitu al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”