Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Ibu saya memberitahu bahawa ketika datuk saya berada dalam sakaratul maut, ketika mereka mentalkinkan syahadah kepadanya, dia mencela Rasulullah SAW. Selepas itu, saya menganggapnya kafir, tidak mendoakannya, dan tidak menyebut namanya selepas nama ayah saya yang telah meninggal dunia. Adakah saya berdosa kerana melakukan perkara ini? Adakah pengkafiran ini sahih atau salah?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Hukum asal bagi seorang Muslim ialah dia kekal dalam Islam sehingga ada bukti yang kukuh yang menunjukkan sebaliknya. Tidak dibenarkan untuk menghukum seseorang Muslim yang telah sabit keimanannya dengan kekufuran hanya berdasarkan perkara-perkara yang mempunyai kemungkinan pelbagai tafsiran.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah berkata dalam Majmu‘ al-Fatawa (12/501): “Dan sesiapa yang telah sabit keimanannya dengan yakin, maka keimanan itu tidak akan hilang daripadanya hanya dengan syak.”

Ibn Abidin pula berkata dalam Manzhumat ‘Uqud Rasm al-Mufti  (hlm. 96) : “Setiap kata yang menafikan kekufuran daripada seorang Muslim – walaupun dengan alasan yang lemah – adalah lebih utama untuk diterima.”

Beliau menjelaskan maksudnya dalam syarah kitab tersebut (hlm. 96) dengan menyebut pendapat sebahagian ulama: Seseorang mufti tidak boleh memfatwakan kekufuran seorang Muslim jika perkataan yang diucapkannya boleh ditafsirkan secara baik, atau terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan kekufurannya, walaupun melalui pandangan yang lemah.”

Oleh itu, hukum asalnya ialah segala ucapan kekufuran yang dikeluarkan oleh seorang Muslim dalam keadaan sakaratul maut dianggap sebagai sesuatu yang berlaku kerana gangguan pada akalnya, kehilangan kesedaran, atau kekeliruan. Diketahui bahawa seseorang yang kehilangan akal tidak akan dipertanggungjawabkan atas perbuatannya.

Kamal Ibn al-Humam al-Hanafi berkata dalam Fath al-Qadir (2/105): “Mereka berkata: Jika seseorang yang sedang sakaratul maut mengucapkan kata-kata yang membawa kepada kekufuran, dia tidak dianggap kafir. Dia tetap diperlakukan seperti jenazah seorang Muslim, kerana ucapan tersebut dianggap berlaku dalam keadaan kehilangan akal.”

Ucapan ini turut disokong oleh Ibn Nujaim dalam al-Bahr al-Ra’iq (2/184), serta para ulama dalam al-Fatawa al-Hindiyyah (1/157).

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (2/79) disebutkan: “Jika seseorang yang sedang sakaratul maut mengucapkan kata-kata yang membawa kepada kekufuran, dia tidak dihukum sebagai kafir dan tetap diperlakukan seperti jenazah seorang Muslim.”

Berdasarkan ini, adalah dibolehkan untuk mendoakannya, berlaku hubungan warisan antara dirinya dan ahli warisnya yang Muslim, serta menziarahi kuburnya untuk berdoa dan memohon keampunan baginya.

Namun, sekiranya dapat dipastikan bahawa seseorang yang sedang sakaratul maut itu berada dalam keadaan sedar sepenuhnya, memahami apa yang diucapkan kepadanya, dan mampu memberikan jawapan balas, dan ucapan tersebut tidak berlaku semasa saat-saat akhir tarikan nyawa ketika keadaan sangat sukar, maka situasi tersebut perlu diperhalusi.

Jika ucapan kekufuran tersebut jelas keluar daripadanya tanpa kemungkinan salah faham, semua yang hadir mendengar ucapannya, dan tiada laporan berat sebelah, maka boleh dihukum dia telah keluar daripada Islam. Tambahan pula, jika perbuatan mencela Rasulullah SAW berulang kali dilakukan sebelum kematiannya dalam waktu yang berbeza-beza, atau dia sememangnya dikenali dengan perbuatan seperti itu sepanjang hidupnya, maka dalam keadaan seperti ini, boleh dihukum bahawa dia telah keluar daripada Islam dan menjadi kafir. Dalam situasi ini, tidak dibenarkan untuk mendoakan rahmat untuknya atau menyebutnya dengan doa yang biasa diberikan kepada seorang Muslim.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa ucapan kekufuran yang dilakukan oleh seseorang dalam keadaan sakaratul maut perlu diteliti dengan berhati-hati. Jika ia berlaku akibat gangguan akal, kehilangan kesedaran, atau kekeliruan, maka dia tidak boleh dihukum sebagai murtad. Hukum asal seorang Muslim adalah kekal dalam Islam sehingga ada bukti yang jelas dan kukuh yang menunjukkan sebaliknya. Namun, jika ucapan tersebut dilakukan dengan sedar sepenuhnya dan disokong dengan bukti yang kuat yang akalnya berada dalam kawalannya, maka dia boleh dihukum sebagai keluar daripada Islam, dan hukum-hukum berkaitan dengan seorang yang murtad akan terpakai. Semoga Allah SWT melindungi kita semua dari hal sebegini.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”