Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dibenarkan untuk menamakan seseorang menggunakan nama bapa yang kafir? Adakah hubungan nasab tetap diiktiraf sekiranya seseorang itu murtad?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Berkenaan dengan menamakan seseorang menggunakan nama bapa yang kafir, maka tidak ada halangan dalam perkara ini. Pengesahan murtad, kekufuran, atau ketiadaan keislaman tidak menafikan hubungan nasab seseorang dengan bapanya.

Para sahabat Nabi SAW yang memeluk Islam tidak diputuskan hubungan mereka dengan bapa mereka, dan Nabi SAW tidak memerintahkan mereka untuk berbuat demikian. Sehingga ke hari ini, para sahabat tersebut masih dinisbahkan kepada bapa dan datuk mereka yang tidak memeluk Islam.

Bahkan, sabit daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda pada hari Perang Hunain:

 أَنَا النَّبِيُّ لَا كَذِبْ، أَنَا ابْنُ عَبْدِ المُطَّلِبْ

 Maksudnya: “Aku adalah Nabi, tiada dusta. Aku adalah anak Abdul Muttalib.”

Riwayat al-Bukhari (2864) dan Muslim (1776)

Diketahui bahawa datuk baginda, Abdul Muttalib, mengikuti agama kaumnya pada waktu itu.

Hal Ini juga diperkuatkan dengan kisah ketika Nabi SAW menawarkan kepada bapa saudaranya, Abu Talib, untuk mengucapkan kalimah La ilaha illallah. Abu Jahal dan orang-orang bersamanya berkata kepada Abu Talib:

 أَتَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ عَبْدِ المُطَّلِبِ؟

Maksudnya: “Apakah kamu berpaling daripada agama Abdul Muttalib?”

Maka kata terakhir yang diucapkan oleh Abu Talib adalah:

 هُوَ عَلَى مِلَّةِ عَبْدِ المُطَّلِبِ، وَأَبَى أَنْ يَقُولَ: لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya: “Dia tetap berada di atas agama Abdul Muttalib, dan dia enggan untuk mengucapkan La ilaha illallah.”

Riwayat al-Bukhari (1360) dan Muslim (24)

Tambahan pula, datuk Nabi SAW, Abdul Muttalib, meninggal dunia ketika baginda masih kecil, dan beliau kekal dalam agama kaumnya.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa menamakan seseorang menggunakan nama bapa atau datuk yang kafir tidak bertentangan dengan hukum Islam. Hubungan nasab tetap diiktiraf meskipun seseorang itu murtad atau tidak memeluk Islam. Ini dapat dilihat daripada amalan para sahabat yang masih dinisbahkan kepada bapa dan datuk mereka yang kafir, sebagaimana dinyatakan dalam sejarah kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabatnya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”