Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah seorang Muslim boleh mewarisi orang yang telah murtad? Apakah pendapat ulama tentang hal ini?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Majoriti fuqaha berpendapat bahawa seorang Muslim tidak boleh mewarisi seorang yang murtad. Ini berdasarkan hadith riwayat daripada Usamah bin Zaid R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

 لَا يَرِثُ الْمُسْلِمُ الْكَافِرَ وَلَا الْكَافِرُ الْمُسْلِمَ

Maksudnya: “Seorang Muslim tidak boleh mewarisi orang kafir, dan orang kafir tidak boleh mewarisi seorang Muslim.”

Riwayat al-Bukhari (6764) dan Muslim (1614)

Ibn Abd al-Barr berkata: Telah thabit daripada Nabi SAW yang menyebut “Tidak mewarisi seorang Muslim daripada seorang kafir” yang diriwayatkan oleh ulama’ hadith yang thiqah. Sesiapa yang menyelisihi hadith ini akan berhujah dengannya kerana kesemua para sahabat, tabi’in, para fuqaha’ seperti Malik, al-Laith, al-Thauri, al-Auza’ie, Abu Hanifah, Al-Syafi’ie, dan kesemua ahli hadith yang menyebut feqah hadith menyatakan bahawa seseorang muslim tidak mewarisi orang kafir sebagaimana orang kafir tidak mewarisi orang islam sebagaimana yang disebutkan dalam hadith. (Lihat al-Tamhid, 9/164).

Oleh itu, dalam keadaan murtadnya seseorang itu disahkan, hartanya akan diserahkan kepada Baitulmal, iaitu digunakan untuk kepentingan umum.

Namun, sebahagian ulama berpendapat bahawa harta orang murtad boleh diwarisi oleh ahli warisnya yang Muslim. Ini adalah pandangan yang dipegang oleh beberapa sahabat dan tabi’in, antaranya ialah Mu’az bin Jabal, Muawiyah bin Abi Sufyan, Muhammad bin al-Hanafiyyah, Muhammad bin Ali bin al-Husain, Said bin al-Musayyib, Masruq bin al-Ajda’, Abdullah bin al-Mughafal, Yahya bin Ya‘mar, dan Ishaq bin Rahuyah, sebagaimana dinukilkan oleh Ibn al-Qayyim rahimahullah.

Ibn al-Qayyim berkata: “Ini adalah pilihan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah. Mereka berkata: ‘Kita mewarisi mereka, tetapi mereka tidak boleh mewarisi kita, sebagaimana kita boleh mengahwini wanita mereka, tetapi mereka tidak boleh mengahwini wanita kita.‘” (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 2/853).

Pendapat ini lebih kuat jika Baitulmal tidak berfungsi dengan baik atau tidak diuruskan secara teratur. Dalam kes ini, harta tersebut boleh diambil melalui cara yang sah dan digunakan untuk tujuan yang betul.

Pandangan ini juga lebih sesuai sekiranya seseorang berada di negara bukan Islam atau di kawasan yang tiada Baitulmal untuk umat Islam dan tiada pelaksanaan syariat Allah SWT dalam pembahagian harta di kalangan hamba-Nya.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa menurut majoriti fuqaha, seorang Muslim tidak boleh mewarisi seorang yang murtad, dan harta orang murtad akan diserahkan kepada Baitulmal untuk kepentingan umum. Namun, sebahagian ulama membolehkan pewarisan harta orang murtad kepada waris Muslim, terutama dalam situasi di mana Baitulmal tidak berfungsi atau tidak wujud. Pandangan ini lebih sesuai dalam keadaan tertentu, seperti di negara bukan Islam atau tempat yang tidak melaksanakan hukum syariah sepenuhnya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”