Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum seorang suami memaksa isterinya untuk melakukan hubungan kelamin apabila isterinya menolak, termasuk jika dia memukul isterinya dan memaksanya secara paksa? Apakah hukuman syarak terhadap suami tersebut?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga hari kiamat.
Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur untuk melakukan hubungan suami isteri, tidak dibolehkan bagi isteri untuk menolak ajakan tersebut melainkan dengan alasan yang syar‘i, seperti sakit. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا الْمَلَائِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ
Maksudnya: “Apabila seorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur, lalu isterinya menolak dan dia bermalam dalam keadaan marah terhadap isterinya, maka para malaikat melaknatnya sehingga subuh.”
Riwayat al-Bukhari (3237) dan Muslim (1736)
Diriwayatkan juga oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا مِنْ رَجُلٍ يَدْعُو امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهَا، فَتَأْبَى عَلَيْهِ؛ إِلَّا كَانَ الَّذِي فِي السَّمَاءِ سَاخِطًا عَلَيْهَا حَتَّى يَرْضَى عَنْهَا
Maksudnya: “Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, tidaklah seorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur lalu isterinya menolak, melainkan yang berada di langit akan murka terhadapnya sehingga suaminya reda kepadanya.”
Riwayat Muslim (1736)
Imam al-Nawawi berkata: “Sabda Rasulullah SAW: ‘Apabila seorang wanita tidur dengan meninggalkan tempat tidur suaminya, maka dia dilaknat oleh para malaikat hingga subuh,’ dan dalam riwayat lain disebutkan: ‘hingga dia kembali.’ Hadith ini menunjukkan bahawa haram bagi seorang isteri untuk menolak ajakan suaminya tanpa alasan syar‘i. Haid bukanlah alasan untuk menolak kerana suami tetap mempunyai hak untuk menikmati isterinya di atas kain (tanpa hubungan kelamin secara langsung).
Makna hadith ini ialah laknat para malaikat akan berterusan terhadap isteri tersebut sehingga dosanya hilang sama ada dengan terbitnya fajar, dengan keampunan suaminya, atau dengan taubatnya dan kembalinya dia kepada tempat tidur suaminya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/7).
Selain itu, seorang suami juga tidak boleh memaksa dan memukul isterinya untuk bersetubuh dengannya. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Zam‘ah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا يَجْلِدُ أَحَدُكُمُ امْرَأَتَهُ جَلْدَ الْعَبْدِ ثُمَّ يُجَامِعُهَا فِي آخِرِ الْيَوْمِ
Maksudnya: “Janganlah salah seorang daripada kamu memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, kemudian berhubungan dengannya pada akhir hari.”
Riwayat al-Bukhari (5204) dan Muslim (2855)
Dalam riwayat lain:
بِمَ يَضْرِبُ أَحَدُكُمُ امْرَأَتَهُ ضَرْبَ الْفَحْلِ ثُمَّ لَعَلَّهُ يُعَانِقُهَا
Maksudnya: “: “Atas sebab apakah salah seorang daripada kamu memukul isterinya (seperti) memukul kuda jantan, atau memukul seorang hamba, kemudian barangkali (pada malamnya) dia akan memeluknya?”
Riwayat al-Bukhari (6042)
Maksud hadith ini ialah untuk menjelaskan pertentangan yang ketara antara memukul isteri, yang menyebabkan kebencian dan ketegangan, dengan memeluk atau berhubungan dengannya, yang memerlukan suasana mesra, kasih sayang, dan kelembutan.
Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi berkata: “Sabda Nabi SAW: ‘Bagaimana mungkin salah seorang daripada kamu memukul isterinya seperti memukul seorang hamba?’ adalah teguran terhadap suami yang memukul isterinya secara berlebihan sehingga memperlakukannya seperti seorang hamba. Kemudian, selepas waktu yang singkat, suami itu kembali untuk berhubungan intim dengannya dan memenuhi kehendak syahwatnya. Dalam keadaan ini, isteri mungkin tidak bersedia, tidak ingin melayani suaminya, malah mungkin membencinya. Sedangkan suami mungkin mencintainya. Akibatnya, hubungan rumah tangga menjadi rosak, masalah semakin rumit, dan rahmat serta kasih sayang yang Allah SWT ciptakan antara suami isteri akan hilang. Sebaliknya, ia digantikan dengan kebencian dan permusuhan. Rasulullah SAW dengan ungkapan yang ringkas tetapi mendalam telah memberi peringatan tentang keburukan yang boleh timbul daripada perbuatan ini.” (Lihat al-Mufhim lima Asykala min Talkhis Kitab Muslim, 7/429).
Beliau juga berkata: “Daripada hadith ini difahami bahawa larangan memukul isteri adalah kerana selepas itu suami memerlukan hubungan mesra dengannya. Namun, akibat layanan buruk tersebut, isteri akan enggan melayan suami, dan tujuan hubungan tersebut tidak dapat dicapai kerana pukulan itu. Maksud ungkapan ini ialah: ‘Kemudian dia kembali berhubungan dengannya.’” (Lihat al-Mufhim lima Asykala min Talkhis Kitab Muslim, 1/542).
Sekiranya seorang isteri itu tidak dapat memenuhi ajakan suaminya kerana keuzuran atau kerana sakit yang dibenarkan oleh syara’, maka dia haruslah menolak dengan cara yang baik.
Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin pernah ditanya: “Adakah seorang wanita berdosa jika dia menolak ajakan suaminya kerana masalah emosi sementara atau sakit yang dihadapinya?” Beliau menjawab: “Seorang wanita wajib memenuhi ajakan suaminya jika dia mengajaknya ke tempat tidur. Namun, jika wanita tersebut sedang menghadapi masalah emosi atau sakit yang membuatkan dia tidak mampu untuk melayan suaminya, maka suami tidak dibenarkan untuk memaksa. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: ‘Tidak boleh memberi kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan.’ Suami hendaklah bersabar atau menikmati hubungan dengan cara yang tidak mendatangkan mudarat kepada isteri.” (Lihat Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah, 2/660).
Namun, dalam hal ini, jika isteri berkeras untuk terus menolak ajakan suami tanpa alasan yang kukuh, maka dia dianggap nusyuz . Dalam situasi ini, suami diarahkan untuk memberikan nasihat, kemudian meninggalkan isteri di tempat tidur, dan akhirnya memukulnya dengan cara yang tidak mencederakan, sebagaimana firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ ۚ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ ۚ وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ ۖ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا (34) وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّهُ بَيْنَهُمَا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا
Maksudnya: “Lelaki itu adalah pemimpin ke atas wanita, kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah daripada harta mereka. Maka wanita-wanita yang solehah ialah yang taat (kepada Allah dan suami mereka) serta menjaga kehormatan dirinya sewaktu ketiadaan suami, sebagaimana yang Allah perintahkan untuk menjaga (kehormatan mereka). Wanita-wanita yang kamu khuatiri derhakanya, hendaklah kamu nasihati mereka, tinggalkan mereka di tempat tidur (tidak berhubungan), dan pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang tidak mencederakan). Namun jika mereka taat kepadamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar. Dan jika kamu bimbang akan perpecahan antara keduanya, maka lantiklah seorang pendamai dari keluarga lelaki dan seorang pendamai dari keluarga wanita. Jika kedua-duanya bertujuan untuk mendamaikan, nescaya Allah akan memberi taufik kepada kedua-duanya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
(Surah al-Nisa’: 34-35).
Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya menyebutkan: Islam menggariskan beberapa langkah penyelesaian di dalam pengurusan konflik suami-isteri. Ianya boleh dilaksanakan sekiranya suami-isteri tidak dapat menyelesaikannya secara saksama khususnya dalam isu isteri nusyuz. Langkah-langkah tersebut termasuklah; pertama, memberi nasihat supaya kembali kepada jalan yang benar. Kedua, sekiranya nasihat tidak dapat menyelesaikan masalah, maka boleh dipisahkan tempat tidur mereka. Ketiga, seandainya tidak berjaya maka Islam membenarkan suami memukul dengan pukulan mendidik yang tidak menyebabkan kecederaan. Di antara contoh pukulan yang tidak mencederakan iaitu memukul menggunakan tangan sebanyak tiga kali di atas bahu dengan pukulan yang ringan. Keempat, sekiranya masih lagi tidak berjaya, kedua-dua pihak boleh menghantar dua orang hakam atau orang tengah di dalam majlis timbang tara untuk mendamaikan kedua-dua pihak. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/60).
Al-Buhuti berkata dalam Kassyaf al-Qina‘ (5/209): “Jika terdapat tanda-tanda nusyuz pada isteri, seperti melambat-lambatkan respons apabila diajak (oleh suami), menolak dengan cara yang tidak baik apabila diajak untuk hubungan, atau menunjukkan kelakuan tidak sopan terhadap suami, maka suami hendaklah menasihatinya. Maksudnya, suami mengingatkan isteri tentang kewajipannya terhadap suami, dosa yang ditanggung kerana melanggar perintah, dan hak suami untuk menghukumnya dengan meninggalkannya atau memukulnya. Ini berdasarkan firman Allah SWT: ‘Dan wanita-wanita yang kamu khuatiri derhakanya, hendaklah kamu nasihati mereka.’ Jika isteri kembali kepada ketaatan dan tingkah laku yang baik, maka haram bagi suami untuk meninggalkannya atau memukulnya kerana alasan tersebut telah hilang.
Namun, jika dia tetap berkeras dan menunjukkan nusyuz yang jelas, seperti enggan memenuhi ajakan suami untuk hubungan kelamin, keluar rumah tanpa izin suami, dan sebagainya, maka suami berhak untuk meninggalkan isteri di tempat tidur. Firman Allah SWT: ‘Dan tinggalkan mereka di tempat tidur.’
Ibn Abbas R.Anhuma berkata, ‘Maksudnya adalah tidak tidur bersamanya di tempat tidur yang sama.’ Bahkan Nabi SAW pernah meninggalkan isteri-isterinya selama sebulan tanpa masuk menemui mereka.” (Muttafaqun ‘alaih). Jika isteri tetap enggan selepas langkah ini, suami dibenarkan memukulnya dengan syarat tidak mencederakan. Ini berdasarkan firman Allah SWT: ‘Dan pukullah mereka.’
Memukul isteri mestilah dilakukan selepas meninggalkannya di tempat tidur dan memutuskan percakapan dengannya selama tiga hari. Pukulan itu pula mestilah tidak mencederakan, seperti yang dijelaskan dalam hadith Abdullah bin Zam‘ah: “Janganlah salah seorang daripada kamu memukul isterinya seperti memukul hamba, kemudian berhubungan dengannya pada penghujung hari.”
Selain itu, suami wajib mengelakkan:
- Memukul pada wajah, untuk menjaga kemuliaan isteri.
- Memukul pada perut atau bahagian-bahagian yang boleh membahayakan nyawa.
- Memukul pada bahagian tubuh yang cantik untuk mengelakkan kecacatan.
Dalam al-Targhib dan lain-lain disebutkan bahawa adalah lebih utama untuk tidak memukul isteri agar hubungan kasih sayang dan keharmonian rumah tangga terpelihara. “Dan dikatakan bahawa pukulan itu boleh dilakukan dengan durrat (tongkat kecil) atau mihrakh (kain yang dilipat), bukan dengan cemeti atau kayu, kerana tujuan pukulan adalah untuk mendidik dan memberi amaran, maka hendaklah bermula dengan kaedah yang paling ringan dan bertahap.”
Selain itu, memukul isteri tidak dibenarkan kepada suami yang melanggar hak isteri sehingga dia melaksanakan tanggungjawabnya dan memperbaiki layanannya kepada isteri. Ini kerana menuntut hak suami sedangkan dia mengabaikan hak isterinya adalah suatu kezaliman. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 5/209).
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah pernah ditanya tentang seorang suami yang mempunyai isteri nusyuz yang enggan melayan kehendaknya. Adakah nafkah dan pakaian untuk isteri itu gugur? Apa yang wajib ke atasnya? Beliau menjawab: “Nafkah dan pakaian isteri akan gugur jika dia tidak membenarkan suaminya untuk bersamanya. Suami juga dibenarkan untuk memukulnya jika dia berkeras dalam nusyuz. Tidak halal bagi isteri untuk enggan apabila suaminya menuntutnya. Bahkan, dia dianggap derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya. Dalam hadith yang sahih disebutkan: ‘Jika seorang lelaki meminta isterinya ke tempat tidur, lalu isterinya menolak, maka yang di langit akan murka kepadanya sehingga subuh.’ Riwayat Muslim (1736)” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 32/278).
Pukulan yang dibenarkan setelah isteri tidak memanfaatkan nasihat dan boikot ialah pukulan yang tidak mencederakan (غير مبرح), iaitu tidak menyakitkan secara berlebihan atau meninggalkan kesan yang buruk.
Imam al-Tabari dalam tafsirnya meriwayatkan bahawa Ibn Abbas R.Anhuma berkata tentang pukulan yang tidak mencederakan: “Ia dilakukan dengan kayu siwak atau seumpamanya.” (Lihat Tafsir al-Tabari, 8/315).
Namun, tidak dibenarkan sama sekali untuk memukul isteri dengan pukulan yang keras atau berat. Imam al-Bukhari rahimahullah dalam kitabnya Sahih al-Bukhari membuat satu bab dengan tajuk: “Bab tentang perkara yang dimakruhkan daripada memukul wanita dan firman Allah SWT: ‘Dan pukullah mereka’ dengan pukulan yang tidak mencederakan.”
Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (9/302) berkata: “Ini menunjukkan bahawa memukul wanita tidak dibenarkan secara mutlak. Bahkan, dalam beberapa keadaan ia dimakruhkan, sama ada makruh tanzih atau haram, sebagaimana akan diperincikan.”
Beliau juga menyebut: “… Tempat pukulan ialah untuk mendidik jika suami melihat sesuatu yang tidak disukainya pada isteri dalam perkara yang wajib isteri taat kepadanya.
Jika suami cukup dengan memberi amaran atau ancaman tanpa memukul, itu adalah lebih baik.
Apa sahaja yang boleh dicapai dengan cara menakutkan tanpa melibatkan tindakan fizikal, itu lebih utama. Ini kerana tindakan memukul boleh membawa kepada ketegangan yang bertentangan dengan keharmonian hidup yang sepatutnya ada dalam rumah tangga, kecuali dalam perkara yang melibatkan pelanggaran terhadap hak Allah SWT.
Dalam bab ini, Imam al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (9199) meriwayatkan hadith Aisyah R.Anha:
مَا ضَرَبَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَيْئًا قَطُّ بِيَدِهِ، وَلَا امْرَأَةً، وَلَا خَادِمًا، إِلَّا أَنْ يُجَاهِدَ فِي سَبِيلِ اللهِ، وَمَا نِيلَ مِنْهُ شَيْءٌ قَطُّ، فَيَنْتَقِمَ مِنْ صَاحِبِهِ، إِلَّا أَنْ يُنْتَهَكَ شَيْءٌ مِنْ مَحَارِمِ اللهِ، فَيَنْتَقِمَ لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: ‘Rasulullah SAW tidak pernah memukul mana-mana isterinya, pembantunya, atau apa sahaja dengan tangannya, kecuali dalam jihad di jalan Allah. Jika hak-hak Allah dilanggar, baginda akan bertindak demi Allah.’” (Lihat Fath al-Bari, 9/304).
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa seorang suami tidak boleh memaksa isteri untuk melakukan hubungan kelamin dengan cara menggunakan kekerasan. Islam menekankan bahawa hubungan suami isteri haruslah diasaskan kepada kasih sayang, kerelaan, dan keharmonian, bukan paksaan. Suami yang bertindak zalim terhadap isterinya, sama ada dengan memukulnya dengan tujuan menyeksa atau memaksanya, adalah berdosa dan menyalahi ajaran Islam.
Namun, dalam Islam, seorang isteri diwajibkan memenuhi ajakan suaminya ke tempat tidur untuk melakukan hubungan kelamin selagi tiada halangan syar‘i seperti sakit atau keuzuran. Penolakan tanpa alasan yang dibenarkan oleh syara’ adalah berdosa dan mestilah ditolak dengan cara yang baik. Suami juga tidak boleh memaksa isteri dengan cara yang melibatkan kekerasan atau pemaksaan fizikal adalah bertentangan dengan prinsip keadilan dan kasih sayang yang diajar dalam Islam.
Selain itu, Islam telah menyediakan panduan yang lengkap untuk menangani isu nusyuz dan perselisihan antara suami isteri. Pendekatan yang diberikan oleh syariat merangkumi nasihat, pemisahan tempat tidur, dan langkah terakhir iaitu pukulan ringan yang tidak mencederakan. Walau bagaimanapun, penggunaan pendekatan ini mestilah dilakukan dengan niat untuk mendidik dan memperbaiki, bukan untuk membalas dendam atau menzalimi.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”