Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah seorang suami berdosa jika dia mengabaikan hak isterinya, tetapi pada masa yang sama menuntut haknya sendiri sebagai suami untuk bersetubuh dengan isterinya dengan cara memukulnya atau seumpamanya?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Firman Allah SWT:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ ۚ فَٱلصَّـٰلِحَـٰتُ قَـٰنِتَـٰتٌ حَـٰفِظَـٰتٌۭ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُ ۚ

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya…

(Surah al-Nisa’: 34)

Berdasarkan ayat ini, suami bertanggungjawab memberi nafkah kepada isterinya dan menunaikan hak kepada isterinya. Ketidakmampuan suami tidak memberi nafkah kepada isterinya boleh menjejaskan hak kekuasaannya ke atas isterinya (qawamah). Sehubungan dengan itu, isterinya boleh memohon fasakh untuk membatalkan perkahwinan kerana tujuan perkahwinan tidak dapat dipenuhi oleh si suami sebagaimana firman Allah SWT: “وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ” (dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka).

Ayat ini menjadi dalil kepada keharusan memfasakhkan perkahwinan dalam keadaan I‘sar iaitu ketidakmampuan suami untuk membayar nafkah dan menyediakan pakaian kepada isterinya. Ia adalah pandangan mazhab Maliki dan al-Syafi‘i. Manakala mazhab Hanafi tidak membenarkan fasakh berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍۢ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ

Maksudnya: “Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesulitan, maka berikanlah tempoh waktu sehingga dia mendapat kemudahan.”

(Surah al-Baqarah: 280)

Selain itu, antara tanggungjawab suami:

  1. Mas Kahwin. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

 وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً

Maksudnya: Berikanlah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.

  (Surah al-Nisa’: 4)

  1. Di dalam hal ini, Allah SWT berfirman:

 وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا ۚ

Maksudnya: Dan kewajipan bapa memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara makruf, seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya.

 (Surah al-Baqarah: 233)

Begitu juga hadith, Rasullullah SAW bersabda:

 ولهنَّ عليكم رِزقُهنَّ وكِسوتُهنَّ بالمعروفِ

Maksudnya: Kamu wajib memberi isteri-isteri kamu nafaqah dan pakaian dengan sewajarnya.

Riwayat Muslim (1218)

  1. Pergaulan yang baik. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

 وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya:  “Dan bergaullah dengan mereka secara patut.”

            (Surah al-Nisa’: 19)

Manakala, tanggungjawab isteri terhadap suaminya:

  • Taat dalam perkara bukan maksiat.
  • Tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke dalam rumahnya tanpa keizinan dan keredaan suaminya.
  • Menjaga Kemuliaan, Maruah dan Harta Suami.
  • Melayani suaminya dengan baik.

Dalam menjawab persoalan diatas, seorang suami tidak dibenarkan untuk mengabaikan tanggungjawabnya terhadap isteri dan dalam masa yang sama menuntut isterinya untuk memenuhi hak-haknya. Perbuatan ini adalah satu bentuk kezaliman yang bertentangan dengan prinsip keadilan dalam Islam.

Seorang suami tidak dibenarkan untuk menghalang isterinya daripada mendapatkan haknya, kemudian menuntut haknya daripada isteri serta memukulnya atas sebab itu. Hal ini sebagaimana disebut oleh al-Buhuti: “(Dan dia akan dihalang daripadanya) iaitu daripada perkara-perkara ini, (suami yang) diketahui telah menghalang isterinya daripada mendapatkan haknya, sehingga dia melaksanakan hak tersebut (dan) sehingga dia memperbaiki layanannya terhadap isterinya; kerana dia menjadi seorang yang zalim dengan menuntut haknya sedangkan dia mengabaikan hak isterinya.” (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 5/ 209)

Selain itu, seorang suami tidak boleh memukul isterinya dan kemudian memaksanya untuk berhubungan kelamin dalam keadaan tersebut, kerana ia boleh menyebabkan gangguan psikologi kepada isteri dan berpotensi mendatangkan bahaya. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zam‘ah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

 لَا يَجْلِدُ ‌أَحَدُكُمُ ‌امْرَأَتَهُ جَلْدَ الْعَبْدِ ثُمَّ يُجَامِعُهَا فِي آخِرِ الْيَوْمِ

Maksudnya: “Janganlah salah seorang daripada kamu memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, kemudian berhubungan dengannya pada akhir hari.”

Riwayat al-Bukhari (5204) dan Muslim (2855)

Dalam riwayat lain:

 بِمَ يَضْرِبُ ‌أَحَدُكُمُ ‌امْرَأَتَهُ ضَرْبَ الْفَحْلِ ثُمَّ لَعَلَّهُ يُعَانِقُهَا

Maksudnya: “Bagaimana mungkin salah seorang daripada kamu memukul isterinya seperti memukul haiwan jantan, kemudian dia memeluknya?”

Riwayat al-Bukhari (6042)

Maksud hadith ini ialah untuk menjelaskan pertentangan yang ketara antara memukul isteri, yang menyebabkan kebencian dan ketegangan, dengan memeluk atau berhubungan dengannya, yang memerlukan suasana mesra, kasih sayang, dan kelembutan.

Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi berkata: “Sabda Nabi SAW: ‘Bagaimana mungkin salah seorang daripada kamu memukul isterinya seperti memukul seorang hamba?’ adalah teguran terhadap suami yang memukul isterinya secara berlebihan sehingga memperlakukannya seperti seorang hamba. Kemudian, selepas waktu yang singkat, suami itu kembali untuk berhubungan intim dengannya dan memenuhi kehendak syahwatnya. Dalam keadaan ini, isteri mungkin tidak bersedia, tidak ingin melayani suaminya, malah mungkin membencinya. Sedangkan suami mungkin mencintainya. Akibatnya, hubungan rumah tangga menjadi rosak, masalah semakin rumit, dan rahmat serta kasih sayang yang Allah SWT ciptakan antara suami isteri akan hilang. Sebaliknya, ia digantikan dengan kebencian dan permusuhan. Rasulullah SAW dengan ungkapan yang ringkas tetapi mendalam telah memberi peringatan tentang keburukan yang boleh timbul daripada perbuatan ini.” (Lihat al-Mufhim lima Asykala min Talkhis Kitab Muslim, 7/429).

Beliau juga berkata: “Daripada hadith ini difahami bahawa larangan memukul isteri adalah kerana selepas itu suami memerlukan hubungan mesra dengannya. Namun, akibat layanan buruk tersebut, isteri akan enggan melayan suami, dan tujuan hubungan tersebut tidak dapat dicapai kerana pukulan itu. Maksud ungkapan ini ialah: ‘Kemudian dia kembali berhubungan dengannya.’” (Lihat al-Mufhim lima Asykala min Talkhis Kitab Muslim, 1/542).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani pula menyebutkan: “Daripada konteks hadith ini, jelas bahawa amat tidak logik bagi seorang yang bijak untuk memukul isterinya secara berlebihan, kemudian pada hari yang sama atau malam itu juga dia ingin berhubungan intim dengannya. Hubungan intim atau bermesra hanya menjadi indah apabila terdapat rasa cinta dan keinginan untuk bersama. Manakala seseorang yang telah dipukul selalunya akan menjauhkan diri daripada orang yang memukulnya. Ini menunjukkan keburukan perbuatan tersebut. Jika hukuman memukul perlu dilakukan, hendaklah ia dilakukan dengan pukulan ringan sehingga tidak menimbulkan kebencian yang mendalam. Jangan melampau dalam memukul, tetapi jangan pula mengabaikan keperluan untuk mendidik.” (Lihat Fath al-Bari, 9/303).

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin pernah ditanya: “Adakah seorang wanita berdosa jika dia menolak ajakan suaminya kerana masalah emosi sementara atau sakit yang dihadapinya?” Beliau menjawab: “Seorang wanita wajib memenuhi ajakan suaminya jika dia mengajaknya ke tempat tidur. Namun, jika wanita tersebut sedang menghadapi masalah emosi atau sakit yang membuatkan dia tidak mampu untuk melayan suaminya, maka suami tidak dibenarkan untuk memaksa. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: ‘Tidak boleh memberi kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan.’ Suami hendaklah bersabar atau menikmati hubungan dengan cara yang tidak mendatangkan mudarat kepada isteri.” (Lihat Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah, 2/660).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa seorang suami yang mengabaikan tanggungjawabnya terhadap isteri tidak berhak untuk menuntut haknya sebagai suami, apatah lagi memaksa isteri untuk menuntut haknya dengan memukulnya atau memaksanya. Islam menekankan prinsip keadilan dalam hubungan rumah tangga, dan suami wajib memenuhi tanggungjawabnya terlebih dahulu sebelum menuntut haknya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa