Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya membaca bahawa terdapat ayat-ayat Makkah dalam Surah al-Tawbah yang merupakan surah Madaniyah. Apakah ini bermaksud bahawa ayat-ayat tersebut, khususnya ayat 128 dan 129, diturunkan sebelum hijrah iaitu sebelum ayat-ayat lain dalam surah tersebut? Atau adakah maksudnya ia diturunkan selepas hijrah tetapi di Makkah sehingga ia dianggap sebagai ayat-ayat Makkah?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Surah-surah dalam al-Quran tidak diturunkan sekaligus melainkan sedikit sahaja daripadanya. Sebahagian besar ayat al-Quran diturunkan secara berperingkat dalam tempoh masa yang berbeza. Apabila sesuatu ayat diturunkan, Rasulullah SAW akan diarahkan untuk meletakkan ayat tersebut di tempat tertentu dalam susunan surah-surah yang sudah ditetapkan.

Oleh itu, kadangkala terdapat ayat yang diturunkan di Makkah tetapi diletakkan dalam surah yang kebanyakannya diturunkan di Madinah, dan begitu juga sebaliknya.

Imam al-Suyuti menyebut: “Ulama telah bersepakat dengan ijmak, dan terdapat banyak nas yang yang berkaitan menunjukkan bahawa susunan ayat-ayat dalam al-Quran adalah berdasarkan wahyu, tanpa sebarang keraguan mengenainya.

Adapun ijmak, ia telah dinyatakan oleh ramai ulama, antaranya al-Zarkashi dalam kitab al-Burhan dan Abu Ja‘far bin al-Zubair dalam kitab al-Burhan fi Tanasub Suwar al-Quran. Beliau berkata: “Susunan ayat-ayat dalam surah-surahnya berlaku berdasarkan wahyu daripada Rasulullah SAW dan perintah baginda, tanpa sebarang perselisihan dalam perkara ini dalam kalangan umat Islam.” (Lihat al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran, 1/211).

Malah, Jibril A.S. akan turun membawa wahyu kepada Rasulullah SAW dan memberitahunya kedudukan ayat-ayat yang baru diturunkan dalam surah-surah yang telah sedia ada. Rasulullah SAW pula akan mengarahkan para penulis wahyu untuk menulis ayat-ayat tersebut di tempat yang telah ditentukan. Baginda juga akan berkata kepada mereka: “ضعوا هذه الآيات في السورة التي يذكر فيها كذا وكذا” Letakkanlah ayat ini dalam surah yang disebutkan padanya (perkara tertentu).”

Diriwayatkan daripada Uthman bin Abi al-‘As R.A., beliau berkata:

كُنْتُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم جَالِسًا إِذْ شَخَصَ بِبَصَرِهِ ثُمَّ صَوَّبَهُ حَتَّى كَادَ أَنْ يُلْزِقَهُ بِالأَرْضِ، قَالَ: ثُمَّ شَخَصَ بِبَصَرِهِ، فَقَالَ: أَتَانِى جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام فَأَمَرَنِى أَنْ أَضَعَ هَذِهِ الآيَةَ بِهَذَا الْمَوْضِعِ مِنْ هَذِهِ السُّورَةِ: {إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِى الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْىِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ}

Maksudnya: “Aku sedang duduk bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba baginda mengangkat pandangannya ke atas, kemudian menundukkannya sehingga hampir menyentuh tanah. Kemudian baginda kembali mengangkat pandangannya dan bersabda: ‘Jibril A.S. telah datang kepadaku dan memerintahkan agar aku meletakkan ayat ini pada tempat ini di dalam surah ini: {Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat ihsan, memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran, dan kezaliman. Dia memberi pengajaran kepada kamu agar kamu mengambil peringatan.} (Surah an-Nahl: 90).” (Lihat Mabahith fi ‘Ulum al-Quranoleh Manna‘ al-Qattan, hlm. 140).

Berdasarkan persoalan di atas, ayat-ayat yang dirujuk dalam soalan adalah firman Allah SWT:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ (128) فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.””

(Surah al-Taubah: 128-129).

Kedua-dua ayat ini menurut kebanyakan mufassir adalah ayat Madaniyah dan termasuk dalam ayat-ayat terakhir yang diturunkan dalam al-Quran. Namun, terdapat sebahagian ulama yang mengatakan bahawa ayat-ayat ini adalah ayat Makkiyah, tetapi pendapat ini dianggap lemah oleh Imam al-Qurtubi dan al-Qasimi.

Imam al-Qurtubi berkata: “Kedua-dua ayat ini, menurut pendapat Ubay, adalah ayat al-Quran yang paling hampir dengan langit ketika diturunkan.

Al-Naqqash meriwayatkan daripada Ubay bin Ka‘ab bahawa beliau berkata: ‘Ayat al-Quran yang paling hampir diturunkan daripada Allah SWT ialah ayat: Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul daripada kalangan kamu sendiri hingga akhir surah.’

Yusuf bin Mihran meriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa ayat terakhir yang diturunkan daripada al-Quran ialah Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul daripada kalangan kamu sendiri, sebagaimana disebut oleh al-Mawardi.

Muqatil pula berkata bahawa ayat ini diturunkan lebih awal di Makkah. Namun, pendapat ini dianggap lemah kerana surah tersebut adalah surah Madaniyyah. Wallahu a‘lam.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 8/301).

Al-Zarkashi pula berkata: “Dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim, daripada Shubah, daripada Ali bin Zaid, daripada Yusuf bin Mihran, daripada Ibn Abbas, daripada Ubay bin Ka‘ab R.A., beliau berkata: ‘Ayat terakhir yang diturunkan pada zaman Rasulullah SAW ialah: {Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul daripada kalangan kamu sendiri}, kemudian beliau membacanya sehingga akhir surah.’

Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ahmad dalam al-Musnad, daripada al-Rabi‘ bin Anas, daripada Abu al-‘Aliyah, daripada Ubay bin Ka‘ab R.A., bahawa beliau berkata: ‘Ayat terakhir yang diturunkan pada zaman Rasulullah SAW ialah: {Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul daripada kalangan kamu sendiri}, kemudian beliau membacanya sehingga {dan Dia adalah Tuhan yang mempunyai ‘Arasy yang agung}.’” (Lihat al-Burhan fi ‘Ulum al-Quran, 1/209).

Imam al-Qasimi pula berkata: “Surah at-Taubah adalah surah Madaniyyah berdasarkan ijmak ulama. Dikatakan: Kecuali dua ayat di akhirnya: Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul daripada kalangan kamu sendiri… (at-Taubah: 128), kerana kedua-duanya diturunkan di Makkah. Namun, pendapat ini memerlukan penelitian.” (Lihat Tafsir al-Qasimi, 5/342).

Walau bagaimanapun, tiada isu dalam menentukan bahawa kedua-dua ayat tersebut adalah ayat Makkiyyah, tetapi susunannya dalam surah ini selepas ayat-ayat Madaniyyah, jika riwayat mengenainya adalah sahih. Ini disebabkan susunan ayat dalam al-Quran adalah berdasarkan wahyu (tauqifi), sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini. Fenomena ini sering berlaku dalam al-Quran, di mana terdapat ayat-ayat Makkiyyah yang disusun selepas ayat-ayat Madaniyyah, dan sebaliknya.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa surah-surah dalam al-Quran tidak diturunkan sekaligus melainkan ia diturunkan secara berperingkat dan dalam tempoh masa yang berbeza. Apabila sesuatu ayat diturunkan, Rasulullah SAW akan diarahkan untuk meletakkan ayat tersebut di tempat tertentu dalam susunan surah-surah yang sudah ditetapkan. Hal ini menunjukkan bahawa penentuan ayat dan susunan ayat dalam al-Quran adalah berbentuk tauqifi, iaitu yang diwahyukan daripada Allah. Oleh itu, kadangkala terdapat ayat yang diturunkan di Makkah tetapi diletakkan dalam surah yang kebanyakannya diturunkan di Madinah, dan begitu juga sebaliknya.

Manakala, ayat-ayat terakhir dalam Surah al-Taubah ayat 128-129 yang dirujuk dalam soalan dianggap sebagai ayat Madaniyah oleh kebanyakan ulama. Terdapat pandangan bahawa ia diturunkan di Makkah selepas hijrah, namun pandangan ini tidak kuat dan memerlukan kepada penelitian. Sekiranya ayat tersebut benar-benar diturunkan di Makkah, ia adalah sebahagian daripada ketetapan Rasulullah SAW yang meletakkan ayat tersebut mengikut arahan wahyu (tauqifi). Oleh itu, tidak menjadi persoalan dalam susunan al-Quran walaupun terdapat ayat Makkah dalam surah Madaniyah atau sebaliknya.

Akhirnya, semoga penjelasan ini memberikan kefahaman yang mendalam dan memanfaatkan pembaca dalam memahami susunan al-Quran. Amin.

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”