Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Dalam selawat Ibrahimiah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, kita mendoakan keberkatan kepada Baginda. Doa ini tampak relevan semasa Baginda masih hidup, tetapi selepas wafatnya, bagaimana doa keberkatan ini memberi manfaat kepada Baginda SAW? Bagaimana ia memberi kesan kepada ahli keluarga Baginda, Sayidina Ibrahim AS, dan lain-lain yang juga telah wafat? Adakah berdosa jika saya tidak berdoa keberkatan dalam selawat dan hanya mengucapkan selawat serta salam kepada Rasulullah SAW?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Selawat Ibrahimiah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya adalah umum dan berlaku sepanjang zaman, baik semasa hayat Baginda SAW mahupun selepas kewafatannya. Para ulama tidak berselisih pendapat mengenai perkara ini. Tiada sebarang isu dalam mendoakan keberkatan kepada Rasulullah SAW kerana maksud keberkatan itu sendiri merangkumi keadaan Baginda semasa hidup dan selepas wafatnya.

Keberkatan bermaksud memohon penambahan kebaikan yang Allah SWT telah kurniakan kepada Baginda, baik dalam bentuk material mahupun spiritual, serta memohon agar kebaikan itu kekal dan tersebar luas.

Semasa hayat Baginda SAW, keberkatan mencakupi perkara-perkara fizikal dan maknawi. Selepas wafatnya, keberkatan ini merangkumi dakwah dan risalah yang Baginda tinggalkan, kesan ajarannya kepada umat, serta kemuliaan kedudukan Baginda di dunia dan akhirat.

Ibn al-Athir berkata: “Dan maksud ‘Berikanlah keberkatan kepada Muhammad dan keluarga Muhammad’ adalah memohon agar apa yang telah Allah SWT kurniakan kepada Baginda dalam bentuk kemuliaan dan kehormatan menjadi tetap, kekal, dan berterusan. Kata ‘barakah’ diambil daripada perbuatan unta yang menetap di suatu tempat dan tidak bergerak. Keberkatan juga bermaksud pertambahan.” (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 1/120).

Keberkatan yang kita doakan kepada Nabi Muhammad SAW selepas kewafatannya adalah dalam bentuk pertambahan kebaikan dan kekal abadi untuk dakwah serta syariat Baginda. Hal ini dijelaskan oleh Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin dalam Syarh al-Mumti‘: “Keberkatan bermaksud pertumbuhan dan penambahan dalam segala kebaikan. Jadi, apakah keberkatan yang didoakan untuk Rasulullah SAW selepas kewafatannya? Semasa hayat Baginda, keberkatan boleh berlaku pada makanan, pakaian, keluarga, dan kerja Baginda.

Namun, selepas kewafatannya, keberkatan itu adalah melalui peningkatan bilangan pengikut Baginda dan kesan dakwahnya. Jika sebelumnya Baginda mempunyai sejuta pengikut, kemudian pengikutnya menjadi dua juta, ini adalah keberkatan… Maka, apabila kita mendoakan keberkatan untuk Rasulullah SAW, ia bermaksud peningkatan jumlah pengikutnya serta amalan baik yang dilakukan oleh para pengikutnya. Setiap amalan soleh yang dilakukan oleh pengikut Rasulullah SAW, Baginda mendapat ganjaran yang serupa hingga ke hari kiamat.” (Lihat Syarh al-Mumti‘ ‘ala Zad al-Mustaqni‘, 3/153).

Doa keberkatan kepada Nabi SAW selepas kewafatan Baginda tidak mengandungi sebarang unsur yang bertentangan dengan syara’. Keberkatan yang dimaksudkan adalah dalam bentuk pertambahan kebaikan, kesinambungan dakwah, ganjaran amal soleh yang dilakukan oleh umat Baginda hingga hari akhirat, serta penyebaran syariat Baginda yang luas dan mendalam.

Justeru, doa keberkatan dalam selawat kepada Nabi Muhammad SAW tidak hanya dilakukan ketika hayat Baginda, tetapi juga selepas kewafatannya. Hal ini kerana makna keberkatan merangkumi penambahan dan kelangsungan kebaikan.

Selain itu, tidak mendoakan keberkatan kepada Nabi SAW dalam selawat adalah suatu kesalahan yang besar. Hal ini menunjukkan sikap yang kurang adab terhadap Nabi SAW, serta bertentangan dengan ajaran Baginda yang mengajarkan selawat Ibrahimiah kepada para sahabatnya.

Selawat Ibrahimiah adalah satu bahagian penting dalam ibadah, termasuk dalam solat. Rasulullah SAW sendiri mengajarkan selawat ini secara langsung kepada para sahabat sebagaimana Baginda mengajarkan surah-surah Al-Quran. Oleh itu, meninggalkan bahagian doa keberkatan dalam selawat Ibrahimiah dianggap sebagai meninggalkan salah satu amalan yang diajar secara langsung oleh Baginda.

Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, beliau berkata:

عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَفِّي بَيْنَ كَفَّيْهِ التَّشَهُّدَ كَمَا يُعَلِّمُنِي السُّورَةَ مِنْ الْقُرْآنِ: التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ. السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengajarkan aku bacaan tahiyyat dengan meletakkan tanganku di antara kedua-dua tangan Baginda, sebagaimana Baginda mengajarkan aku surah-surah daripada Al-Quran: ‘Segala penghormatan, segala doa, dan segala yang baik adalah milik Allah. Salam sejahtera ke atasmu wahai Nabi, juga rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Salam sejahtera juga ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.’”

Riwayat al-Bukhari (6265)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا التَّشَهُّدَ كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنْ الْقُرْآنِ، فَكَانَ يَقُولُ: التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلَّهِ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ. السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengajarkan kami bacaan tahiyyat sebagaimana Baginda mengajarkan kami surah-surah daripada Al-Quran. Baginda berkata: ‘Segala penghormatan yang penuh keberkatan, segala doa, dan segala yang baik adalah milik Allah. Salam sejahtera ke atasmu wahai Nabi, juga rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Salam sejahtera juga ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Rasul Allah.’”

Riwayat Muslim (403)

Dalam lafaz ini, terdapat doa keberkatan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, tidak ada ruang untuk meninggalkan bahagian ini. Maka, wahai hamba Allah, jangan biarkan dirimu terpengaruh oleh was-was syaitan dan pemikiran yang salah. Perbanyakkanlah selawat, salam, dan doa keberkatan kepada Nabi Muhammad SAW, penutup para nabi, pemberi syafaat, dan pembimbing umat. Selawat dan salam juga diucapkan kepada ahli keluarga Baginda yang suci serta para sahabat yang mulia.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, doa keberkatan kepada Nabi Muhammad SAW dalam selawat Ibrahimiah adalah suatu amalan yang penting dan termasuk dalam selawat yang afdhal yang diajar sendiri daripada Nabi SAW melalui jalan wahyu. Ia bukan sahaja menunjukkan kecintaan kita kepada Baginda SAW tetapi juga melengkapkan adab serta kesempurnaan ibadah kita, khususnya dalam solat. Oleh itu, meninggalkan bahagian doa keberkatan ini adalah suatu kesalahan, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan dalam solat.

Akhirnya, semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada kita semua untuk terus mencontohi ajaran Rasulullah SAW dalam selawat, salam, dan doa keberkatan. Amin. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَضِينَا بِاللهِ رَبًّا، وَبِالإِسْلَامِ دِيْنا، وَبِمُحَمَّدٍ – صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وِسَلَم – رَسُولًا

Maksudnya: “Kami redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Rasul.”