Soalan
 Assalamualaikum Dato’ Seri. Ketika kami membaca tasyahud dengan ucapan, “Assalamu ‘alaika ayyuhan-Nabi wa rahmatullahi wa barakatuh,” Nabi SAW juga mengucapkan hal yang sama dan mengajarkan kepada kami. Adakah selawat dan salam Baginda kepada diri sendiri sama seperti selawat dan salam yang kami ucapkan kepadanya, atau adakah ia berbeza kerana Baginda diperintahkan untuk melakukannya dengan cara tertentu yang tidak diperintahkan kepada kami?

Jawapan
 Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Tasyahud adalah amalan yang disyariatkan dalam solat, di mana Nabi SAW mengajarkannya kepada para sahabat sebagaimana Baginda mengajarkan surah al-Quran. Dalam bacaan tasyahud, Nabi SAW memberi salam kepada diri Baginda dan mengarahkan umatnya untuk berbuat demikian.

Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, beliau berkata:

عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَفِّي بَيْنَ كَفَّيْهِ التَّشَهُّدَ كَمَا يُعَلِّمُنِي السُّورَةَ مِنْ الْقُرْآنِ: التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ. السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengajarkan aku bacaan tahiyyat dengan meletakkan tanganku di antara kedua-dua tangan Baginda, sebagaimana Baginda mengajarkan aku surah-surah daripada Al-Quran: ‘Segala penghormatan, segala doa, dan segala yang baik adalah milik Allah. Salam sejahtera ke atasmu wahai Nabi, juga rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Salam sejahtera juga ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.’”

Riwayat al-Bukhari (6265)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا التَّشَهُّدَ كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنْ الْقُرْآنِ، فَكَانَ يَقُولُ: التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلَّهِ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ. السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengajarkan kami bacaan tahiyyat sebagaimana Baginda mengajarkan kami surah-surah daripada Al-Quran. Baginda berkata: ‘Segala penghormatan yang penuh keberkatan, segala doa, dan segala yang baik adalah milik Allah. Salam sejahtera ke atasmu wahai Nabi, juga rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Salam sejahtera juga ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Rasul Allah.’”

Riwayat Muslim (403)

Daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

كُنَّا إِذَا صَلَّيْنَا خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قُلْنَا: السَّلَامُ عَلَى جِبْرِيلَ وَمِيكَائِيلَ، السَّلَامُ عَلَى فُلَانٍ وَفُلَانٍ. فَالْتَفَتَ إِلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: إِنَّ اللَّهَ هُوَ السَّلَامُ، فَإِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلْ: التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ. فَإِنَّكُمْ إِذَا قُلْتُمُوهَا أَصَابَتْ كُلَّ عَبْدٍ لِلَّهِ صَالِحٍ فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

Maksudnya: “Apabila kami solat di belakang Nabi SAW, kami berkata: ‘Salam sejahtera kepada Jibril, Mikail, dan kepada si fulan serta si fulan.’ Maka Nabi SAW berpaling kepada kami dan bersabda: ‘Sesungguhnya Allah adalah as-Salam. Apabila salah seorang daripada kamu solat, hendaklah dia berkata: ‘Segala pujian, solat, dan kebaikan hanya untuk Allah. Salam sejahtera ke atasmu, wahai Nabi, beserta rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Maka, jika kamu mengucapkannya, ia akan sampai kepada setiap hamba Allah yang soleh di langit dan di bumi. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.’”

Riwayat al-Bukhari (831) dan Muslim (402)

Zakariya al-Ansari berkata: “Diriwayatkan bahawa Nabi SAW dalam tasyahudnya berkata: ‘Aku bersaksi bahawa aku adalah Rasul Allah.’ Pendapat ini disebutkan oleh al-Rafi‘i dalam kitab al-Azan. Namun, menurut al-Zarkasyi, pendapat ini tidak dapat diterima kerana diriwayatkan bahawa tasyahud Nabi SAW adalah sama seperti tasyahud kita. Perkara ini juga disebut oleh Imam Malik dalam kitab al-Muwatta‘ dan diperkuatkan oleh Ibn al-Rifa‘ah dalam kitab al-Kifayah.” (Lihat Asna al-Matalib,1/164).

Al-Mulla Ali al-Qari rahimahullah dalam Mirqah al-Mafatih (3/452) menyatakan: “Diriwayatkan bahawa tasyahud Nabi SAW adalah sama seperti tasyahud kita. Adapun dakwaan al-Rafi‘i bahawa Nabi SAW dalam tasyahudnya berkata: ‘Aku bersaksi bahawa aku adalah Rasul Allah,’ pendapat ini tertolak kerana tidak mempunyai asas yang kukuh.”

Syeikh Nasiruddin al-Albani berkata: “Nabi SAW berselawat kepada dirinya sendiri dalam tasyahud awal dan yang lain, dan Baginda mensyariatkan amalan ini kepada umatnya dengan memerintahkan mereka untuk berselawat kepadanya selepas memberi salam kepadanya.” (Lihat Aslu Sifat Solah al-Nabi, 3/904).

Syeikh Nasiruddin al-Albani turut menekankan bahawa dalam kajian terhadap teks-teks tasyahud yang diriwayatkan oleh para sahabat, seperti dalam kitab Sifat Solah al-Nabi, terdapat beberapa perbezaan kecil dalam teks tasyahud. Sebagai contoh, hadith Ibn Abbas menggunakan lafaz: ‘وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ’, Manakala kebanyakan riwayat sahabat lain seperti Umar, Ibn Mas‘ud, Jabir, Abu Musa, dan Abdullah bin al-Zubair menggunakan lafaz: ‘وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ’.

Al-Mulla Ali al-Qari menyatakan: “Dalam lafaz tasyahud, Ibn Abbas menggunakan ungkapan: ‘Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Rasul Allah.’ Ungkapan ini adalah hanya ada pada riwayat Ibn Abbas, sedangkan dalam semua riwayat tasyahud yang diriwayatkan oleh Umar, Ibn Mas‘ud, Jabir, Abu Musa, dan Abdullah bin al-Zubair, lafaz yang digunakan adalah: ‘Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul Allah.’” (Lihat Mirqah al-Mafatih, 3/452).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa Nabi SAW membaca tasyahud yang sama seperti yang diajarkan kepada umatnya, termasuk memberi salam kepada diri Baginda. Tiada ada dalil yang menunjukkan Baginda menambah lafaz seperti “Aku bersaksi bahawa aku adalah Rasul Allah.” Perbezaan kecil dalam lafaz tasyahud yang diriwayatkan oleh sahabat tidak bercanggah dengan amalan ini.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَضِينَا بِاللهِ رَبًّا، وَبِالإِسْلَامِ دِيْنا، وَبِمُحَمَّدٍ – صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وِسَلَم – رَسُولًا

Maksudnya: “Kami redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Rasul.”