Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Dalam bacaan tahiyyat, adakah kita perlu menyebut “السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ” seperti yang diajarkan Nabi SAW, atau menukarnya menjadi “السَّلَامُ عَلَى النَّبِيِّ” setelah kewafatan Baginda? Adakah terdapat perbezaan yang harus diperhatikan berdasarkan pandangan para ulama?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Para ulama telah membincangkan perkara ini berdasarkan amalan Nabi SAW dan perbuatan para sahabat setelah kewafatan Baginda. Para ulama Lajnah Daimah pernah ditanya mengenai hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A. Beliau berkata:
عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ التَّشَهُّدَ كَفِّي بَيْنَ كَفَّيْهِ كَمَا يُعَلِّمُنِي السُّورَةَ مِنَ الْقُرْآنِ: «التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ» وَهُوَ بَيْنَ ظَهْرَانَيْنَا، فَلَمَّا قُبِضَ قُلْنَا: السَّلَامُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mengajarkan aku bacaan tahiyyat, dan tanganku berada dalam genggaman tangan Baginda, sebagaimana Baginda mengajarkan aku surah-surah daripada al-Quran:«التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ», ketika Baginda masih hidup di kalangan kami. Setelah Baginda wafat, kami pun menyebutnya sebagai السَّلَامُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.”
Riwayat al-Bukhari (6265) dan Muslim (402)
Sebilangan orang kini mengamalkan bacaan terakhir ini dan menganggapnya lebih sesuai.
Mereka menyatakan: Bentuk bacaan tahiyyat yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan diamalkan oleh para sahabat adalah sebagaimana riwayat oleh al-Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, katanya: Rasulullah SAW mengajarkan aku bacaan tahiyyat, dan tanganku berada dalam genggaman tangan Baginda, sebagaimana Baginda mengajarkan aku surah-surah daripada al-Quran:
«التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ»
Maksudnya: “Segala penghormatan, keberkatan, solat, dan kebaikan adalah milik Allah. Salam sejahtera ke atasmu, wahai Nabi, beserta rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya.”
Bacaan ini adalah yang paling tepat kerana Baginda SAW telah mengajarkannya kepada para sahabat. Baginda tidak pernah bersabda: “Apabila aku wafat, maka ucapkanlah “السَّلَامُ عَلَى النَّبِيِّ”.
Mereka juga ditanya: “Dalam bacaan tahiyyat, adakah seseorang perlu menyebut “السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ” atau “السَّلَامُ عَلَى النَّبِيِّ”, kerana Abdullah bin Mas‘ud R.A berkata: ‘Kami menyebut “السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ” semasa Baginda masih hidup, dan selepas kewafatan Baginda, kami menyebut “السَّلَامُ عَلَى النَّبِيِّ”?’”
Mereka menjawab: Yang tepat adalah bahawa seseorang yang solat menyebut “ السُّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ” dalam bacaan tahiyyat, kerana inilah yang sabit dalam hadith-hadith sahih. Adapun apa yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud mengenai perubahan kepada “السَّلَامُ عَلَى النَّبِيِّ” – jika riwayat itu sahih – ia adalah hasil ijtihad peribadi yang tidak boleh dijadikan asas untuk menyanggah hadith-hadith sahih. Jika terdapat perubahan hukum selepas kewafatan Nabi SAW, sudah tentu Baginda akan menjelaskannya kepada para sahabat. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta’, 7/11–13).
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin telah menjelaskan perkara ini dengan penjelasan yang sangat terperinci dan menjawab salah faham yang mendakwa bahawa ungkapan “السلام عليك” adalah seruan kepada seseorang yang tidak hadir. Beliau berkata:
Adakah ungkapan “السلام عليك” adalah penyataan berita atau doa? Maksudnya, adakah seseorang itu sedang memberitahu bahawa Nabi SAW sedang diberi salam, atau sebenarnya mendoakan agar Allah SWT memberikan salam kepada Baginda? Beliau menjawab: “Ia adalah doa, iaitu seseorang sedang berdoa agar Allah SWT memberikan salam sejahtera kepada Nabi SAW. Maka, ungkapan ini berbentuk berita tetapi bermakna doa.”
Adakah ini merupakan lafaz secara langsung dengan Nabi SAW seperti percakapan sesama manusia? Beliau menjawab : Tidak, jika ia adalah dialog langsung seperti percakapan sesama manusia, maka solat seseorang akan menjadi batal. Ini kerana dalam solat, tidak dibenarkan sebarang bentuk percakapan yang biasa dilakukan manusia.
Tambahan pula, jika ia adalah dialog langsung, maka para sahabat sudah pasti menyebutnya dengan suara yang kuat sehingga Nabi SAW boleh mendengarnya dan membalas salam mereka, seperti yang berlaku ketika mereka bertemu dengan Baginda secara langsung.
Namun, seperti yang dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dalam kitabnya Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim, ini adalah kerana kekuatan kehadiran Nabi SAW dalam hati seseorang ketika memberi salam, seolah-olah Baginda sedang berada di hadapannya.
Oleh itu, para sahabat tetap berkata “السلام عليك” walaupun Nabi SAW tidak mendengar mereka. Mereka berkata “السلام عليك” walaupun berada di tempat yang berlainan daripada Nabi SAW, dan pada zaman ini kita juga berkata “السلام عليك” walaupun kita berada di negara yang berlainan dengan negara Baginda dan di zaman yang jauh daripada zaman Baginda.
Adapun hadith yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A yang menyatakan bahawa selepas kewafatan Rasulullah SAW, para sahabat berkata: “السَّلامُ على النَّبيِّ ورحمة الله وبركاته” (Maksudnya: Salam sejahtera ke atas Nabi dan rahmat Allah serta keberkatan-Nya), maka ini adalah salah satu ijtihad Abdullah bin Mas‘ud R.A.
Namun, ijtihad tersebut telah disanggah oleh seorang yang lebih alim daripadanya, iaitu Umar bin al-Khattab R.A. Umar R.A pernah berkhutbah kepada orang ramai di atas mimbar Rasulullah SAW, dan dalam khutbah itu, beliau menyebutkan lafaz dalam tahiyyat: “السَّلامُ عليك أيُّها النبيُّ ورحمة الله” (Maksudnya: Salam sejahtera ke atasmu, wahai Nabi, dan rahmat Allah), sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam kitab al-Muwatta’ melalui sanad yang paling sahih. Umar R.A mengucapkannya di hadapan para sahabat, dan mereka semua menyetujui perbuatan beliau.
Tambahan pula, Rasulullah SAW sendiri telah mengajarkan lafaz ini kepada umatnya. Bahkan, Baginda SAW mengajarkannya kepada Abdullah bin Mas‘ud R.A dengan meletakkan tangan Baginda di atas tangan Abdullah bin Mas‘ud supaya dia dapat membayangkan dan menghafal lafaz tersebut. Rasulullah SAW mengajarkan lafaz itu kepada mereka sebagaimana Baginda mengajarkan surah-surah al-Quran, sedangkan Baginda SAW mengetahui bahawa Baginda akan wafat, kerana Allah SWT telah berfirman:
إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُم مَّيِّتُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya kamu akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati.
(Surah al-Zumar: 30)
Namun, Rasulullah SAW tidak pernah mengatakan kepada mereka: “Selepas aku wafat, katakanlah ‘السَّلامُ على النَّبيِّ’.” Sebaliknya, Baginda mengajarkan tahiyyat kepada mereka dengan lafaz asalnya sebagaimana Baginda mengajarkan surah-surah al-Quran. Oleh itu, tidak boleh berpegang kepada ijtihad Abdullah bin Mas‘ud R.A dalam hal ini. Lafaz yang sepatutnya diucapkan ialah: “السَّلامُ عليك أيُّها النبيُّ.” (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 3/150-151)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa lafaz tahiyyat yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat ialah “ السُّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ” dan lafaz ini kekal digunakan oleh umat Islam ketika bertasyahud, tanpa mengubahnya selepas kewafatan Baginda SAW. Walaupun terdapat riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A yang menyebut perubahan lafaz kepada “السَّلامُ على النَّبيِّ”, pendapat ini dianggap sebagai ijtihad peribadi yang tidak mengatasi amalan asal yang diajarkan secara khusus oleh Baginda SAW. Bahkan, sahabat-sahabat lain seperti Umar bin al-Khattab R.A tetap mengucapkan lafaz asalnya dan mendapat persetujuan para sahabat yang lain.
Oleh itu, lafaz “السَّلامُ عليك أيُّها النبيُّ” adalah lafaz yang lebih kuat dari sudut dalil dan sunnah serta menjadi pegangan umat Islam sehingga kini, tanpa ada sebarang perubahan meskipun Rasulullah SAW telah wafat.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita kefahaman yang lebih mendalam tentang adab dalam solat, khususnya dalam melafazkan tahiyyat. Amin. Wallahua‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَضِينَا بِاللهِ رَبًّا، وَبِالإِسْلَامِ دِيْنا، وَبِمُحَمَّدٍ – صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وِسَلَم – رَسُولًا
Maksudnya: “Kami redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Rasul.”