Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum solat berjemaah di masjid bagi seseorang yang menggunakan kateter urin (beg urin), dengan keadaan bahawa kateter tersebut tidak menghalangnya untuk bergerak dan dia sudah terbiasa menggunakannya?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Peri pentingnya pergi ke masjid berdasarkan hadith Nabi SAW: Daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Maksud: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (3/68)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Setengah riwayat menyebut orang yang begitu setia mendatangi masjid atau memelihara untuk sentiasa ke masjid.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/389)

Kateter urin ialah alat berupa tiub plastik yang dipasang pada pesakit melalui saluran kencing bagi membantu mengeluarkan air kencing tanpa kawalan pesakit, di mana air kencing tersebut akan terkumpul dalam sebuah beg khas.

Tiub urinari kateter atau dalam bahasa perubatan moden lebih di kenali dengan singkatan “CBD” yang membawa maksud “Continuous Bladder Drainage” merupakan satu tiub khas yang telah disuci hama untuk melakukan sesuatu prosedur perubatan dan juga dalam rawatan beberapa penyakit. Tambahan lagi, umumnya tiub ini datangkan dengan pelbagai variasi saiz dan warna dengan tujuan untuk kegunaan kepada umur dan saiz bukaan “urethra” pesakit. Namun demikian, tiub ini tidak terhad kepada satu jantina sahaja, tetapi boleh digunakan oleh lelaki dan perempuan dari kanak-kanak hingga warga emas yang memerlukan pengunaan tiub ini.

Kebiasaannya, tiub ini akan dimasukkan ke dalam saluran saluran kencing melalui “urethra” sehingga ke dalam pundi kencing dengan menggunakan teknik steril dan alatan yang sudah disuci hama serta penggunaan bahan pelincir dengan tujuan untuk memudahkan kemasukan tiub dan mengurangkan kesakitan. Selain daripada itu, pengunaan tiub ini lazimnya pada mereka yang menghidap penyakit “Benign Prostate Hyperthrophy” (BPH), jangkitan pada sistem perkumuhan, persediaan sebelum pembedahan major, penyakit jantung kronik dan beberapa penyakit lain yang memerlukan penyukatan dan penyingkiran lebihan cecair dalam badan.

Tambahan lagi, akan terdapat pesakit yang akan senantiasa memerlukan pengunaan tiub ini sepanjang masa dan ada yang hanya bersifat sementara. Ianya adalah bergantung kepada prognosis pesakit terhadap rawatan yang sedang diterima. Namun demikian, seperti yang diketahui umum, kemasukan tiub ini adalah melalui saluran perkumuhan dan bahan buangan kotoran yang tidak diperlukan oleh badan, jadi akan terdapat tatacara penjagaan semasa pemakaian tiub ini bagi mengelakkan komplikasi kepada pesakit.[1]

Hukum Solat Berjemaah bagi Mereka yang Memakai Tiub Kencing

Bagi seseorang yang menggunakan kateter urin, hukum solat berjemaah di masjid bergantung kepada situasi berikut:

  1. Jika sebagai makmum:
    Solatnya sah tanpa sebarang isu.
  2. Jika sebagai imam:
    Para ulama berbeza pendapat mengenai keabsahan solat seseorang yang mengalami masalah seperti ini menjadi imam kepada orang yang sihat. Namun, pendapat yang rajih (kuat): Solatnya dan solat makmumnya sah, namun lebih utama jika orang lain yang sihat menjadi imam bagi mengelakkan khilaf.

Hal ini telah difatwakan dalam Fatawa al-Lajnah al-Daimah yang menyatakan: “Seseorang yang mengalami masalah seperti aliran urin yang tidak terkawal (salis al-baul), solatnya tetap sah berdasarkan firman Allah SWT:

 فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: ‘Maka bertakwalah kepada Allah semampu kamu.’

(Surah at-Taghabun: 16)

Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: ‘Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.’

(Surah al-Baqarah: 286)

Dan sabda Nabi SAW:

 إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: ‘Apabila aku memerintahkan kamu suatu perkara, maka lakukanlah menurut kemampuan kamu.’

Riwayat al-Bukhari (7288) dan Muslim (1337)

Namun, dalam soal menjadi imam kepada makmum yang sihat, terdapat khilaf. Pendapat yang lebih kuat ialah sah, tetapi lebih utama jika orang lain yang sihat menjadi imam sebagai jalan keluar daripada Khilaf.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, Fatwa no. 60375)

Selain itu, Solat berjemaah seseorang yang menggunakan kateter urin di masjid adalah sah, dengan syarat tiada sebarang najis yang mencemari masjid atau orang di sekitarnya.

Ibn Qudamah menyatakan: “Adapun bagi wanita yang mengalami istihadhah atau seseorang yang mengalami salis al-baul (Kencing tak lawas), mereka dibenarkan untuk berada di dalam masjid atau melintasinya dengan syarat memastikan masjid tidak tercemar.” (Lihat al-Mughni, 1/201)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa solat seseorang yang menggunakan kateter urin adalah sah sama ada sebagai makmum atau imam. Namun, lebih utama jika imam adalah daripada kalangan mereka yang sihat bagi mengelakkan khilaf dalam kalangan ulama.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

[1] Lihat https://www.mmgazette.com/tiub-urinari-kateter-apa-yang-perlu-anda-tahu-dan-tatacara-penjagaannya-harith-baharudin/