Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah seseorang yang menghidap penyakit salasul baul (kebocoran kencing berterusan/ kencing tak lawas) diwajibkan solat berjemaah di masjid bersama imam, atau adakah dia dibolehkan solat secara bersendirian di rumah?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:
إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ
Maksud: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.”
Riwayat al-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (3/68)
Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Setengah riwayat menyebut orang yang begitu setia mendatangi masjid atau memelihara untuk sentiasa ke masjid.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/389)
Disebutkan di dalam Tajul Urus oleh Syeikh Murtadha al-Zabidi bahawa salasul baul bermaksud suatu penyakit yang mana seseorang itu tidak berupaya menahan kencingnya dari terkeluar atau tidak mudah baginya untuk menahan kencingnya. (Lihat Tajul Urus min Jawahir al-Qamus, 16/151) Butrus al-Bustani menyatakan perbezaan antara (سَلَسُ البَوْلِ) dan (سَلِسُ البَوْلِ), adapun salasul baul merujuk kepada penyakit tersebut, manakala salisul baul merujuk kepada orang yang menghidapi penyakit tersebut. (Lihat Muhit al-Muhit, 4/446)
Keduanya, hukum mereka yang menghidapi masalah kencing tidak lawas ini boleh diqiaskan dengan wanita yang keluar daripadanya darah istihadhah. Tidak gugur daripada mereka kewajipan beribadah, ini sepertimana yang disebutkan Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu‘, katanya: “Orang yang sedang istihadah seperti (mengambil hukum) orang yang suci dalam (hukum) solat, puasa, iktikaf, membaca al-quran dan lain-lain.” (Lihat al-Majmu‘, 2/372)
Dr Muhammad al-Zuhaili berkata: “Darah istihadhah merupakan hadas yang berterusan seperti kencing tidak lawas.” (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/124)
Melakukan Solat Bagi Pesakit Kencing Tidak Lawas
Terdapat beberapa hukum dan garis panduan yang terkait dengan mereka yang menghidapi masalah ini. Kami perincikan hukum dan panduan yang disebutkan di dalam al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i (1/124) seperti berikut:
Pertama: Penyakit hadas yang berterusan seperti kencing tidak lawas ini tidak menggugurkan kewajipan solat dan berpuasa, juga tidak menghalang seseorang untuk berjimak atau selainnya (daripada ibadah).
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya: “Fatimah binti Abi Hubaisy telah dating bertemu Rasulullah SAW lalu bertanya:
يا رَسُولَ اللَّهِ إنِّي امْرَأةٌ أُسْتَحاضُ فَلاَ أطْهُرُ أفَأدَعُ الصَّلاَةَ؟ فَقالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: «لاَ، إنَّما ذَلِكِ عِرْقٌ، ولَيْسَ بِحَيْضٍ، فَإذا أقْبَلَتْ حَيْضَتُكِ فَدَعِي الصَّلاَةَ، وإذا أدْبَرَتْ فاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ ثُمَّ صَلِّي
Maksudnya: “Wahai Rasulullah! aku adalah seorang wanita yang beristihadhah, dan oleh kerana itu aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Sabda Nabi SAW: ‘Janganlah kamu meninggalkan solat, adapun istihadhah itu adalah sejenis darah penyakit dan bukannya darah haid. Apabila haid datang maka engkau tinggalkanlah solat, dan apabila ia putus (berhenti), maka bersihkanlah dirimu daripada darah tersebut (dengan mandi) dan hendaklah engkau menunaikan solat.”
Riwayat al-Bukhari (228) dan Muslim (333)
Kedua: Perlulah dibersihkan dahulu bahagian kemaluan dan kemudian ikhtiarkan dengan sesuatu yang boleh menutup bahagian kemaluan tersebut seperti membalutnya dengan kapas lalu mengikatnya, ditutup dengan bandage, memakai pampers atau apa cara sekalipun agar titisan air kencing itu dapat dihalang dari terus menitis.
Sebaiknya pembersihan ini dilakukan selepas berusaha semampunya untuk mengurangkan titisan air kencing tersebut agar dapat dikurangkan najis ketika dia menunaikan ibadah. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Ketiga: Mereka yang menghadapi masalah ini perlulah segera berwudhu’ setelah berhati-hati membersihkan kemaluannya (dengan merasakan tidak lagi menitis air kencing selepas ianya dibalut atau ditutup), dan wudhu’ tersebut perlulah diambil selepas masuknya waktu solat.
Hal yang demikian kerana wudhu’ tersebut berlaku pada keadaan bersuci yang darurat. Jika dia berwudhu’ sebelum masuk waktu maka wudhu’ itu terbatal.
Keempat: Wajib berwudhu’ bagi setiap solat fardhu, dan dia boleh menunaikan beberapa solat sunat dengan wudhu’ yang sama.
Ini berdasarkan sambungan hadith di atas yang diriwayatkan daripada Hisyam bin Urwah R.Anhuma daripada bapanya, katanya:
ثُمَّ تَوَضَّئِي لِكُلِّ صَلاَةٍ، حَتّى يَجِيءَ ذَلِكَ الوَقْتُ
Maksudnya: “Kemudian kamu berwudhu’ untuk setiap solat (fardhu), apabila masuknya waktu solat tersebut.”
Riwayat al-Bukhari (228)
Kelima: Wajib segera menunaikan solat selepas berwudhu’ untuk mengurangkan hadas, namun tiada masalah jika dia melewatkan sedikit solat tersebut disebabkan oleh maslahah solat, seperti menutup aurat, mendengar azan dan iqamah, menunggu untuk solat berjemaah, mencari kiblat, menuju ke masjid, mencari sutrah. Kesemua tempoh ini tidak memudaratkan wudhu’ meskipun dalam tempoh tersebut menitis air kencing.
Oleh yang demikian, para fuqaha’ menggalakkan bagi mereka yang menghidapi penyakit ini agar dating lewat ke masjid supaya mereka tidak perlu menunggu sehingga jemaah lain tiba.
Imam al-Ramli menyebutkan perkara ini dalam masalah imam solat jumaat: “Imam tidak disunatkan untuk datang awal bahkan digalakkan untuk melewatkan sehingga waktu khutbah sebagai mencontohi perbuatan Nabi SAW dan Khalifah selepasnya, Imam mawardi juga berpendapat sedemikian serta diakui pendapat tersebut dalam kitab al-Majmu‘. Dan mereka mengikuti hukum ini adalah mereka yang menghidapi kencing tidak lawas dan sebagainya, maka tidak disunatkan bagi mereka untuk datang awal ke masjid pada hari Jumaat.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/334)
Keenam: Sekiranya dilewatkan solat tanpa adanya maslahah, maka batal wudhu’ itu terbatal. Wajib ke atasnya untuk mengulangi wudhu’ tersebut bagi tujuan berhati-hati kerana telah berulang hadas serta najis tersebut.
Diriwayatkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا تُقْبَلُ صَلاةُ أحَدِكُمْ إذا أحْدَثَ حَتّى يَتَوَضَّأ
Maksudnya: “Tidak diterima solat seseorang kamu jika dia berhadas sehinggalah dia berwudhu’.”
Riwayat Muslim (224)
Fuqaha’ juga mengikat perbuatan ‘melewatkan solat’ bagi yang menghadapi penyakit kencing tidak lawas dengan ‘adanya maslahah’. Syeikh Zainuddin al-Malibari berkata: “Demikian seperti salisul baul perlu menyegerakan solat (setelah berwuduk), sekiranya dia melewatkan (solat) kerana kemaslahatan solat itu seperti menunggu jemaah atau solat Jumaat didirikan, dan meskipun dia melewatkan (solat) dari awal waktu seperti pergi ke masjid maka tidak memudaratkan (tidak terbatal wuduknya).” (Lihat Fathu al-Mu‘in Syarh Qurrah al-‘Ain, hlm. 47)
Ketujuh: Wajib menggantikan balutan atau yang seumpamanya dengan yang baru sekiranya dia memperbaharui wudhu’.
Hal yang tersebut kerana balutan tersebut telah terkena najis, dan solat mereka yang membawa najis tidak sah berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dibersihkannya) dan dibolehkan untuk mendirikan solat dengan memakai kasut itu.”
Riwayat Abu Dawud (650) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3889). Al-Albani menghukumkan hadith ini sahih.
Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa disunatkan memercikkan air ke seluar atau pakaian supaya jika datang perasaan was-was atau perkara yang tidak pasti, boleh menganggap bahawa air pada pakaian tersebut adalah air percikan tadi dan bukan kencing. Diriwayatkan daripada Zaid bin Harithah R.A, katanya:
فَلَمَّا فَرَغَ مِنَ الْوُضُوءِ أَخَذَ غُرْفَةً مِنَ الْمَاءِ فَنَضَحَ بِهَا فَرْجَهُ
Maksudnya: “Apabila Nabi SAW selesai berwudhu’, Baginda mencedok sedikit air dan merenjiskannya pada (kain yang menutupinya) kemaluan Baginda.”
Riwayat Ahmad (17515). Al-Albani mensahihkan hadith ini di dalam Sahih al-Jami‘ (1/77).
Imam al-Nawawi berkata: “Disunatkan untuk mengambil secedok air kemudian direnjiskan pada kemaluan dan bahagian dalam seluar atau kain selepas istinja’ bagi mengelakkan was-was.” (Lihat al-Majmu‘, 2/112)
Bolehkah Penghidap Penyakit Kencing Tidak Lawas Solat Berjemaah di Masjid?
Seseorang yang menghidap penyakit salasul baul atau kebocoran kencing tanpa kawalan mempunyai dua keadaan:
● Keadaan Pertama Jika keluarnya air kencing berlaku secara berterusan tanpa berhenti dalam tempoh yang cukup untuk berwuduk dan menunaikan solat, maka individu tersebut perlu:
- Bersuci: Membersihkan diri dan menggunakan sesuatu untuk menghalang air kencing daripada tersebar ke kawasan lain, seperti memakai pelapik khas atau alat yang sesuai.
- Berwuduk Selepas Masuk Waktu Solat: Berwuduk setiap kali masuk waktu solat.
- Solat Berjemaah di Masjid: Dia tetap diwajibkan solat berjemaah di masjid seperti biasa, kecuali jika dia khuatir akan mencemarkan masjid dengan najis.
Jika terdapat kemungkinan masjid akan tercemar, maka dia tidak dibenarkan memasukinya. Dalam situasi ini, dia boleh menunaikan solat berjemaah di rumah jika berkemampuan, atau bersolat secara bersendirian.
Ibn Qudamah menyatakan dalam al-Mughni (1/201): “Adapun wanita yang mengalami istihadah atau seseorang yang menghidap penyakit kencing tidak lawas, mereka dibenarkan berada di masjid atau melaluinya, dengan syarat mereka tidak mencemarkan masjid. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Aisyah RA bahawa salah seorang isteri Rasulullah SAW mengalami istihadah dan tetap beri‘tikaf di masjid, walaupun dia melihat darah mengalir, dan dia kadang-kadang meletakkan bekas di bawahnya ketika bersolat. Jika ada kebimbangan masjid akan tercemar, maka tidak dibenarkan dia melaluinya. Ini kerana masjid harus dijaga daripada pencemaran, seperti mana ia dijaga daripada najis yang lain. Begitu juga, jika seorang wanita yang haid bimbang akan mencemarkan masjid dengan melaluinya, maka dia tidak dibenarkan melakukannya.” (Lihat al-Mughni, 1/201).
Imam al-Nawawi pula berkata: “Haram membawa najis ke dalam masjid. Seseorang yang mempunyai najis di tubuhnya atau mengalami luka, jika dia khuatir akan mencemarkan masjid, maka haram baginya untuk masuk. Jika dia yakin tidak akan mencemarkan masjid, maka tidak haram baginya untuk masuk. Dalil bagi perkara ini ialah hadis Anas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‘إنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلا الْقَذَرِ ، إنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ ’ (Sesungguhnya masjid-masjid ini tidak sesuai untuk apa-apa perkara seperti membuang air kecil atau kekotoran. Masjid-masjid ini hanya untuk mengingati Allah dan membaca al-Quran). (Riwayat Muslim).” (Lihat al-Majmu‘, 2/177)
● Keadaan Kedua: Jika air kencing berhenti dalam tempoh tertentu yang mencukupi untuk berwuduk dan menunaikan solat, seperti seseorang yang mengetahui bahawa selepas membuang air kecil, air kencingnya akan berhenti dalam masa sejam, maka:
- Menangguhkan Solat: Dia diwajibkan menangguhkan solat sehingga air kencingnya berhenti, walaupun ini menyebabkan dia tidak dapat menunaikan solat berjemaah di masjid.
- Solat Berjemaah di Rumah: Dalam keadaan ini, jika dia dapat menunaikan solat berjemaah bersama ahli keluarganya, dia digalakkan untuk melakukannya bagi memperoleh pahala berjemaah.
Para ulama daripada al-Lajnah al-Daimah pernah ditanya mengenai seseorang yang menghidap penyakit salasul baul, di mana air kencing berhenti selepas tempoh tertentu. Jika dia menunggu sehingga salasul baul berhenti, dia akan terlepas solat berjemaah. Apakah hukumnya? Mereka menjawab: “Jika dia mengetahui bahawa air kencing akan berhenti selepas tempoh tertentu, maka tidak dibenarkan baginya untuk menunaikan solat dalam keadaan air kencing itu masih keluar hanya untuk mendapatkan kelebihan solat berjemaah. Sebaliknya, dia hendaklah menunggu sehingga air kencing itu berhenti, kemudian membersihkan dirinya (beristinjak), mengambil wuduk, dan menunaikan solatnya walaupun terlepas solat berjemaah. Dia hendaklah segera beristinjak dan mengambil wuduk selepas masuk waktu solat, dengan harapan dia masih sempat menunaikan solat berjemaah.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 5/408).
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa seseorang yang menghidap penyakit salasul baul yang sentiasa keluar atau berhenti selepas tempoh tertentu) mempunyai beberapa pilihan mengikut keadaannya:
- Bagi yang air kencingnya keluar secara berterusan:
- Dia boleh solat berjemaah di masjid selagi memastikan tiada najis yang mencemarkan masjid atau orang sekeliling.
- Langkah-langkah seperti menggunakan alat pelindung khas (contohnya: tuala wanita atau pelapik khusus) dan mengambil wuduk selepas masuk waktu solat adalah wajib baginya.
- Bagi yang air kencingnya berhenti selepas tempoh tertentu:
- Dia perlu menangguhkan solat sehingga air kencingnya berhenti, walaupun menyebabkan dia terlepas solat berjemaah di masjid.
- Walau bagaimanapun, dia digalakkan menunaikan solat berjemaah di rumah bersama ahli keluarganya untuk memperoleh kelebihan berjemaah.
Solat berjemaah di masjid tetap dibolehkan, asalkan:
- Tidak ada pencemaran najis kepada masjid atau jemaah lain.
- Dia mengambil langkah berjaga-jaga seperti menutup najis dengan baik.
Akhirnya, seseorang yang menghadapi situasi seperti ini hendaklah berusaha melaksanakan ibadah dengan kemampuan terbaik dan menjaga kebersihan serta kesucian tempat ibadah. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran atas kesabaran dan usaha yang dilakukan. Amin. Wallahua‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”