Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Dalam tempoh iddah talak 1, jika bersama suami isteri dikira sah rujuk semula. Soalan saya maksud bersama itu adakah dengan melakukan persetubuhan? Jika semua aksi pemanasan atau foreplay berlaku termasuk menjilat, menghisap kemaluan suami isteri tetapi tidak bersetubuh, adakah dikira sah rujuk itu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Rujuk berasal dari bahasa Arab iaitu ‘رَجَعَ يَرْجِعُ رَجْعًا وَرُجُوعًا’ yang bermaksud kembali atau mengembalikan. Rujuk menurut istilah adalah mengembalikan status hukum perkahwinan secara penuh setelah berlaku talaq raj‘i yang dilakukan oleh bekas suami terhadap bekas isterinya dalam tempoh iddahnya dengan ucapan tertentu. (Lihat Fiqh Munakahat, hlm. 174)
Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili menyatakan: ‘’(Ruju’) adalah lafaz yang ringkas maka tidak sah ruju’ melainkan dengan perkataan. Hendaklah ia merupakan lafaz yang sarih dan ia tidak memerlukan kepada niat. Seperti ucapan ‘aku ruju’ kamu’, dan lain-lain’’. (Lihat Al-Mu’tamad, 4/185 – 190).
Perkahwinan ialah ikatan syarie antara pasangan suami dan isteri. Dengan hanya akad dan kalimah yang ringkas ini, telah mengubah berbagai macam hukum antara pasangan tersebut. Allah SWT menyebutnya sebagai (ميثاقاً غليظاً) yang bermaksud ikatan yang kuat, ini sebagaimana firman-Nya:
وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا
Maksudnya: “Mereka (para wanita itu) telah mengambil perjanjian yang kuat dari kamu.”
Islam amat menggalakkan supaya dikekalkan hubungan perkahwinan di antara suami isteri. Meskipun begitu, menjadi adat dalam berumahtangga, pasti boleh berlaku perselisihan dan salah faham sesama pasangan, yang mana ia mungkin membawa kepada kesukaran untuk dipertahankan ikatan perkahwinan tersebut. Maka Islam mensyariatkan talak (penceraian) sebagai jalan keluar untuk sekalian umatnya.
Islam menjadikan asal bagi talak adalah merupakan talak raj’ie (yang boleh dirujuk semula) yang tidak memutuskan ikatan perkahwinan secara menyeluruh. Kerana itulah syarak memberikan hak kepada seorang suami untuk merujuk semula dengan isterinya selama dalam tempoh iddah. Firman Allah SWT:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ ۚ
Maksudnya: “Dan wanita-wanita yang diceraikan itu maka mereka ‘mengurung’ diri mereka selama tiga kali suci.”
(Surah Al-Baqarah: 228)
Dalam tempoh tersebut, suami mempunyai hak untuk merujuk kembali isterinya yang telah diceraikan. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam sambungan ayat di atas:
وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا ۚ
Maksudnya: “Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.”
(Surah Al-Baqarah: 228)
Imam al-Syafi‘ie ketika mengulas ayat di atas, beliau berkata: “Memperbaiki talak adalah dengan cara melakukan rujuk.” (Lihat Al-Umm, 5/260)
Para ulama daripada mazhab al-Syafi‘eyyah berpendapat bahawa rujuk seorang suami hanya sah dilakukan melalui lafaz atau ucapan. Jika dilakukan dengan perbuatan seperti menyetubuhi isteri semasa tempoh iddah, ia tidak dianggap sebagai rujuk. Begitu juga, perbuatan seperti berpelukan atau menyentuh tidak sah dijadikan cara rujuk sekiranya suami mampu melafazkan ucapan rujuk.
Menurut Imam al-Nawawi, rujuk hanya sah apabila dilakukan melalui ucapan. Sekiranya suami bersetubuh dengan isteri dalam tempoh tersebut, tindakan itu tidak dikira sebagai rujuk. Oleh itu, selama mana seseorang mampu melafazkan ucapan rujuk, perbuatan semata-mata tidak mencukupi. (Lihat al-Majmu‘ Syarah al-Muhazzab, 7/266).
Dalam mazhab Hanbali, terdapat dua pandangan berkenaan isu ini. Pandangan pertama menyatakan bahawa rujuk hanya sah melalui lafaz atau ucapan. Sebaliknya, pandangan kedua berpendapat bahawa rujuk boleh berlaku melalui persetubuhan, sama ada dengan niat untuk rujuk atau tanpa niat. (Lihat al-Mughni, 7/523).
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan rujuk hanya berlaku dengan ucapan suami sepertimana pandangan dalam mazhab Syafie. Maka, ia tidak berlaku dengan setubuh semata-mata ketika dalam iddah.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a’lam.