Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah keistimewaan Ismail Haniyeh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”

(Surah Ali ‘Imran: 169)

Ibnu Qayyim al-Jauziyah berkata: “Allah SWT telah mengkhabarkan kepada kita berkenaan perihal orang yang syahid bahawa mereka hidup di sisi tuhan dengan mendapat rezeki, mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara mereka) orang-orang (Islam yang sedang berjuang) yang masih tinggal di belakang yang belum sampai kepada mereka mereka juga bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnianya.” (Lihat Kitab al-Ruh oleh Ibn al-Qayyim, hlm. 18)

Kami imbas kembali tatkala kematian Syeikh Ahmad Yasin secara zalim dan syahidnya beliau, lantas kata Ismail Haniyeh: “Kalaulah Allah mengetahui diriku ini baik, nescaya Dia pilihku bersamanya (Syeikh Ahmad Yasin) pada hari ini. Akan tetapi, Dia memilih yang lebih suci untuk syahadahnya.” Kemudian beliau berkata sambil menangis: “Aku akan cuba perelokkan segala kesilapanku. Semoga satu hari nanti, Allah pilih aku sebagai syahid dengan izin-Nya.”

Kesitimewaan Ismail Haniyeh

Sejak kecil, beliau dikenali kerana komitmen agamanya dan kebolehannya yang luar biasa dalam berpidato. Beliau menyertai barisan pergerakan Hamas sejak penubuhannya pada tahun 1987 dan meningkat naik dalam organisasi tersebut sehingga dipilih sebagai Ketua Biro Politik pada tahun 2017.”

Beliau seorang yang mudah men- dekati orang ramai dan mesra. Itulah menjadikan rakan taulannya serta rakyat Palestin cintakannya dan kasihkannya. Beliau amat prihatin terhadap keluarga yang mati syahid dan juga yang memerlukan bantuan. Sikap ini sebagai tanda dan lambang keikhlasannya sesuai dengan apa yang disebut oleh Nabi SAW: Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu selagi mana dia tidak menyukai untuk saudaranya apa yang disukai untuk dirinya.”

Riwayat al-Bukhari (13) dan Muslim (45)

Semoga apa yang berlaku kepada Ismail Haniyeh dengan terbunuhnya beliau dianggap sebagai syahid yang kita doakan ia termasuk dalam nas Ilahi:

وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُولَٰئِكَ رَفِيقًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

(Surah al-Nisa’: 69)

Antara keistimewaannya, apabila beliau meninggal dunia pada tahun 2024 yang lalu, dikatakan jenazah beliau telah disolatkan oleh puluhan ribu manusia sedangkan solat ghaibnya pula melebihi 7 juta manusia.

Untuk mendapat maklumat dan kisah Ismail Haniyeh dengan lebih detail, sila rujuk buku kami yang bertajuk: Ismail Haniyeh: Tokoh Pejuang Palestin Hingga ke Titisan Darah Terakhir. Semoga Allah menempatkan beliau termasuk dalam kalangan syuhada’. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”