Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah Dato ceritakan satu kisah tentang ajaibnya sedekah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Amalan sedekah adalah termasuk dalam amalan kebajikan yang digalakkan dan dianjurkan di dalam Islam.

Berkenaan takrif sedekah pada bahasa, ia dengan maksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala pada istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian yang semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT. Sedekah bermaksud pemberian yang padanya dicari pahala dari Allah SWT. (Lihat al-Ta’rifat, 1/132) Ibn Manzur mendefinisikan sedekah sebagai satu pemberian yang diniatkan kerana Allah SWT kepada golongan fakir yang memerlukan. (Lihat Lisan al-Arab, 10/196)

Justeru, sedekah bermaksud pemberian hak milik ketika hidup tanpa mengharapkan pembalasan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Lihat al-Majmu’ syarah al-Muhazzab, 15/370 dan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 26/323)

Para ulama’ menjelaskan bahawa sedekah adalah merupakan satu pemberian yang bertujuan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mencari keredhaan Allah SWT. Sedekah secara umumnya adalah merangkumi sama ada yang sunat mahupun yang fardhu. Jika yang fardhu, ia dikenali dengan zakat.

Antara nas berkenaan sedekah, firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah al-Baqarah: 274)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah SWT menjelaskan tentang pahala orang-orang yang berinfaq dan pahala berinfaq dalam setiap keadaan dan waktu. Barangsiapa yang bersedekah – baik pada waktu malam atau siang hari, dengan cara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan, dalam keadaan dirinya sendiri memerlukan atau tidak – maka baginya pahala yang sempurna di sisi Tuhan. Tidak ada ketakutan baginya di akhirat dan tidak pula dia merasa khuatir dan bersedih. Maksudnya tidak ada ketakutan baginya ketika menghadapi kedahsyatan hari Kiamat dan tidak pula dia bersedih dan khuatir terhadap keadaan anak-anaknya setelah dia meninggal dunia. Dia juga tidak merasa sedih dan menyesali atas apa yang dia tidak mampu raih dari kehidupan dunia dan keindahannya. Ini kerana dia telah menjumpai apa yang jauh lebih baik daripada itu semua. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/105)

Isteri Sembuh Setelah Suami Bersedekah Emas

Seorang doktor menelefon suami seorang wanita yang sedang terbaring sakit di sebuah hospital. Doktor tersebut memberitahu bahawa isterinya sedang mengalami saat-saat kritikal, dan berdasarkan pemerhatian doktor, harapan untuk sembuh adalah amat tipis.

Suami tersebut merasa amat sedih dengan berita tersebut. Lantas dia segera bergegas mengeluarkan sedekah berupa emas milik isterinya. Setelah itu, dia pun pergi ke hospital.

Beberapa ketika kemudian, doktor memberitahunya bahawa beberapa ketika yang lalu (yakni bersamaan dengan waktu si suami bersedekah), telah kelihatan tanda-tanda isterinya beransur pulih pada isterinya.

Benarlah hadith Rasulullah SAW, daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, sabda Baginda SAW:

حَصِّنُوا أَمْوَالَكُمْ بِالزَّكَاةِ، وَدَاوُوا مَرْضَاكُمْ بِالصَّدَقَةِ، وَاسْتَقْبِلُوا أَمْوَاجَ الْبَلَاءِ بِالدُّعَاءِ

Maksudnya: “Bentengkanlah harta kamu dengan cara mengeluarkan zakat, dan rawatlah orang-orang sakit dalam kalangan kamu dengan bersedekah, dan hadapilah gelombang bala dengan doa.”

Riwayat Abu Daud dalam al-Marasil (105) daripada al-Hasan al-Basri; al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3/1310) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al- Ausat (2/274). Syeikh al-Ghumari menilai hadith ini sebagai sahih.

Setelah itu, isterinya dipindahkan dari ruang ICU ke bilik rawatan biasa, Beberapa hari kemudian, isterinya telah dibenarkan keluar dari hospital tersebut. Segala puji bagi Allah, Pemilik Keutamaan dan Kebaikan. (Lihat Min ‘Ajaibi al-Sadaqah, oleh Khalid bin Sulaiman al-Rib’ie, hlm. 47)

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah, semoga Allah mempermudah segala urusan kita.

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”