Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah kisah tentang sedekah menyembuhkan penyakit muka?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Amalan sedekah adalah termasuk dalam amalan kebajikan yang digalakkan dan dianjurkan di dalam Islam.
Berkenaan takrif sedekah pada bahasa, ia dengan maksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala pada istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian yang semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT. Sedekah bermaksud pemberian yang padanya dicari pahala dari Allah SWT. (Lihat al-Ta’rifat, 1/132) Ibn Manzur mendefinisikan sedekah sebagai satu pemberian yang diniatkan kerana Allah SWT kepada golongan fakir yang memerlukan. (Lihat Lisan al-Arab, 10/196)
Justeru, sedekah bermaksud pemberian hak milik ketika hidup tanpa mengharapkan pembalasan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Lihat al-Majmu’ syarah al-Muhazzab, 15/370 dan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 26/323)
Para ulama’ menjelaskan bahawa sedekah adalah merupakan satu pemberian yang bertujuan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mencari keredhaan Allah SWT. Sedekah secara umumnya adalah merangkumi sama ada yang sunat mahupun yang fardhu. Jika yang fardhu, ia dikenali dengan zakat.
Antara nas berkenaan sedekah, firman Allah SWT:
الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
Maksudnya: “Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.”
(Surah al-Baqarah: 274)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah SWT menjelaskan tentang pahala orang-orang yang berinfaq dan pahala berinfaq dalam setiap keadaan dan waktu. Barangsiapa yang bersedekah – baik pada waktu malam atau siang hari, dengan cara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan, dalam keadaan dirinya sendiri memerlukan atau tidak – maka baginya pahala yang sempurna di sisi Tuhan. Tidak ada ketakutan baginya di akhirat dan tidak pula dia merasa khuatir dan bersedih. Maksudnya tidak ada ketakutan baginya ketika menghadapi kedahsyatan hari Kiamat dan tidak pula dia bersedih dan khuatir terhadap keadaan anak-anaknya setelah dia meninggal dunia. Dia juga tidak merasa sedih dan menyesali atas apa yang dia tidak mampu raih dari kehidupan dunia dan keindahannya. Ini kerana dia telah menjumpai apa yang jauh lebih baik daripada itu semua. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/105)
Imam al-Baihaqi menceritakan satu kisah berkenaan gurunya al-Hakim Abi Abdillah, di mana beliau telah menderita luka kudis di wajahnya dan telah cuba merawat dengan beberapa cara pengubatan, namun tidak sembuh. Hal tersebut berterusan selama hampir satu tahun. Al-Hakim kemudian meminta gurunya, Abu Uthman al-Sobuni untuk mendoakannya dalam salah satu majlisnya pada hari Jumaat. Lalu gurunya mendoakannya dan ramai jemaah yang ikut mengaminkan doa tersebut.
Apabila menjelang hari Jumaat berikutnya, seorang wanita telah hadir ke majlis dan menceritakan bahawa dia telah kembali ke rumah pada malam tersebut dan berusaha untuk melakukan doa untuk al-Hakim Abi Abdillah. Kemudian, dia telah melihat Rasulullah SAW dalam tidurnya, dan seolah-olah Baginda berkata kepadanya: “Beritahu kepada Abu Abdillah untuk mengedarkan (menyedekahkan) air (dengan memberi minum) kepada kaum Muslimin.”
Lalu pesanan tersebut disampaikan kepada al-Hakim. Beliau pun menyuruh agar dibina satu tempat memberi minum air berhampiran pintu rumahnya. Apabila mereka telah selesai membinanya, dia pun menyuruh agar air dituangkan ke dalamnya. Kemudian orang ramai pun mula meminum daripada air yang disediakan itu. Tidak sampai seminggu berlalu, kesihatannya mulai pulih. Sakit luka kudis (pada wajahnya) itu mulai berhenti dan sembuh. Bahkan, wajahnya menjadi lebih baik daripada sebelumnya, dan dia hidup seperti itu selama beberapa tahun kemudiannya. (Lihat Syu’ab al-Iman, 222/3 dan Sahih al-Targhib wa al-Tarhib, hlm. 964)
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah, semoga Allah mempermudah segala urusan kita.
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”