Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah doa yang boleh saya amalkan untuk memperbaiki diri?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”
Surah Ghafir (60)
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja me-merintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)
Sebenarnya terlalu banyak doa untuk memperbaiki diri bahkan apabila kita menekuni doa-doa yang ma’thur sama ada dalam al-Quran atau hadith Nabi SAW, kita dapati teramat banyak. Sebagai contoh, antaranya:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ ، أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ وَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan, perbaikilah urusanku semuanya dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.”
Riwayat al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (10405), al-Bazzar (6368), Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (48) dan al- Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (4/43)
Imam al-Syaukani dalam kitabnya Tuhfah al-Zakirin menjelaskan: “Hadith ini merupakan jawami’ al-kalim (kalimat yang singkat, namun padat makna), kerana doa memohon kebaikan segala urusan yang mencakupi seluruh urusan dunia dan akhirat. Tidak ada yang terkeluar daripadanya.
Sehingga menjadi beruntunglah orang yang Allah SWT kabulkan doanya ini, iaitu dengan diberikan kebaikan dunia dan akhirat. Lebih dari itu, kita diajarkan dalam hadith tersebut untuk menyerahkan dengan pasrah segala urusan kepada Allah. Dan ini termasuk tingkatan dan jenis iman paling tinggi.” (Lihat Tuhfah al- Zakirin, hlm. 86)
Seterusnya doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah aku daripada kejahatan nafsuku.”
Riwayat al-Tirmizi (3483), al-Tabarani dalam al-Du’a (1393), al-Bazzar (3580) dan al-Baihaqi dalam al-Asma’ wa al-Sifat (894)
Doa ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A, bahawa Nabi SAW pernah mengajar bapanya, dua kalimat yang dibaca di dalam doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepadaku petunjuk dan kecerdasan serta lindungilah aku daripada kejahatan nafsuku.”
Syeikh al-Mubarakfuri menyebut, yakni berikanlah taufik padaku kepada al-rusyd iaitu petunjuk kepada kebaikan. Dan lindungilah aku daripada kejahatan nafsuku, yakni peliharalah aku daripada kejahatannya di mana ia adalah tempat tumbuhnya perkara-perkara yang keji. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/455)
Akhir kalam, semoga Allah melimpahkan rezeki dan melangsaikan semua hutang anda, serta mempermudahkan segala urusan anda.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”
Wallahu a’lam