Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah dalam Islam, membiarkan rambut panjang. Sebagai contoh kita seorang lelaki?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan ini, kami memulakan dengan sebuah hadith Nabi SAW: Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang memiliki rambut maka hendaklah dia memuliakannya.”
Riwayat Abu Daud (4163)
Dalam satu hadis, Ata` bin Yasar RA mengkhabarkan kepada Zaid bin Aslam RA bahawa:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْمَسْجِدِ فَدَخَلَ رَجُلٌ ثَائِرَ الرَّأْسِ وَاللِّحْيَةِ فَأَشَارَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِيَدِهِ أَنِ اخْرُجْ كَأَنَّهُ يَعْنِي إِصْلاَحَ شَعَرِ رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ فَفَعَلَ الرَّجُلُ ثُمَّ رَجَعَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: “ أَلَيْسَ هَذَا خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدُكُمْ ثَائِرَ الرَّأْسِ كَأَنَّهُ شَيْطَانٌ
Maksudnya: “Rasulullah SAW berada di masjid suatu ketika, kemudian masuk seorang lelaki yang berambut dan berjanggut menggerbang. Lalu Rasulullah SAW mengisyaratkan kepada lelaki itu dengan tangannya agar memperelokkan rambut dan janggutnya. Lelaki tersebut melakukannya dan datang kembali. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Bukankah ini lebih baik daripada salah seorang daripada kalian yang kusut masai seperti syaitan.”
Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ (1702). Hadis ini dinyatakan dha’if.
Dalam menjawab hukum di atas, kami nyatakan hukum asal membiarkan rambut panjang adalah harus. Begitu juga, ia melihat situasi setempat dan uruf. Jika sesuatu masyarakat biasanya memendekkan rambut bagi lelaki, maka itulah yang paling afdhal. Sebaliknya, jika dalam masyarakat dan budaya satu kaum itu membiarkan rambut panjang bagi lelaki, maka itu juga dibolehkan. Tetapi Islam juga menganjurkan kebersihan serta menjaga ketampanan sebagaimana dalam hadith di atas.
Perkara yang kedua perlu diberi peringatan, sama ada memendek atau memanjangkan hendaklah keluar daripada penyerupaan dengan ahli bid’ah, khawarij atau yang fasiq supaya kita tidak termasuk dengan gaya dan cara mereka sebagaimana sabda Nabi SAW:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang bertasyabbuh dengan sesuatu kaum maka dia sebahagian dari mereka.”
Riwayat Abu Daud (4031), Ahmad (5114), Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (19401), al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Awsat (8327), al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (1154) dan al-Bazzar dalam Musnadnya (2966).[1]
Al-San‘ani menyebutkan, hadith ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah maka dia adalah daripada kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.” (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 4/175)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
[1] Ibn Hibban menilai hadith ini isnadnya (sanadnya) jayyid sepertimana disebut dalam Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim (1/269) dan dalam al-Fatawa (25/331) disebut ia adalah hadith jayyid. Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan hadith ini adalah thabit dan sanadnya adalah hasan (baik) di dalam Fath al-Bari (10/282). Al-‘Iraqi berkata sanadnya sahih ketika mentakhrijkan hadith ini di dalam al-Ihya’ sepertimana disebutkan di dalam al-Mughni (1/359).