Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, apakah maksud dan makna ghuluw?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Perkataan ghuluw adalah daripada bahasa Arab (الْغُلُوّ). Ia memberi maksud melampau had batasan syarak dengan menceroboh atau melampau apa yang Allah perintahkan dengannya. Boleh jadi kalimah ghuluw dengan menambahkan apa-apa yang dituntut oleh Syarak dan diizinkannya. Boleh jadi juga, dengan meninggalkan sebagai jalan cara ibadat. Allah SWT berfirman:
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِن قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا وَضَلُّوا عَن سَوَاءِ السَّبِيلِ
Maksudnya: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul”
(Surah al-Maidah:77)
Al-Maraghi berkata: “Allah SWT melarang ahli kitab yang hidup pada masa Nabi SAW bersikap fanatik buta seperti yang dilakukan oleh nenek moyang sebelum mereka dan bersikap fanatik terhadap tradisi yang menyebabkan mereka ini sesat kerana mereka telah mengikuti larangan hawa nafsu dan meninggalkan ajaran para rasul, para nabi dan orang soleh terdahulu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/211)
Diriwayatkan daripada Abdullah Bin ‘Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إيّاكُم والغُلُوَّ في الدِّينِ، فإنّما هَلَكَ مَن كان قَبلَكُم بالغُلُوِّ في الدِّينِ
Maksudnya: “Awasilah kamu dalam melampau dalam beragama, karena binasanya orang-orang sebelum kamu adalah disebabkan sikap ghuluw mereka dalam beragama.”
Riwayat Ibn Hibban (3871)
Di antara bentuk ghuluw ialah terlalu melampau kepada para nabi dan orang soleh sehingga mengangkat mereka melebihi darjat mereka kepada Tuhan. Dengan sebab itu, Rasulullah SAW:
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau mendengar Umar berkata di atas mimbar: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:
لاَ تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتِ النَّصَارَى عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، وَلَكِنْ قُولُوا: عَبْدُ اللَّهِ، وَرَسُولُهُ.
Maksudnya: “Janganlah kamu berlebihan dalam memujiku (secara batil) sebagaimana orang-orang Nasrani menyanjung Isa bin Maryam. Sesungguhnya aku hanyalah hamba-Nya, akan tetapi hendaklah kamu mengatakan: ‘Hamba Allah dan Rasul-Nya’.”
Riwayat al-Bukhari (3445)
Begitu juga melampau dalam ibadat sehingga tidak mengikut perintah dan syariat Rasulullah SAW, juga tidak digemari oleh Rasulullah SAW. Dalam sebuah hadith yang sahih:
Daripada Anas bin Malik R.A, katanya:
جَاءَ ثَلاَثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا فَقَالُوا: وَأَيْنَ نَحْنُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ. قَالَ أَحَدُهُمْ: أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا. وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلاَ أُفْطِرُ. وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلاَ أَتَزَوَّجُ أَبَدًا. فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ، فَقَالَ: «أَنْتُمُ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا، أَمَا وَاللَّهِ، إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي».
Maksudnya: Tiga orang datang ke rumah para isteri Nabi SAW, bertanya mengenai ibadah Nabi SAW. Apabila diberitahu, maka seakan-akan mereka menganggap ibadah Nabi sedikit. Oleh itu mereka berkata: “Apakah kedudukan kita dibandingkan dengan Rasulullah SAW? Sesungguhnya telah diampunkan buatnya dosa-dosanya yang terdahulu dan yang akan datang.” Salah seorang daripada mereka berkata: “Adapun aku, sesungguhnya aku akan menunaikan solat malam buat selama-lamanya dan tidak tidur.” Manakala yang lain pula berkata: “Aku akan berpuasa setahun penuh dan tidak akan berbuka.” Dan yang seorang lagi berkata: “Aku akan menjauhi perempuan dan tidak akan berkahwin buat selama-lamanya.” Setelah itu, Rasulullah SAW datang, lalu bersabda: “Kamu yang telah mengatakan begini dan begitu? Ketahuilah, demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut daripada kalangan kamu kepada Allah, dan juga orang yang paling bertaqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan meninggalkan puasa, aku juga mendirikan solat malam dan tidur, dan aku juga menikahi wanita. Oleh itu, sesiapa yang berpaling daripada sunnahku, maka dia bukan daripada kalanganku.”
Riwayat al-Bukhari (5063)
Semoga Allah selamatkan kita daripada sifat ghuluw, tetapi sentiasa cuba untuk istiqamah dalam agama Islam yang sebenar berdasarkan petunjuk Nabi SAW. Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”