Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah boleh seseorang itu bersumpah dengan ibu bapa atau selainnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami nyatakan terlebih dahulu maksud bersumpah.
Menurut syarak, “sumpah” ialah memperkuatkan sesuatu percakapan yang kandungannya tidak sabit, dengan menyebutkan salah satu nama atau sifat Allah SWT dalam bentuk ucapan tertentu. Sumpah boleh dilakukan terhadap kejadian yang telah berlaku, seperti seseorang berkata, “Demi Allah saya tidak melakukan sekian-sekian,” sebagaimana ia juga boleh dilakukan terhadap perkara yang akan berlaku, seperti seseorang berkata, “demi Allah saya pasti akan melakukannya.”[1]
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukumnya adalah haram dan tidak dibolehkan bersumpah selain daripada Allah. Benarlah sabda Nabi SAW: Daripada Abu Hurairah R.A, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تَحْلِفُوا بِآبَائِكُمْ وَلاَ بِأُمَّهَاتِكُمْ وَلاَ بِالأَنْدَادِ وَلاَ تَحْلِفُوا إِلاَّ بِاللَّهِ وَلاَ تَحْلِفُوا بِاللَّهِ إِلاَّ وَأَنْتُمْ صَادِقُونَ
Maksudnya: “Jangan kamu bersumpah dengan nama bapa-bapa kamu dan juga nama ibu-ibu kamu dan nenek moyang. Jangan bersumpah kecuali dengan nama Allah dan jangan bersumpah kecuali kamu bercakap benar.”
Riwayat Abu Dawud (3248) dan al-Nasa’ie (3769)
Syeikh Syams al-Haq Azim Abadi menjelaskan: Jangan kamu bersumpah dengan bapa-bapa kamu. Begitu juga anak-anak kamu. Maka sudah tentu lebih aula (utama) jangan bersumpah dengan berhala-berhala. Dalam al-Nihayah menyebut: Perkataan ‘الأنداد’ adalah jama’ kepada ‘ند’ iaitu sesuatu yang menyamai dan setanding dalam semua perkara, dan menyalahinya. Maksud di sini mereka menjadikan tuhan-tuhan yang lain selain Allah.
Para ulama’ berselisih pendapat dalam isu haram ini. Di sisi Mazhab Maliki, terdapat dua pendapat. Hal ini sebagaimana disebut oleh Ibn Daqiq al-‘Id dan yang masyhur di sisi mereka adalah makruh. Begitu juga perkara ini menjadi khilaf di sisi Mazhab Hanbali. Tetapi yang paling masyhur di sisi mereka adalah haram dan inilah yang dipegang oleh al-Zahiri. Begitu juga Mazhab Syafie menyatakan hukumnya makruh sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Haramain. Tetapi, jika dia membesarkan dan mengagungkan apa yang disumpahnya itu, maka hukumnya adalah haram. Bahkan iktiqad seperti itu boleh membawa kepada kufur. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 9/55)
Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ
Maksudnya: “Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.”
Riwayat al-Bukhari (3836) dan Muslim (1646)
Justeru, apabila kita bersumpah, hendaklah kita bersumpah dengan nama Allah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
[1] https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=sumpah