Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah kita belajar sihir dan beramal dengan sihir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ عَلَىٰ مُلْكِ سُلَيْمَانَ ۖ وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَٰكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ وَمَا أُنزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ ۚ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ ۖ فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ ۚ وَمَا هُم بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ ۚ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ ۚ وَلَقَدْ عَلِمُوا لَمَنِ اشْتَرَاهُ مَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ ۚ وَلَبِئْسَ مَا شَرَوْا بِهِ أَنفُسَهُمْ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ ‎

Maksudnya: Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.

(Surah al-Baqarah: 102)

Firman Allah SWT:

يُؤْمِنُونَ بِالْجِبْتِ وَالطَّاغُوتِ

Maksudnya: Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut.

(Surah al-Nisa: 51)

Ditafsirkan perkataan ‘الْجِبْتِ’ juga dengan makna sihir. Justeru Allah menggabungkan sihir dengan taghut sebagaimana beriman dengan taghut hukumnya kufur, begitu juga beramal dengan sihir merupakan amalan kufur. Daripada kelaziman kufur dengan taghut itu ialah i’tiqad batalnya sihir dan ia merupakan ilmu yang keji lagi kotor, yang merosakkan agama dan dunia, yang wajib dijauhinya dan berlepas diri daripadanya dan ahlinya. Firman Allah SWT:

‏ وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ

Maksudnya: “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);

(Surah al-Falaq: 4)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Yakni, aku memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan para tukang sihir yang merosakkan manusia melalui sihir mereka. Lafaz ‘النَّفَّاثَاتِ’ ialah bentuk jamak daripada perkataan ‘النَّفَّاثَة’ yang merujuk kepada tiupan lembut. Perkataan ‘الْعُقَدِ’ pula ialah bentuk jamak daripada ‘العُقْدَة’ iaitu sesuatu yang diikat menggunakan tali atau seumpamanya sehingga simpul itu dapat dileraikan. Allah memerintahkan Jibril untuk membantu Rasulullah SAW. Lalu, Jibril berkata, “Dengan menyebut nama Allah, aku membantu engkau daripada segala sesuatu yang menyakitkanmu, iaitu daripada para pendengki dan pengintai. Allah akan menyembuhkanmu.” Maka, berkuranglah pengaruh sihir tersebut terhadap Nabi SAW yang hanya berkaitan dengan urusan dunia (tidak melibatkan wahyu), ketika Baginda berada dalam keadaan sedikit uzur. Peristiwa ini menggambarkan keadaan tersebut, yang berlaku ketika Baginda bermimpi. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 833)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa belajar ilmu sihir dan beramal dengannya hukumnya haram dan termasuk dalam dosa besar. Sabda Rasulullah SAW: Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ

Maksudnya: “‘Hendaklah kamu menjauhi tujuh perkara yang membinasakan (tujuh dosa-dosa besar).’ Mereka bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah perkara-perkara tersebut?’ Baginda bersabda: ‘Syirik kepada Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang dibenarkan, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari medan perang, dan menuduh (berzina) terhadap wanita-wanita yang memelihara maruah diri serta beriman lagi baik (lalai daripada pengaruh sekeliling)’.”

Riwayat al-Bukhari (2766)  dan Muslim (89)

Adapun hukumannya pula, Rasulullah SAW bersabda:

حَدُّ السَّاحِرِ ضَرْبَةٌ بِالسَّيْفِ

Maksudnya: “Hukuman bagi tukang sihir adalah dipancung dengan pedang.”

Riwayat al-Tirmizi (1460), ‘Abd al-Razzaq (18752) dab al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (8/136). Dinyatakan sebagai dha’if dalam Dha’if al-Tirmizi.

Ini berdasarkan surat Saidina Umar kepada pemerintah di daerah-daerah. Antara lain, katanya:

أَنِ اقْتُلُوا كُل سَاحِرٍ وَسَاحِرَةٍ

Maksudnya: “Hendaklah kamu bunuh setiap penyihir lelaki dan wanita.”

Riwayat al-Bukhari (3156), Abu Dawud (3043), al-Tirmizi (1586), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (8768) dan Ahmad (1657)

Kami akhiri dengan:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ‎﴿١﴾‏ مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ‎﴿٢﴾‏ وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ ‎﴿٣﴾‏ وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ ‎﴿٤﴾‏ وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ ‎

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, “Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; (2) “Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”.

(Surah al-Falaq: 1-5)