Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum seseorang yang mendakwa dia mengetahui perkara ghaib?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sesungguhnya manusia tidak mengetahui perkara ghaib kecuali Allah semata-mata. Firman Allah SWT:
وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ
Maksudnya: “Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan.”
(Surah al-A’raf: 188)
Ibn Kathir berkata bahawa Allah memerintahkan Rasul-Nya untuk menyerahkan segala urusan kepada-Nya. Baginda juga diberitahu bahawa dirinya tidak mengetahui perkara ghaib di masa hadapan, kecuali apa yang telah Allah tunjukkan kepadanya. Sebagaimana firman Allah SWT: “(Dia adalah Tuhan) Yang Mengetahui perkara ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada sesiapa pun tentang yang ghaib itu (26), kecuali kepada rasul yang diredai-Nya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di hadapan dan di belakangnya (27)” (Surah al-Jin, 26-27).
Dan firman Allah lagi: “Dan sekiranya aku mengetahui perkara ghaib, tentulah aku akan melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya.” (Surah al-A‘raf, 188).
Ibnu Jarir berkata: “Ulama lain berpendapat bahawa makna ayat ini adalah, jika aku mengetahui perkara ghaib, pasti aku akan menyediakan bekalan ketika musim subur untuk menghadapi musim kemarau, dan membeli barang ketika harganya murah untuk menghadapi waktu harga mahal. Dengan demikian, aku akan bersiap sedia semasa harga rendah.”
Abdur Rahman bin Zaid bin Aslam pula berkata mengenai firman Allah: “Dan aku tidak akan ditimpa kemudaratan.” Beliau menjelaskan bahawa ini bermaksud, aku akan menjauhi dan menghindari keburukan sebelum ia berlaku. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/632)
Jika sekiranya Rasulullah SAW seafdhal makhluk tidak mengetahui perkara ghaib, maka orang lain sudah tentu jauh sekali mengetahui perkara ghaib. Ijma’ imam yang empat bahawa siapa yang beri’tiqad yang Rasulullah SAW mengetahui perkara ghaib atau menghidupkan orang mati, kerana dia telah murtad daripada islam kerana dia telah mendustakan Allah yang Rasulnya SAW telah diperuntahkan untuk berkata kepada manusia dan jin:
قُل لَّا أَقُولُ لَكُمْ عِندِي خَزَائِنُ اللَّهِ وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلَا أَقُولُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ ۖ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ ۚ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”
(Surah al-An’am: 50)
Al-Syaukani berkata: Firman Allah: Wahai Muhammad, katakanlah: “Aku tidak mengatakan kepadamu bahawa perbendaharaan Allah ada padaku.” Maksudnya, Baginda tidak memiliki segala kenikmatan dunia sehingga mampu memenuhi permintaan mereka dengan mendatangkan ayat-ayat seperti yang mereka kehendaki. Baginda juga berkata: “Aku tidak mengetahui perkara yang ghaib,” maka Baginda tidak dapat memberitahu atau mengkhabarkan kepada mereka tentang apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Selain itu, Baginda menegaskan: “Aku tidak mengatakan kepadamu bahawa aku seorang malaikat.” Oleh itu, mereka tidak sepatutnya membebankan Baginda dengan permintaan yang melampaui batas kemampuan manusia biasa. (Lihat Fath al-Qadir, 2/428)
Dan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya: Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.
(Surah Luqman: 34)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa hanya Allah sahaja yang memiliki pengetahuan tentang hari kiamat; tiada sesiapa yang mengetahui mengenainya selain Dia. Allah jugalah yang menurunkan hujan pada waktu dan tempat yang ditentukan dengan penuh hikmah. Dia Maha Mengetahui segala keadaan dan sifat janin yang berada di dalam rahim. Allah mengetahui segala yang akan berlaku kepada setiap janin, sama ada perkara baik atau buruk, lelaki atau perempuan, dan segala ketentuan lain tanpa memerlukan sebarang alat bantuan atau pemerhatian langsung.
Di samping itu, tiada seorang pun yang dapat mengetahui apa yang akan berlaku kepada dirinya, sama ada kebaikan atau keburukan. Begitu juga, tiada sesiapa yang tahu di mana dia akan meninggal dunia. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui dan Ilmu-Nya meliputi segala sesuatu. Allah Maha Mengawasi segala yang zahir mahupun yang tersembunyi.
Maksud al-kasbu adalah segala sesuatu yang diperoleh oleh manusia, sama ada anugerah atau ujian, perkara baik mahupun buruk. Ayat ini diturunkan berhubung pertanyaan seorang lelaki Badwi bernama Al-Harith bin Amru. Dia bertanya tentang janin yang dikandung isterinya, waktu turunnya hujan, dan waktu kematiannya. Maka, Allah menurunkan ayat ini untuk menjelaskan lima kunci ilmu ghaib yang hanya diketahui oleh-Nya. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 371)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”