Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, peri pentingnya mempelajari sirah Nabi SAW dengan lebih terperinci?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sa’d bin Abi Waqqas R.A berkata:
كُنّا نُعَلِّمُ أَوْلَادَنَا مَغَازِيَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمَا نُعَلِّمُهُمْ السُّورَةَ مِنَ الْقُرْآن
Maksudnya: “Kami dahulu mengajarkan kepada anak-anak kami kisah-kisah perjuangan Rasulullah ﷺ sebagaimana kami mengajarkan mereka surah-surah daripada al-Quran.” (Lihat al-Tarbiyyah al-Islamiyyah, hlm. 211)
Kata cucu Sa’d bin Abi Waqqas R.A: “Ayahku mengajar kami tentang sirah Nabi SAW, dan dia mengira kepada kami sirah tersebut satu persatu (yakni tahun sekian berlaku sekian, tahun sekian berlaku sekian dan seterusnya). Dia berkata kepada kami:”Wahai anak-anakku, ini adalah warisan nenek moyang kamu, jadi janganlah kamu sia-siakannya. Ceritalah ia kepada generasi yang berikutnya.” (Lihat al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi wa Adab al-Sami’ oleh al-Khatib al-Baghdadi, 2/195)
Daripada ‘Ali bin Husain bin ‘Ali, katanya: “Dahulu, kami mempelajari tentang peperangan Nabi SAW dan sirah Baginda, sepertimana kami mempelajari satu surah daripada al-Quran.” (Lihat al-Jami‘ li Akhlaq al-Rawi wa Adab al-Sami‘, 2/195)
Setelah kami mengamati Sirah Nabawiyyah, kami dapati terlalu banyak dan sarat dengan pelajaran serta pengajaran yang boleh kita ikuti dan diteladani dalam kehidupan kita. Ini kerana Rasulullah SAW itu hendaklah diikuti dari semua aspek kehidupannya yang diperintahkan oleh Allah kepada kita untuk meneladaninya. Firman Allah SWT:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةً لَّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
(Surah al-Ahzab: 21)
Al-Tabari berkata: Antara maksud tafsiran ayat ini adalah supaya kamu semua menjadikan Rasulullah SAW sebagai uswah atau ikutan dan hendaklah kamu bersama dengannya dalam apa jua keadaan pun dan jangan sekali-kali kamu membelakanginya. Ini akan berlaku kepada golongan yang mengharapkan pahala Allah, rahmatnya di akhirat serta tidak menghendaki pada dirinya sebarang kepentingan. (Lihat Jami’ al-Bayan, 20/235)
Abu al-Hasan al-Nadwi berkata:
- Jika anda seorang pemuda, maka teladan yang paling elok dan paling cantik bagimu adalah Nabi Muhammad SAW.
- Jika anda telah mencapai umur tua, maka, Baginda SAW adalah contoh anda.
- Jika anda fakir dan miskin, maka Baginda SAW adalah teladan dan contoh bagi anda.
- Jika anda kaya, maka Baginda SAW imam anda.
- Jika anda berangkat untuk berperang, maka Baginda SAW juga turut serta berperang.
- Jika kamu menginginkan perdamaian, maka Baginda SAW akan memberikan kedamaian sebelum kamu memintanya.
- Jika anda redha, maka Baginda SAW pun redha.
- Jika anda marah (tidak menerima sesuatu), maka Baginda SAW pun demikian halnya.
Kami katakan bahawa, dengan cara mempelajari sirah Nabi, ia lebih mendekati kehidupan kita kerana ia berdasarkan jalan penceritaan dan kami berpendapat, alangkah baiknya sirah Nabi SAW ini dikajikan dan diambil iktibar sebagaimana yang disusun oleh ramai ulama’, antaranya Syeikh Muhammad al-Ghazali dan Syeikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti yang kedua-duanya menamakan kitab masing-masing dengan Fiqh al-Sirah.
Kami juga telah mengemukakan sebuah buku yang boleh dirujuk dalam Sirah Nabawiyyah ini iaitu Garis Masa Hayat al-Rasul SAW. Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua berpandukan kepada cahaya sirah Nabi SAW dalam melayari bahtera kehidupan ini. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”